Bulan
Ramadan yang mulia ini, masyarakat Islam di negara kita menerima ujian
daripada beberapa peristiwa yang boleh dianggap sebagai dugaan terhadap
kesabaran dan kewarasan pemikiran umat ini.
Pertama, peristiwa yang dikatakan berlaku di sebuah sekolah oleh
tindakan yang berbentuk diskriminasi terhadap pelajar-pelajar bukan
Islam dengan 'memaksa' mereka minum dan makan dekat 'tandas'.
Kedua, keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa tindakan seorang
suami, bapa kepada tiga orang anak, mengislamkan anak-anaknya tanpa
keizinan ibunya yang masih kekal dalam agama asalnya, tidak sah dan
tidak mengikut Perlembagaan.
Sebelum peristiwa ini pun, telah berlaku beberapa penghinaan terhadap
umat Islam, termasuk lukisan dan komen sinikal daripada anak muda bukan
Islam yang mempersenda ibadat puasa, iaitu menunjukkan sepasang manusia
yang berbuka puasa dengan makanan yang bertanda logo Halal, tetapi
mesejnya ialah makanan itu amatlah diragui tentang status halalnya.
Peristiwa terbaru yang menguji kesabaran umat Islam juga, ialah
penglibatan anak-anak gadis Islam di dalam peraduan Ratu Cantik
Malaysia, dan komen-komen pro atau kontranya, termasuk daripada orang
Islam sendiri.
Malah, tidak lama dulu, satu keputusan telah pun dibuat di mahkamah
tentang kebenaran peguam bukan Islam untuk menjadi peguam Syarie
berdasarkan merit, bukan berdasarkan latar belakang agamanya.
Di samping itu kes "kalimah Allah" juga sedang menunggu perintah
mahkamah yang akan mendengar bantahan terhadap penggunaan kalimah ini
tidak lama lagi, dan bakal menjadi satu lagi kes besar kepada masyarakat
Islam dan masyarakat berbilang kaum di negara kita ini.
Saya merasa kagum dan bersyukur kepada Allah SWT kerana nampaknya
umat Islam yang menerima 'tamparan' yang agak hebat itu, tetap bersabar
dan tidak menunjukkan sebarang reaksi kesal, marah secara melulu, atau
bertindak di luar batas-batas tatasusila agama.
Hal ini besar kemungkinan berpunca daripada tabiat umat Islam,
terutamanya orang Melayu kita yang sememangnya sering bertindak secara
rasional dan meletakkan kepentingan bangsa dan negara di atas
segala-segalanya.
Selain itu, kekuatan iman dan kepentingan sifat sabar yang sedang
dipelajari daripada ajaran agama dalam bulan puasa ini, mungkin telah
memberikan kekuatan kepada umat Islam sendiri supaya menambahkan
ketenangan dan kesabarannya. Sebab itulah tidak ada sebarang reaksi
mereka yang berdasarkan emosi atau sentimen melulu ketika menghadapi
dugaan ini.
Orang Islam sendiri pada mulanya telah menyatakan kekesalan dan
kemarahan mereka terhadap berita yang mengatakan bahawa kanak-kanak
bukan Islam terpaksa makan dan minum di dalam tandas dalam bulan Ramadan
ini, dan akhirnya mereka menerima dengan baik hakikat yang sebenarnya
bahawa peristiwa yang berlaku itu bukanlah sebenarnya begitu, malah
tempat makan minum ini adalah di dalam bilik persalinan yang tidak
digunakan sebagai tandas, dan telah pun digunakan beberapa bulan lalu
oleh semua pelajar, tanpa mengira agama dan keturunan, kerana kesempitan
ruang kantin sekolah.
Alhamdulillah, nampaknya orang Islam tetap bersabar dan menyiasat kes
ini dengan amat terbuka dan luas pemikiran, lalu tidaklah berlaku
reaksi yang negatif, walaupun kemudiannya ternyata bahawa terdapat
sesetengah kalangan yang ingin menjatuhkan pimpinan sekolah tersebut dan
menghina umat Islam sendiri secara yang tidak langsung dengan
menyebarkan gambar dan berita tersebut.
Dalam isu yang diputuskan oleh mahkamah tentang pengislaman
kanak-kanak itu pula, nampaknya seperti biasa, warga negara kita
menerima keputusan mahkamah dengan rela hati, dan tidak memberikan
sebarang reaksi yang tidak bertamadun, kerana umat Islam khasnya di
negara ini sering menerima realiti bagi segala peristiwa yang berlaku di
negara ini, termasuk isu yang menyentuh agama dan keturunan bangsa
sendiri, setelah melalui proses perundangan yang diamalkan di negara
kita.
Negara kita mempunyai proses perundangan yang panjang untuk mencari
keadilan pada akhirnya. Maka proses rayuan dan sebagainya tentulah akan
diambil untuk mendapatkan keputusan mahkamah nanti.
