Darahsatriadotcom

Tuesday, 15 October 2013

Transformasi UMNO, Semangat Aidiladha...

Setiap Muslim yang mengerjakan ibadat haji akan melakukan ibadat korban sebagai usaha bertaqarrub atau memerdekakan diri kepada Allah. Bertaqarrub turut dilakukan oleh Muslimin di seluruh dunia sebagai ibadat sunat bagi setiap orang yang waras dan berkemampuan.

Baginda Rasulullah SAW menegaskan, orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini.

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?" Jawab Rasullullah SAW: "Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim." Sahabat itu bertanya lagi: ''Apakah keuntungan korban itu untuk kita?" Jelas Baginda: "Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah)."

Menurut Iman Syafei, hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya).

Di samping itu, sempena Hari Raya Korban ini umat Islam dituntut merapatkan ukhuwah Islamiah di samping bersikap toleransi sesama manusia. Ketika hayatnya Rasulullah SAW pernah diajukan soalan mengenai seorang wanita yang banyak melakukan ibadah, berpuasa, bersolat tetapi wanita itu suka menyakiti hati jirannya.

Nabi Muhammad SAW menyifatkan tindakan itu sebagai hiya finnar, iaitu tidak membangunkan hubungan baik dengan masyarakat atau jirannya, dan sebagai balasannya, ia akan dicampakkan ke neraka.

Hari Raya Korban sebenarnya menuntut kita agar lebih banyak beramal sosial dan ia perlu dilakukan secara meluas, bukannya bersifat formal.

Terbukti sudah, berapa ramai mereka yang sering melaksanakan ibadah korban tetapi perangai masih tetap tidak berubah, masih bakhil, sombong, riak, tamak, tidak amanah dan hidup dalam budaya rasuah. Lebih teruk lagi mengambil sikap mengasingkan diri daripada masyarakat.

Amal sosial sekalipun nampak remeh dan kecil namun di sisi agama ia sangat dihargai dan besar maknanya. Walaupun sekadar bermuka manis ketika bertemu kawan atau membuang duri di jalan, ia sudah dinilai dalam Islam sebagai orang yang beriman.

Oleh kerana kehidupan umat Islam adalah berbeza-beza, terutama dalam perspektif sosioekonomi dan sosiobudaya, mereka yang berada dalam situasi yang lebih baik wajib melihat kegetiran hidup umat Islam lain.

Umat Islam yang hidup dalam kesulitan, tertindas, teraniaya atau tersingkir daripada labuhan persadanya; umat Islam yang memiliki kesenangan hendaklah berkorban melakukan proses penyelamatan atau pembebasan menerusi pengorbanan wang ringgit, tenaga dan fikiran.

Mereka yang mempunyai kuasa diharamkan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menindas mereka yang dalam kesusahan.

Haram bagi seorang Islam untuk mengambil kesempatan mencari kekayaan peribadi atau menguatkan kedudukan sendiri dengan mengeksploitasikan kesulitan orang lain. Inilah yang sebenarnya ditekankan oleh Islam sebagai agama kesejahteraan bagi setiap manusia.

Dalam situasi kempen politik yang sedang berlaku, jelas ada petunjuk bahawa pihak yang menyokong seseorang berusaha untuk menafikan hak pihak lain dengan memperkenalkan syarat tertentu sebagai proses penyekatan proses demokrasi.

Misalnya, mengenai pemilihan UMNO yang dikatakan paling demokratik sejak penubuhannya, ada usaha untuk menggagalkan pihak lain dengan meletakkan syarat, seseorang calon yang layak bertanding ialah mereka yang pernah memegang jawatan di peringkat bahagian. Ini bermakna, meskipun ada calon yang menawarkan diri, ia tetap ditolak kerana ketokohannya tidak cukup syarat kerana tidak mempunyai jawatan dalam bahagian.

Proses ini menjadi sedikit terencat kepada proses pendemokrasian politik yang hendak dilaksanakan, kerana sebelumnya, syarat itu tidak ditegaskan termasuk ketika proses penerimaan pencalonan seseorang. Sepatutnya, pihak yang menguruskan proses tersebut bersedia memberikan penolakan di peringkat awal dan bukannya selepas beberapa siri memperkenalkan calon yang ketat dan meletihkan.

Kempen secara terbuka tidak lagi diberikan keutamaan kerana pihak yang menguruskan pemilihan melihat ia sebagai suatu kemungkinan yang boleh menjejaskan calon yang disokongnya secara senyap-senyap menang.

Sebenarnya, ada sekelompok dalam pengurusan pemilihan tidak senang dengan kemunculan atau kemenangan calon baharu yang dilihat boleh menjejaskan kedudukannya sebagai pekerja parti yang menguruskan perjalanan proses transformasi yang lebih meluas dan berkesan.

