Selepas PRU lalu, MCA terus dilanda isu yang berkaitan resolusi bahawa parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan jika keputusan PRU menunjukkan MCA tidak menerima sokongan penuh masyarakat Cina.
Akhirnya resolusi ini ibarat 'memakan diri sendiri'. Ia umpama perangkap yang memerangkap parti itu dalam meneruskan agenda perjuangannya. Disebabkan 'menerima' jawatan atas kehendak istana, maka Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Tee Siew Kiong dikenakan tindakan kerana ingkar arahan menerima lantikan sebagai Exco kerajaan Negeri Johor.
Di satu pihak, exco itu menjunjung titah perintah Sultan Johor manakala di satu pihak lagi, beliau mengingkari arahan parti. Inilah dilema anggota MCA. Pada masa yang sama timbul pula persoalan mengenai kedudukan jawatan yang disandang oleh beberapa orang kanan MCA termasuklah Presidennya, Dr. Chua Soi Lek. Sudah timbul rasa tidak puas hati beberapa bahagian MCA berhubung kedudukan jawatan yang disandang oleh Soi Lek selaku Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang.
Bukan setakat Soi Lek. Ada lagi pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan. Adakah mereka ini juga perlu berundur bagi mematuhi resolusi berkenaan? Khabarnya tidak, kerana alasan yang diberikan, jawatan itu boleh dikekalkan kerana disandang sebelum PRU. Terserah kepada anggota MCA untuk membincangkannya. Mereka berhak bersuara sama ada anggota parti yang memegang jawatan sebelum PRU juga perlu menghormati resolusi berkenaan.
Untuk rekod, elok diselak kembali beberapa pemimpin MCA yang memegang jawatan atas kehendak kerajaan BN. Mereka termasuklah bekas Presiden, Ong Ka Ting (Duta Khas Perdana Menteri ke China), Wong Nai Chee (Setiausaha Politik Perdana Menteri) dan Naib Presiden, Ng Yen Yen (Pengerusi Tourism Malaysia).
Ramai anggota parti yang keliru dengan isu ini kerana parti memutuskan bahawa mana-mana jawatan yang dipegang sebelum PRU13 masih boleh diteruskan. Atas apa alasan tidak pula pasti. Rasanya ada yang tidak kena dengan 'janji' atau resolusi yang sudah dibuat. Bukanlah bertujuan untuk mempertikaikan 'pendirian' yang dibuat tetapi kenyataan seumpama itu sebenarnya sudah memerangkap MCA.
MCA terperangkap dengan 'kata-kata' yang mereka ucapkan sehingga anggota parti keliru. Satu pihak tidak boleh dan di satu pihak lain boleh. Malahan ada juga yang menganggap inilah yang dikatakan cakap tidak serupa bikin.Tidak ada kesungguhan.
Ketika ini juga ada pihak yang mahu MCA mengambil kembali peruntukan kerusi dalam Kabinet yang disedikan untuk mereka. Begitu juga ada negeri yang menyediakan jawatan exco untuk diisi oleh parti itu. Begitulah keprihatinan kepemimpinan BN terhadap rakan kongsi mereka. BN yang ditunjangi UMNO mahu meneruskan perkongsian kuasa walaupun hakikatnya hasrat itu sebenarnya cuba 'ditolak' oleh pihak berkenaan. Bagi UMNO, yang menang tidak mengambil semuanya dan yang kalah akan hilang segalanya. Walaupun Kabinet sudah dibentuk dan barisan Exco negeri sudah menjalankan tugas di negeri-negeri berkenaan tetapi masih ada ruang untuk mereka 'berpatah balik'.
Tetapi sampai bila kerusi exco atau menteri perlu dikosongkan atau dipangku oleh orang lain? Eloklah pihak kerajaan menetapkan tarikh luput untuk mengisi jawatan berkenaan.
Mungkin MCA boleh menerima sekadar apa yang diberi. Jika ada satu kerusi yang diperuntukkan iaitu Kementerian Pengangkutan, terimalah. Sekurang-kurangnya di dalam Kabinet, MCA sebagai parti komponen BN mempunyai wakil untuk bersuara. Cuma janganlah meminta lebih. Mungkin sudah terlambat untuk menuntut lebih seperti apa yang dinikmati oleh MIC.
Memang dari segi kedudukan kerusi, MCA melebihi jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi MIC. Pada PRU lalu, MCA menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya dan 37 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). MIC pula menang empat kerusi Parlimen daripada sembilan kerusi yang ditandingi. Hebatnya MIC apabila semua anggota Parlimennya dilantik - dua sebagai menteri dan dua timbalan menteri.
Kini, selepas hampir tiga bulan, adakah MCA akan terus berpegang kepada resolusinya? Adakah kerana resolusi ini juga, presiden, bekas presiden dan anggota lain yang memegang jawatan perlu dihadapkan ke jawatankuasa disiplin?
Baru-baru ini, Timbalan Presiden MCA, Liow Tiong Lai sudah bersuara 'mewakili' pandangan 58 persatuan dan pertubuhan Cina berhubung jawatan dalam kerajaan. Tiong Lai dilaporkan sebagai berkata, persatuan dan pertubuhan itu bersetuju sebulat suara supaya MCA menimbang semula keputusannya untuk tidak menganggotai Kabinet.
''Mereka (persatuan dan pertubuhan Cina) percaya MCA masih relevan untuk membela nasib kaum Cina di negara ini,'' kata Tiong Lai.
Katanya, masyarakat Cina kini dalam dilema selepas memberi sokongan kepada pembangkang yang diharap mampu mengubah kerajaan, namun ia gagal dan tidak berupaya untuk membela nasib mereka. Begitulah kata Tiong Lai yang menghadiri dialog bersama persatuan dan pertubuhan berkenaan. MCA juga sebenarnya dalam dilema. Adakah MCA akan berubah pendirian? Mungkin atas 'desakan' ini, MCA akan berubah. Tiong Lai boleh menggesa Soi Lek memanggil mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk menarik resolusi itu. Tetapi mampukah Tiong Lai mempengaruhi Soi Lek? Apakah akan berlaku percaturan politik dalam isu ini?
Harus diingat bahawa Tiong Lai berhasrat untuk bertanding jawatan presiden parti pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada 22 Disember depan.
Atas semangat mahu melakukan transformasi dalam parti, beliau menawarkan diri untuk memacu perubahan dalam parti setelah Soi Lek mengumumkan hasrat untuk tidak mempertahankan jawatan. Keputusan Soi Lek itu juga berkait rapat dengan keputusan pilihan raya lalu.
Bagaimanapun Jumaat lalu, lain pula kenyataan Soi Lek yang seolah-olah masih belum pasti mengenai kedudukannya. Katanya, dalam suasana menyambut Aidilfitri ini, beliau belum memikirkan mengenai pemilihan jawatan itu. Adakah Soi Lek sudah berubah fikiran? Mungkinkah beliau akan membuat pusingan U? Jika ini berlaku, sudah tentu MCA sekali lagi akan menyaksikan pertarungan hebat selepas tahun 2010 yang menyaksikan pertembungan tiga pemimpin untuk jawatan presiden.
Ketika itu, Ong Tee Keat yang mahu mempertahankan jawatan dicabar oleh bekas Presiden, Ong Ka Ting dan Soi Lek. Keputusan memihak kepada Soi Lek (901 undi), Ka Ting (833 undi) dan Tee Keat 578 undi. MCA mungkin akan terus berdepan pemilihan yang sama seperti pada 2008 dan 2010. Adakah pemilihan kali ini mampu memperkukuhkan MCA?
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...