Darahsatriadotcom

Saturday, 13 April 2013

Bermula Episod Tikam Dari Belakang!

Sakitkah kena tikam dari belakang? Maksudnya, kena khianat oleh orang yang dipercayai atau rakan bersekongkol.


Tidak payahlah menyesal sekarang sebab dari dahulu lagi sudah diberitahu, jangan percaya dengan pakatan pembangkang sebab masing-masing mahu mengejar kepentingan diri daripada kejayaan parti itu.

 Orang Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun DAP perlu sedar, kamera tertutup sentiasa ada di mana-mana dan boleh dipasang oleh sesiapa, apatah lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini.

Janganlah cakap soal sabar apabila kena tikam dari belakang ini kerana pasti orang yang kena itu akan merasa geram, kecewa dan terfikir, lepas ini apa pula yang hendak dibuat oleh orang yang tidak berpuas hati itu.

Dalam PRU-13 ini, ramai yang kena tikam dari belakang. Di Negeri Sembilan contohnya di DUN Labu, PKR yang mahukan kerusi itu ditikam dari belakang oleh Pas dan akhirnya, perkara itu dibawa kepada sidang akhbar.

Moralnya, orang yang kadang kala begitu rapat dengan kita, apatah lagi dalam parti pembangkang dan mungkin ada dalam kalangan mereka yang ilmunya tinggi, berbudi bahasa dan berjasa, pun tergamak melakukanya, apatah lagi rakyat biasa.

Jika itulah yang berlaku ketika ini, orang yang kena tikam dari belakang ini sebenarnya sedang memberi kemenangan total kepada orang yang mengkhianati kita, sekiranya tidak dilawan secara profesional.

Dia akan berjaya memporak-perandakan kehidupan kita, kerjaya mahupun parti yang kita wakili. Jangan biarkan orang sebegini menang dalam PRU-13 ini. Jauhkan diri dan berhati-hati dengan 'gunting dalam lipatan' ini.

Soalnya, orang yang tidak mengenang budi dan mengejar kepentingan diri untuk mendapat nama dalam PRU-13 ini akan sanggup melakukan apa sahaja untuk mengkhianati kawan dan tidak sepatutnya, sebagai rakyat kita berdiam diri dalam perkara ini.

Keadaan yang berkecamuk dalam pembangkang ini berlaku di seluruh negara dan akibatnya ada beberapa kerusi yang dipertandingkan, wujud saingan sesama mereka.

Maka, rakyat yang pada ketika ini bukan dalam kalangan ahli parti sedang memerhatikan calon dan parti untuk dipilih pada PRU-13.

Setakat ini, BN masih mendahului dalam semua aspek malah keutamaan disaksikan dalam pembahagian kerusi secara jujur, ikhlas, profesional dan semangat setiakawan yang tinggi.

Oleh itu, janganlah trauma dengan pengkhianatan masa silam dan usah pula bimbang jika ada pengkhianatan masa hadapan kerana kita mesti yakin terhadap reputasi BN adalah lebih baik berbanding ramai sudah kena tikam dari belakang dalam kalangan pembangkang.

Biarlah anjing menyalak bukit. Bukit tidak akan runtuh. Begitulah orang yang menikam kita dari belakang, kerana pada hakikatnya orang itu sebenarnya lemah, penakut dan tidak punya keyakinan diri untuk bertarung secara berdepan.

Percayalah, tidak ada orang yang mahu menendang anjing yang telah mati. Maka begitulah kita, selagi ada tenaga, upaya dan keinginan yang membuak-buak, maka akan sentiasa adalah musuh dalam selimut yang mengganggu gugat ketenteraman.

Jadi dalam istilah politik, orang yang kena tikam dari belakang itu sebenarnya individu yang kuat kerana orang pengecut tidak akan berani berhadapan kerana dia akan terjerumus dalam lubang yang digalinya sendiri. Tunggulah perkara itu akan berlaku tidak lama lagi!

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...