Mengambil semangat dan kesan psikologi yang hendak diterapkan menerusi erti pengorbanan dalam Islam, maka syarat yang dikenakan itu sepatutnya dikorbankan kerana ada sebahagian pemimpin tertinggi UMNO sudah dilihat tidak lagi berkesan, suaranya hanya nyaring ketika berkempen tetapi selepas menduduki jawatan penting, suaranya umpama badut politik yang hanya tahu menjaga kedudukan tetapi tidak meneruskan janjinya untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Bagaimanapun, pemimpin ini adalah orang yang pintar bermain dengan kata-kata tetapi amat kerdil dengan tindakan. Prinsip perjuangannya adalah "manis di bibir, langkah seharian begitu sumbang", dan orang ini sebenarnya sudah tergelincir imannya. Meskipun masih boleh bersyahadah, tetapi syahadahnya hanyalah sekadar mainan kata-kata, kalbunya jauh daripada lingkungan ubudiah dan ukhuwah.

Kelompok ini hanya sekadar bertahan agar tidak dilihat imannya tergelincir, sentiasa mempamerkan wajah manis tetapi tidak dengan keikhlasan.

Persoalan sedemikian boleh diperhatikan daripada sikap segolongan mereka yang pernah memimpin di Iraq, Mesir, Yaman, Palestin , Bosnia-Herzegovina dan Yugoslavia, akhirnya kerana ingin mengekalkan kuasa yang dimiliki, sanggup menindas dan mengeksploitasi orang awam yang menyokongnya dengan prinsip berbohong atau cognitive dissonance.

Secara mudahnya, prinsip ini tidak selari dengan apa yang menjadi intipati perjuangan, yakni cakap tidak sama dengan apa yang dilakukan. Oleh kerana mahukan kedudukan, maka orang sanggup berbohong dan menutup kelemahan sendiri dengan merayu, membasuh minda orang awam bahawa jangan dicurah air di tempayan hanya kerana mendengar guruh di langit.

Walhal, air di tempayan hanyalah tinggal keladaknya sahaja, maka keladak itu wajib dicuci agar hujan yang bakal mencurah turun boleh mengisi tempayan dengan air yang bersih. Pemimpin yang baharu mungkin lebih baik kerana mereka belum mempunyai kesalahan, kuat semangat dan lebih bertenaga berdasarkan kepakaran yang dimilikinya.

Dari segi realiti, hari ini juga kita dapat lihat kehidupan sesetengah orang yang berbeza atau berlawanan dengan apa yang kita bicarakan ini. Ada yang sekadar membina hubungan baiknya dengan Tuhan dengan banyak beribadah kepada-Nya, tetapi tidak dengan masyarakat sekitarnya.

Sementara itu, sebahagian orang pula hanya menjalinkan hubungan baiknya dengan masyarakat dengan banyak beramal sosial, tetapi melupakan jalinan hubungan baiknya dengan Allah.

Dan yang lebih teruk lagi manusia yang langsung tidak peduli dengan Allah dan juga dengan sesama manusia. Golongan ini dilaknat Allah dan dibenci oleh masyarakat. Tiga jenis pola kehidupan ini amat bertentangan dengan Islam dan bertentangan pula dengan amanat Aidiladha.

Dalam hal ini Allah SWT telah memperingatkan perkara ini melalui firmanya yang bermaksud: "Kehinaan akan ditimpakan kepada manusia dimana pun mereka berada kecuali kalau manusia itu menghina hubungan baiknya dengan Allah dan hubungan baiknya dengan sesama manusia…." (Surah Ali lmran ayat 112)

Demikian juga keistimewaan Nabi Ibrahim AS wajar diteladani oleh seluruh manusia seperti mana yang diwujudkan dalam bentuk ibadah haji.

Keteladanan yang diwujudkan dalam bentuk ibadah tersebut dan praktik-praktik ritualnya berkaitan dengan peristiwa yang dialami oleh beliau dan keluarganya, pada hakikatnya merupakan penegasan kembali dari setiap jemaah haji, tentang keterikatannya dengan prinsip-prinsip keyakinan yang dianut oleh Ibrahim AS yang intinya adalah:

(1) Pengakuan akan keesaan Tuhan serta penolakan terhadap segala macam dan bentuk kemusyrikan, baik berupa patung-patung, bintang, bulan dan matahari, bahkan juga segala sesuatu selain Allah SWT.

(2) Keyakinan tentang adanya neraca keadilan Tuhan dalam kehidupan ini dan yang puncaknya akan diperoleh setiap makhluk pada hari kebangkitan kelak.

(3) Keyakinan tentang kemanusiaan seseorang yang bersifat universal, tiada perbezaan dalam kemanusiaan seseorang dengan lainnya, betapa pun terdapat perbezaan antara mereka dalam hal-hal lainnya.

Ketiga-tiga inti ajaran ini tercermin dengan jelas atau dilambangkan dalam praktik-praktik ibadah haji. Dan, seharusnya proses pencerahan yang berlaku menerusi ibadat haji dan prinsip pengorbanan dalam Aidiladha dapat dijadikan panduan berguna buat pemimpin politik UMNO sepanjang pemilihan pada tahun ini.

Jika pengajaran dan iktibar seperti ini dapat diambil dengan baik, UMNO akan menjadi parti yang memperoleh penghormatan besar dalam kalangan masyarakat Islam, dan bukan sekadar parti politik untuk berkuasa atau mengekalkan kuasa.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...