Perbelanjaan pengiklanan (adex) untuk akhbar
berbahasa Melayu jatuh sebanyak 1.8 peratus setakat September lalu,
walaupun adex industri mencatat pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus.
Bagaimanapun, adex untuk akhbar berbahasa Cina dan Inggeris
masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak enam hingga tujuh peratus
dalam tempoh sembilan bulan berkenaan.
AmResearch dalam nota kajiannya menyatakan, perancangan perbelanjaan
adex mungkin akan merosot selepas ini disebabkan kebarangkalian
pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan cukai barangan dan perkhidmatan
(GST).
Menurut kajian berkenaan lagi, untuk keseluruhan industri media, adex
industri mencatatkan pertumbuhan sebanyak tujuh peratus untuk tempoh
bulan ke bulan pada September dan 30.5 peratus untuk tahun ke tahun.
Pada bulan lalu telah mencatatkan pemulihan yang baik untuk
keseluruhan industri selepas mencatatkan kejatuhan pada Ogos tetapi
tidak diikuti oleh adex untuk akhbar-akhbar berbahasa Melayu.
Sementara itu, RHB Research menyatakan, adex akhbar berbahasa Melayu
jatuh 26 peratus pada September 2013 kepada RM113.6 juta berbanding
RM154.3 juta untuk tempoh sama tahun lalu, berbeza dengan akhbar Cina
dan Inggeris yang masing-masing meningkat 8.9 dan 7,2 peratus.
RHB Research yang memetik laporan Nielson Co. turut menyatakan
pertumbuhan dari Ogos ke September 2013 menunjukkan adex akhbar
berbahasa Melayu turut mencatatkan kemerosotan berbanding akhbar lain
yang terus meningkat.
Sebelum ini, laporan tahun lalu telah menunjukkan pengiklanan oleh 17
syarikat milik kerajaan (GLC) terbesar di negara ini untuk media
berbahasa Melayu sepanjang 2012 adalah lebih rendah berbanding jumlah
yang dibelanjakan untuk media berbahasa lain.
Walaupun Mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC
(PCG) yang berlangsung pada 3 Mei 2012 telah menyarankan supaya GLC
memberi keutamaan kepada media cetak berbahasa Melayu dalam mengiklankan
produk dan perkhidmatan masing-masing, namun impaknya masih tidak
kelihatan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh pengerusi serta ketua pegawai
eksekutif syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan 17 GLC
terbesar di bawah Program Transformasi GLC.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...