Darahsatriadotcom

Monday, 1 April 2013

Tuntutan Bernafsu Jamalul Kiram III…

Akhbar di Filipina pada 25 Mac lalu melaporkan kerajaan Filipina mungkin mengemukakan tuntutan ke atas Sabah. Kemungkinan itu dibayangkan oleh Setiausaha Kehakiman Filipina, Leila de Lima susulan arahan Presiden, Benigno Aquino III untuk meneliti kesahihan tuntutan Jamalul Kiram III terhadap negeri berkenaan.

Yang menjadi persoalan, apakah Filipina berhak menuntut Sabah menerusi Jamalul Kiram III? Soalan itu dicetuskan Pengerusi Biro Antarabangsa, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), FAKHRUL AZMAN ABU BAKAR dalam pertemuan bersama wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurugambar, SAFIYANA SALIM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Penasihat Biro Antarabangsa IKIAM, Datuk Sulaiman Ibrahim turut hadir dalam pertemuan tersebut.


Timbul tanda tanya: Layakkah Fakhrul Azman mempertikaikan tuntutan Filipina atau Jamalul Kiram III terhadap Sabah? Beliau bukan seorang diplomat atau pakar perundangan antarabangsa. Sudah tentu Fakhrul Azman bukan berdarah Sulu. Beliau berasal dari Terengganu.

Pembabitan Fakhrul Azman secara aktif dalam IKIAM telah membawanya menjelajah ke seluruh pelosok dunia termasuk selatan Filipina. Beliau mempunyai ramai kenalan di wilayah berkenaan termasuk tokoh gerakan Islam, Datu Ladjamura Muhammad Muizzudin II dan pemimpin masyarakat Sulu, Habib Mohd. Zakir al-Daie. Persahabatannya dengan tokoh-tokoh berkenaan telah membuka mata Fakhrul Azman untuk melihat tuntutan Jamalul Kiram III itu dari perspektif masyarakat Sulu di selatan Filipina.

 http://www.utusan.com.my/pix/2013/0401/Utusan_Malaysia/Rencana/re_01.1.jpg
Fakhrul Azman Abu Bakar (kiri) menunjukkan buku Tarsilah Brunei: Zaman Kegemilangan dan Kemasyhuran di Kuala Lumpur 27 Mac lalu. Turut kelihatan, Penasihat Biro Antarabangsa IKIAM, Sulaiman Ibrahim. - UTUSAN/Safiyana Salim

Isu tuntutan Jamalul Kiram III dan kerajaan Filipina masih berlarutan. Pada pandangan saudara, wajarkah tuntutan itu dibuat?

FAKHRUL AZMAN: Saya berpandangan, Filipina tiada asas yang kukuh untuk menuntut Sabah kerana Jamalul Kiram III tidak pernah diiktiraf sebagai Sultan oleh masyarakat Sulu di selatan Filipina. Dalang pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di timur Sabah itu sebenarnya syok sendiri.

Mungkin tidak ramai yang tahu, masyarakat Sulu mempunyai adat istiadat tersendiri berhubung pertabalan seorang Sultan. Dalam hal ini, mereka mempunyai kaedah yang agak unik. Saya difahamkan, kata pemutus tentang siapa yang layak menjadi Sultan terletak pada tangan 500 pembesar adat masyarakat Sulu yang bergelar Datu.

Setelah persetujuan dicapai, istiadat pertabalan Sultan Sulu seterusnya dilangsungkan di Rumah Bichara. Sultan Sulu yang baharu ditabalkan juga dikehendaki bersemayam di dalam wilayah kesultanannya.

Merujuk kepada adat istiadat tersebut, sudah tentu Jamalul Kiram III tidak layak digelar Sultan Sulu. Mengapa saya kata begitu? Jamalul Kiram III tidak dilantik oleh 500 Datu, tidak ditabalkan di Rumah Bichara dan kini beliau bersemayam di Manila.

Secara logiknya, kerajaan Filipina atau mana-mana kerajaan lain di dunia tidak perlu melayan tuntutan Jamalul Kiram III kerana beliau sendiri tidak pernah diperakui oleh masyarakat Sulu sebagai Sultan. Memandangkan Jamalul Kiram III bukan Sultan Sulu yang sah, tuntutannya ke atas Sabah juga tidak sah.


No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...