Pemilihan UMNO 2013 yang berlangsung pada 12 dan 19 Oktober ini
dilihat sebagai satu pertandingan untuk melihat barisan kepimpinan yang
efektif dan rasional di mata 146,500 ahli UMNO yang layak untuk
mengundi.
Atas tuntutan demokrasi, maka ramai ahli UMNO menawarkan diri untuk dipilih menjadi pemimpin - cawangan, bahagian dan pusat.
Seramai 33,682 ahli UMNO dari seluruh negara menawarkan diri sebagai
calon bertanding pelbagai jawatan peringkat bahagian dan pusat.
Pemilihan pada kali ini adalah gelanggang untuk melihat pemimpin UMNO
yang dipilih nanti bukan sahaja boleh diterima oleh parti tetapi juga
rakyat.
Sebab itu UMNO mesti ketengahkan barisan pemimpin yang boleh diterima
rakyat dan mampu mencerminkan imej yang positif kepada parti itu.
Sebagai pengundi, ahli UMNO bukan sahaja akan memilih individu
sebagai pemimpin parti peringkat bahagian dan pusat, tetapi turut
menentukan hala tuju parti.
Jadi ahli UMNO yang diberi amanah untuk mengundi mesti pandai menilai pemimpin yang akan memimpin mereka.
Pilihlah pemimpin yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi dan
sanggup berkorban apa sahaja demi menjaga kepentingan agama, bangsa dan
tanah air.
Proses terbaharu pemilihan UMNO kali ini jika dilaksanakan dengan
betul, maka tiada lagi salah guna kuasa, akan lenyap politik wang dan
berkurang kempen melobi perwakilan. Hanya pemimpin yang benar-benar
berkhidmat dan berbakti akan dikenali oleh ahli peringkat cawangan.
Kepada pemimpin UMNO yang pernah diberi peluang untuk memimpin
ahlinya di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat, tetapi telah
gagal melaksanakan amanah yang diberi, ahli-ahli kenal siapa individu
tersebut. Ahli UMNO kenal siapa yang selalu buat kerja untuk parti dan
siapa yang hanya pandai main wayang.
Dalam keghairahan pesta demokrasi dalam UMNO ini, ahli UMNO tidak
boleh buat silap. Kesilapan memilih pemimpin yang tidak mampu membawa
perubahan kepada parti, maka menjadikan UMNO sebuah parti yang terus
berpenyakit, lemah dan mungkin sukar diubati.
Ahli UMNO membantu menaikkan pemimpin ke atas sebab kecerdikannya dan kebolehan memimpin dan kerana politik sogok menyogok.
Dalam memilih pemimpin perlu ada rasionalnya. Kenapa hendak menolak
pemimpin atau ketua yang sudah menyumbang kepada kemenangan UMNO dan
Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.
Tolaklah pemimpin yang menyebabkan BN tersungkur di kawasan yang berkenaan. Tolak mereka dan kroninya yang tak buat kerja.
Nyahkan mereka yang membolot peruntukan yang disediakan untuk PRU-13
setelah tidak dipilih untuk menjadi calon dengan tujuan menggunakan wang
itu untuk bertanding pada pemilihan UMNO kali ini.
Golongan ini menjadi duri dalam daging malah ada di kalangan mereka
yang terus mahu memegang jawatan dalam parti. Merekalah yang main
politik wang hingga menjejaskan kepercayaan rakyat kepada UMNO.
Jika perwakilan UMNO sayangkan parti, bersarakan golongan ini daripada memegang sebarang jawatan dalam parti.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...