Darahsatriadotcom

Saturday, 27 April 2013

Anwar Ditolak Oleh DAP dan PAS!

DAP dan Pas tidak bersetuju untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana pembangkang sudah hilang kepercayaan terhadap beliau.
 
Menurut Timbalan Perdana Menteri, hal ini kerana Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilingkari dengan pelbagai masalah peribadi, selain menjadi beban kepada pembangkang.

"Saya dengar baru-baru ini pun Pas tidak mahu Anwar, dia mahu (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang jadi Perdana Menteri. (Pengerusi DAP), Karpal Singh dan DAP akhir-akhir ini tak mahu juga kerana Ketua Pembangkang ini sudah jadi liabiliti, tidak popular macam dulu.

"Dia (Anwar) punya cerita macam-macam orang sudah tidak percaya. Saya fikir kita sudah tahu apa ceritanya, tidak payah disebutkan di sini," katanya ketika berucap sebelum merasmikan bangunan baharu tiga tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Ming, Temiang yang dibina dengan kos RM1.5 juta di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; calon Barisan Nasional di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed dan calon DUN Jorak, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh. 

Isu penolakan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri timbul apabila didedahkan bahawa terdapat satu perjanjian sulit antara Pas dengan DAP untuk mengangkat Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Bagaimanapun, perjanjian antara DAP dengan Pas itu tidak diketahui Anwar dan keputusan tersebut dibuat kerana kedua-dua parti pembangkang berkenaan tidak setuju dengan tindakan Ketua Pembangkang itu menggunakan pelanduk dua serupa sebagai modal kempen bagi meyakinkan orang ramai bahawa beliau tidak terlibat dalam video seks yang dikatakan miripnya.

Muhyiddin berkata, perkembangan itu menunjukkan pembangkang masih tidak mempunyai kata sepakat siapa yang harus menjadi Perdana Menteri dan jika berjaya merampas kuasa pada pilihan raya umum ini, isu tersebut bakal menjadi satu masalah besar kepada mereka.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh meminta rakyat menilai pendirian pembangkang yang tidak bersatu hati apabila dicabar sama ada akan mengubah dasar dan polisi BN yang baik jika berjaya mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU-13.

"Ada (pembangkang) yang kata akan teruskan dan ada yang kata mahu hentikan. Jadi, bermakna mereka tidak bersatu hati. Kalau tidak bersatu hati akan jadi masalah besar kepada negara. Macam di Selangor sudah ditukar polisinya.

"Mereka yang berniaga memberitahu, sekarang susah mahu berniaga di Selangor. bukan sahaja susah, tapi tambah lagi beberapa peraturan baharu sehingga orang berniaga susah nak niaga. Kerajaan BN bukan baharu, tiap-tiap tahun kita tambah baik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, DAP perlu mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti tersebut kerana pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah menetapkan demikian dan mereka harus mematuhi undang-undang.

"Sekiranya DAP benar-benar sebuah parti yang 'betul' seperti dilaung-laungkan, mereka harus melakukannya kerana UMNO juga pernah diharamkan pada 1988 oleh ROS dan parti berkenaan akur," katanya.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...