Darahsatriadotcom

Wednesday, 21 August 2013

Undang-Undang Jenayah Diteliti...

Kerajaan sedang meneliti sama ada undang-undang sedia ada memadai untuk membanteras jenayah atau ada keperluan menggubal undang-undang tambahan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan juga belum membuat keputusan sama ada mewujudkan kembali undang-undang pencegahan bagi menentang jenayah serius di negara ini. 


“Kita mahu meneliti sama ada undang-undang sedia ada memadai dan buat masa sekarang, kita sedang adakan perbincangan intensif,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Kewangan di sini, semalam. 

Ditanya sama ada wujud keperluan menghidupkan semula undang-undang pencegahan, Najib berkata, masalah dengan undang-undang itu ialah ia dilaksana sebelum kesalahan dilakukan. 

“Bagaimana nak tahan seseorang kalau dia belum melakukan kesalahan? Adakah berasas untuk menahan seseorang dengan menggunakan undang-undang pencegahan hanya kerana kita mengesyaki seseorang. 

“Inilah dilema yang kita hadapi sekarang dan umum harus sedar tatkala kita mahu mengurangkan kadar jenayah, kita juga mahu mengurangkan pencabulan hak asasi manusia di negara ini,” katanya. 


Perdana Menteri berkata, Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama membuat kajian sama ada undang-undang sedia ada berkesan. 

“Jika tidak berkesan, ia diperkukuhkan dengan peruntukan yang perlu bagi menambah baik dan pada masa sama mengelakkan salah guna atau pencabulan,” katanya. 

Sejak April hingga minggu lalu, kira-kira 40 kes tembak dan bunuh dilaporkan di seluruh negara, sekali gus ada pihak mendakwa ia akibat pemansuhan undang-undang pencegahan seperti Ordinan Darurat (EO), Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Akta Kediaman Terhad 1933. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa peningkatan jenayah adalah harga bagi kebebasan, Najib berkata, kerajaan cuba mewujudkan keseimbangan antara kebebasan hak asasi manusia dengan kepentingan serta ketenteraman awam. 

“Ini adalah perseimbangan yang perlu kita capai dalam hasrat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih matang dan memelihara hak asasi individu dan di samping itu tidak mengetepikan hasrat kita untuk menjaga kepentingan awam keseluruhannya,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...