Darahsatriadotcom

Saturday, 23 March 2013

Benarkah Itu Strategi Politik Atau Demi Kepentingan Peribadi?

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, soal siapa calon, kawasan mana hendak bertanding dan berapa jumlah kerusi yang akan ditandingi mula hangat diperkatakan. Barisan Nasional (BN) dikatakan sudah selesai dari segi pembahagian kerusi tanpa sebarang masalah biar pun mempunyai 13 parti komponen.

Pakatan pembangkang pula dikatakan masih teraba-raba kerana mencari jalan penamat memandangkan masing-masing mahu tambahan kerusi.


Bagi kerusi Parlimen, Pas yang bertanding sebanyak 66 kerusi pada pilihan raya umum lalu dan menang 23 kerusi sudah menyatakan akan bertanding 76 kerusi, DAP yang bertanding 47 kerusi sebelum ini telah meminta tambahan kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding 97 kerusi belum membuat sebarang pendirian.

Apa pun yang menjadi tumpuan pada masa ini, apabila ada pengumuman rasmi oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Lim Kit Siang yang kini menjadi Ahli Parlimen Ipoh Timur akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah. Anwar sendiri pula diura-urakan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kerusi tradisinya sejak mula-mula bertanding dalam pilihan raya pada 1986.

Kerusi berkenaan pernah disandang oleh isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, sebelum Presiden PKR itu meletakkan jawatan bagi membolehkan suaminya kembali berkuasa di situ melalui satu pilihan raya kecil pada tahun 2009.

Berpindah tempat bertanding bukanlah satu kesalahan dan ia dibenarkan dalam peraturan pilihan raya. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, sepanjang kariernya pernah bertanding di tiga kerusi Parlimen iaitu di Nilam Puri (1990 hingga 1995) yang kemudiannya ditukar kepada Kubang Kerian), Parlimen Kubang Kerian (1995-1999), Kuala Kedah (1999-2004) dan Kuala Terengganu pada pilihan raya umum lalu tetapi tewas.

Pengerusi DAP, Karpal Singh pula pernah bertanding di Parlimen Alor Setar pada tahun 1974 tetapi kalah, sebelum ‘berpindah’ ke Pulau Pinang dengan menjadikan Parlimen Jelutong sebagai kubu kuat beliau. Karpal bertahan di situ mulai 1978 hingga 1999 sebelum bertanding di Parlimen Bukit Gelugor mulai 2004 selepas tewas di Jelutong pada 1999.


No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...