Darahsatriadotcom

Tuesday, 16 April 2013

Satu Analisa : Dari Rakyat, Untuk Rakyat!

Jika yang dicari adalah bulan dan bintang, maka manifesto atau aku janji Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 seperti dibentang Datuk Seri Najib Tun Razak malam kelmarin tidak layak dipandang.

Namun dokumen 17 perkara itu tidak mengandungi elemen-elemen fantasi atau khayalan.

Perkara-perkara yang terkandung di dalamnya juga bukan omong kosong atau janji-janji yang mudah dilafazkan dan sedap pada pendengaran.

Tetapi aku janji itu hadir dengan falsafah dan maruah yang digalas dengan cukup berat. Aku janji itu juga dirangka penuh bertanggungjawab serta dengan keyakinan dan kewibawaan mampu dilaksanakan.

Itulah aku janji BN - Menepati Janji, Membawa Harapan. Tonggaknya adalah rakyat dan pastinya akan dijayakan demi rakyat.



Dalam keadaan semboyan perang sudah ditiupkan dan jentera pilihan raya berada dalam kesiapsiagaan tinggi, aku janji itu melengkapkan barisan serangan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Kandungannya juga dengan mudah mematahkan segala janji-janji pembangkang menerusi manifesto mereka yang bukan sahaja indah khabar dari rupa, tetapi tiada jaminan boleh dilaksanakan.

Kerana itu jika diperhalusi satu persatu aku janji BN tersebut, rakyat pelbagai peringkat kumpulan mana sekali pun tidak akan menemukan mereka disisihkan daripada perhatian kerajaan BN.

Aku janji itu juga bersifat meneruskan kesinambungan usaha kerajaan BN selama ini dalam mensejahterakan rakyat pelbagai kaum dan memacu pembangunan negara menuju negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Di bawah jenama Janji Ditepati yang kini cukup sinonim dengan BN dan semakin diyakini rakyat, aku janji itu pastinya akan dibuktikan BN boleh dilaksanakan sekiranya parti itu diberi mandat sebagai kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Malah, tidak mustahil lebih banyak nikmat dikongsi dengan rakyat sekiranya kerajaan mendapat kemenangan lebih besar kerana tidak lagi perlu berdepan kerenah pembangkang yang sering kali menyukarkan usaha kerajaan berbakti kepada rakyat seperti dilakukan mereka ketika ini.

Hakikat yang perlu diberi perhatian dan sering diulang-ulang banyak pihak, pilihan raya umum akan datang bukan lagi medan untuk rakyat bereksperimen.

Rakyat sudah melihat natijahnya dalam pilihan raya umum lalu apabila tampuk pemerintahan negara diserahkan kepada pihak tidak berkemampuan dan tidak mempunyai pengalaman.

Nasib mereka bukan sahaja tidak terbela tetapi dibebankan pula dengan pelbagai permasalahan lain.
Dengan janji dalam manifesto pembangkang yang dibentangkan baru-baru ini, tiada jaminan perkara itu tidak akan berulang.

Bertitik-tolak daripada kebolehpercayaan itulah, rakyat kini perlu bijak membuat pilihan.
Di hadapan mereka, sudah dibentangkan segala janji.

Tinggal lagi mereka perlu memperhalusi pihak manakah yang boleh diletakkan kepercayaan dan pihak mana pula yang sepatutnya ditentang.

Persoalan itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dijawab kerana pencapaian kerajaan BN dan pembangkang sepanjang lima tahun selepas pilihan raya umum lalu terlalu jauh berbeza untuk dijadikan perbandingan.

Jika keamanan dan kemakmuran negara seperti dikecapi ketika ini mahu terus dinikmati, maka BN menerusi aku janji itu merupakan sandaran utama. Tetapi jika mahu berkongsi kepayahan seperti dirasai rakyat di negeri pembangkang ketika ini, BN tidak mempunyai pengalaman membawa rakyat ke arah itu.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...