Inilah sebenarnya sikap dan akhlak Islam yang seharusnya kita
kekalkan, kerana dalam Islam pintu perundingan dan penyelesaian masalah
sentiasa terbuka, iaitu sebarang krisis dan isu yang timbul di dalam
masyarakat, hendaklah diselesaikan dengan penuh ilmu dan hikmah.
Malah bagi kita umat Islam di negara ini, tidak timbul jalan
kekerasan atau keganasan untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian dan
konflik yang berlaku di antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam,
malah jalan yang sama sering diambil ketika berlaku perselisihan dan
krisis di antara umat Islam sesama umat seagamanya.
Hal inilah yang saya rasakan bahawa orang Melayu yang menerima ajaran
Islam dan menghayati akhlak dan moral Islam itu sememangnya amat
komited kepada ajaran agamanya. Mereka menyedari tanggung jawabnya
terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan mereka sentiasa menyedari akan
falsafah perjuangan dalam menegakkan agama ini, iaitu tanpa mengorbankan
prinsip dan ajaran asas agama Islam sendiri.
Melihat peristiwa yang berlaku di Mesir, Syria, Iraq, Tunisia dan
lain-lain lagi di negara para Nabi dan Rasul yang amat bergolak pada
masa kini, saya sering bertanya apakah umat Islam di negara-negara
tersebut tidak mempunyai keupayaan lagi untuk menahan marah dan nafsu
ledakan emosi dan sentimen mereka ketika menghadapi krisis dalam negara
mereka pada masa kini?
Apakah bulan puasa dan ibadat puasa yang sedang dilakukan pada masa
kini juga tidak berdaya lagi mengajar mereka supaya bersabar dan
berhikmah, dengan mencari jalan yang bijak untuk menyelesaikan masalah
dan konflik mereka sesama sendiri itu?
Apakah ertinya puasa mereka dalam bulan Ramadan yang berkat ini
sekiranya ibadat mulia itu disertai oleh perbuatan yang jelas
bertentangan dengan roh dan semangat Ramadan sendiri? Di manakah ajaran
dan pendidikan yang seharusnya mereka hayati dalam menghadapi tekanan
dan krisis sesama mereka sehingga mereka sanggup menghalalkan perbuatan
mereka yang jelas bertentangan dengan matlamat ajaran agama Islam
sendiri?
Ini hanya sekadar beberapa perbandingan sepintas lalu tentang
perbezaan tindakan umat Islam di rantau Nusantara, khususnya, umat
Melayu, ketika menghadapi krisis yang amat mudah membangkitkan ledakan
emosi dan sentimen keagamaan atau perkauman, malah taksub kepartian yang
melulu.
Maka dalam melihat ke dunia Islam lain inilah saya melihat bahawa
keberkatan persefahaman di antara umat Melayu dan kaum-kaum lain di
negara kita inilah yang memungkinkan Malaysia mengamalkan dasar
toleransi yang tinggi dalam kepelbagaian dimensi kehidupan kita.
Kita mengamalkan dasar 'perkongsian kuasa' (power sharing)
yang amat bermakna dalam membangunkan negara dan bangsa kita, sehingga
dasar ini telah membawa kita kepada kehidupan bersama secara aman dan
damai (peaceful coexistence) selama ini.
Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh pelbagai kaum, termasuk
orang Melayu dan umat Islam sendiri di negara ini, yang memungkinkan
kita melahirkan satu masyarakat contoh yang terbaik dalam dunia ini
dalam konteks masyarakat majmuk.
Oleh itu, saya merasakan bahawa dalam meneruskan legasi kekuatan
toleransi umat Islam dan Melayu di rantau ini, khususnya di negara kita,
maka seluruh dunia haruslah menghormati sentimen dan persefahaman ini.
Dalam konteks inilah juga saya telah mengemukakan idea agar legasi
Melayu dalam perjuangan menegakkan Islam dengan segala contoh tauladan,
kegigihan dan perjuangan yang penuh hikmah, pemikiran dan tamadunnya,
seharusnya kita tonjolkan di dalam dunia umumnya, bahawa selain daripada
masyarakat Asia Barat dan Afrika Utara, sebenarnya di sana terletak
pusat pembangunan dan tamadun Islam, iaitu di tangan umat Islam dan
orang Melayu, di rantau dunia yang terkenal sebagai Tanah Melayu dan
bumi Nusantara yang selama ini diabaikan dalam sejarah pembangunan Islam
dan tamadunnya.
Dunia antarabangsa seharusnya dapat mengenali Islam dan tamadun serta
pemikirannya melalui masyarakat Melayu, dan masyarakat bukan Islam juga
seharusnya menghargai sumbangan Melayu dalam membangun dan memahkotakan
Islam sebagai agama perdamaian dalam dunia yang serba bergolak ini.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...