Darahsatriadotcom

Thursday, 21 March 2013

Pengajaran Episod Berdarah Lahad Datu...



Terdapat pengajaran penting yang boleh dipelajari di sebalik pencerobohan kumpulan pengganas bersenjata Kiram di Pantai Timur Sabah yang menyebabkan konflik bersenjata antara pasukan keselamatan negara dan kumpulan pengganas dari Filipina itu.

Penjelasan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib adalah sangat tepat di mana beliau menganggap bahawa kejadian tersebut adalah sebagai wake up call kepada semua betapa negara Malaysia terdedah kepada ancaman luar dan mengapa penting untuk kerajaan dan rakyat supaya tidak mengabaikan soal keselamatan. Selama ini kita telah diberkati dengan keamanan dan kestabilan dan pencerobohan oleh pengganas bersenjata dari negara asing ini amat mengejutkan semua pihak.

Persoalannya mengapa ia berlaku ketika ini dan adalah agak janggal kerana tuntutan yang tidak berasas ke atas Sabah dilakukan oleh pengganas yang bersenjata. Ia adalah satu wake up call untuk kita dan merupakan peringatan kepada semua bahawa kesejahteraan dan keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan walaupun pada waktu aman.

Langkah-langkah kini sedang diambil untuk meningkatkan keselamatan di Pantai Timur Sabah demi meningkatkan keupayaan tentera kita dari segi peralatan, latihan, kemahiran dan kecerdasan.

Langkah-langkah juga diambil untuk menubuhkan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk menangani ancaman keselamatan masa depan. Enam balai polis baharu juga akan dibina di sana.

Seperti kata pepatah "it is better late than never" adalah menjadi harapan kita bahawa langkah-langkah ini akan memastikan Sabah selamat dan utuh sekarang dan pada masa hadapan.

Apa yang saya ingin lihat daripada episod berdarah di Lahad Datu ini bukan sahaja dari aspek keselamatan malah yang lebih penting adalah semangat patriotik yang perlu diperkukuhkan. Dalam krisis sebegini, ia akan menguji tahap semangat patriotisme rakyat Malaysia yang sebenar.

Di sebalik menyokong pasukan keselamatan kita, terdapat beberapa golongan yang memilih untuk memperlekeh dan membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab tentang perwira kita yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan dan melindungi kehormatan, kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia.

Saya ingin mencadangkan supaya dokumentari dari Bernama tentang pencerobohan Sabah oleh pengganas Kiram bukan sahaja disiarkan di televisyen malah didedahkan kepada semua sekolah supaya generasi muda faham tentang pencerobohan ini.

Selain itu, ia juga akan membantu untuk membina semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda serta menyedarkan mereka betapa pentingnya keamanan, keharmonian dan perpaduan di negara kita yang tercinta.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...