Darahsatriadotcom

Monday, 1 April 2013

Analisis : Percaturan Politik Pembangkang...


Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan sahaja menjadi medan kepada pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas untuk berusaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malahan ia juga dikatakan menjadi gelanggang kepada pemimpin dan kelompok tertentu dalam parti masing-masing untuk memperkukuhkan kedudukan politik mereka.
Mungkin seperti biasa pembangkang akan menafikan semua dakwaan ini dan menggangap ia satu propaganda bagi memburuk-burukkan mereka.

Sama ada PKR, DAP mahupun Pas, tidak boleh menafikan sebagai parti politik, mereka tidak akan terlepas daripada perebutan kuasa dan usaha memperkembangkan pengaruh.

Perkembangan politik yang berlaku dalam ketiga-tiga parti itu sudah menjadi rahsia umum biar pun ia cuba ditutupi dengan pelbagai hujah.

Dalam PKR, umum mengetahui bagaimana hubungan antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan bagaimana pula hubungan antara Azmin dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam DAP pula berlaku pertembungan antara Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming dengan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang semakin hebat.

Pertelagahan dikatakan berpunca apabila DAP negeri yang dikuasai Koo Ham berkeras mahu meletakkan lebih ramai calon-calon Cina termasuk di kerusi-kerusi yang sebelum ini ditandingi pemimpin India DAP.

Turut tidak terlepas terlibat dalam pertelingkahan dalaman ialah Pas, apabila berlakunya pertembungan antara kumpulan ulama dan kumpulan Anwarinas.
Ini belum lagi mengambil kira bagaimana berlakunya pertembungan perebutan kerusi yang melibatkan ketiga-tiga parti itu.

Apa pun setakat ini sudah ada senarai calon-calon pemimpin pembangkang yang dikatakan akan bertanding.

Bagi DAP, selain Kit Siang yang akan bertanding di Gelang Patah, bagi kerusi Ipoh Timur yang dikosongkan oleh Kit Siang ia akan ditandingi oleh Thomas Su.

Jika benar andaian ini, ia bermakna langkah itu akan menutup peluang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut-sebut akan bertanding kerusi Ipoh Timur.
Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas Perak memberikan isyarat secara halus menolak Anwar bertanding di kerusi tersebut apabila menyatakan Pengerusi DAP, Karpal Singh lebih sesuai berada di situ.

Tegang

Apa yang menarik, nama Kulasegaran dikatakan tidak disenaraikan untuk mempertahankan kerusi Ipoh Barat sebaliknya yang disebut-sebut akan bertanding di situ bagi mewakili DAP ialah Wong Kah Woh. Kerusi Batu Gajah pula yang sebelum ini disandang oleh Fong Po Kuan dikatakan akan diserahkan kepada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V.Sivakumar.

Mungkin itu harga yang perlu dibayar oleh Kulasegaran dan Po Kuan yang dikatakan mempunyai hubungan tegang dengan Koo Ham dan Kor Ming.

Bagi PKR pula, kenyataan Wan Azizah bahawa beliau akan bertanding di salah sebuah kerusi DUN di Selangor 'menghangatkan' isu perebutan kuasa politik dalam kalangan pemimpin-pemimpin PKR di negeri berkenaan.

Sebelum ini, Khalid Ibrahim dikatakan sudah cukup tertekan berhadapan dengan mainan politik Azmin yang disebut-sebut bakal menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar jika pembangkang terus memerintah Selangor.

Namun dengan kehadiran Wan Azizah ia mewujudkan spekulasi bahawa Presiden PKR itu bakal menduduki kerusi Menteri Besar sekali gus menafikan peluang Khalid dan Azmin yang disebut-sebut kemungkinan akan bertanding kerusi Parlimen.

Walaupun langkah meletakkan Wan Azizah dilihat strategi PKR untuk menarik perhatian pengundi namun, Wan Azizah bukanlah pemimpin yang layak untuk bertanding apatah lagi menjadi orang nombor satu di Selangor.

Ini berikutan Wan Azizah sudah ditafsirkan sebagai Presiden yang lemah dan hanya menjadi perhiasan sahaja bagi sebuah organisasi. Beliau seolah-olah tidak ada suara dan kuasa kerana segala-galanya diuruskan oleh suaminya, Anwar.

Selain 'adegan politik' PKR yang agak menarik di Selangor, di Johor dan Kedah situasi juga tidak kurang hebatnya.

Dua bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disebut-sebut menjadi sandaran PKR di Johor iaitu bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein dan Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid.
Md. Hashim dikatakan akan disenaraikan bertanding di kerusi Parlimen Johor Bharu manakala Abdul Ghafir di Parlimen Pasir Gudang.

Kehadiran bekas jeneral ini dilihat usaha PKR untuk menarik undi anggota-anggota tentera bukan sahaja di Johor tetapi juga seluruh negara.

Selain itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution pula dikatakan akan berubah angin untuk bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Bharu selepas dilaporkan bakal menempuh laluan sukar di kerusi yang disandangnya iaitu Parlimen Machang, di Kelantan.

Masalah

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng yang dikatakan 'terasa hati' kerana tidak dapat bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah disebut-sebut akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Segamat.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah pula yang dilaporkan semakin tidak popular di Lembah Pantai dikatakan akan terus mempertahankan kerusi itu.

Namun apa yang menarik ialah kedudukan kerusi Parlimen Bagan Serai. Kerusi ini menjadi perebutan antara PKR dan Pas. Mungkin menyedari keadaan itulah, Anwar awal-awal lagi tanpa mempedulikan perasaan penyokong akar umbi Pas di kawasan itu mengumumkan Dr.Muhammad Nur Manuty akan bertanding di situ.

Tindakan Anwar itu dilihat akan memberikan masalah kepada Dr.Muhammad Nur kerana PKR sememangnya bergantung jentera Pas untuk mempertahankan kerusi itu yang sebelum ini dimenangi oleh PKR dengan majoriti 3,413 undi melalui calonnya, Muhsin Fadzil Samsuri.

Penulis difahamkan, penyokong-penyokong Pas di kawasan berkenaan benar-benar kecewa dengan tindakan PKR yang dilihat tidak menghormati kehendak mereka.
Bagi Pas pula, percaturan juga sudah dilakukan di mana pemimpin-pemimpin utama mereka dikatakan akan bertanding di kerusi-kerusi yang dianggap strategik.

Dua Exco Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan dikatakan berpindah bertanding dari DUN ke Parlimen. Husam disebut-sebut bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya manakala Takiyuddin akan bertanding di Kota Bharu.

Keadaan itu dikatakan satu percaturan oleh Pas Kelantan dalam usaha memastikan bakal pengganti Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar terdiri daripada golongan ulama. Dua nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Nik Abdul Aziz ialah Datuk Amar Nik Abdullah dan Datuk Ahmad Yaacob.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pula disebut-sebut akan bertanding di Parlimen Pendang.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dikatakan akan mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang di samping Parlimen Marang.

Bagaimanapun difahamkan Abdul Hadi dikatakan bakal menghadapi laluan sukar mengekalkan kerusi Parlimen tersebut berikutan penolakan rakyat yang semakin ketara di kawasan itu terhadap beliau.

Apa pun, senarai yang dinyatakan ini bukanlah senarai terakhir. Tidak mustahil ketiga-tiga parti itu akan melakukan perubahan menjelang pilihan raya.

Namun tidak kira apa pun langkah yang dilakukan rakyat kini semakin faham corak politik pakatan pembangkang yang segala-galanya berpaksikan kepada matlamat merebut kuasa semata-mata.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...