Darahsatriadotcom

Tuesday, 16 April 2013

BN Terduduk Memikirkan Nasib Parti!

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen serta kehilangan beberapa negeri mengejutkan semua pihak.

Ramai pemimpin, ahli dan penyokong BN 'terduduk' memikirkan nasib yang melanda parti yang telah menguasai kerajaan hampir 50 tahun lalu itu.

Walaupun ia satu pengalaman pahit, namun ia telah mengejutkan semua pihak daripada lamunan bahawa BN tidak selamanya akan menang.

Lantas pelbagai usaha penambahbaikan dilakukan menerusi langkah-langkah transformasi sama ada dalam soal pentadbiran kerajaan, khidmat untuk rakyat dan politik dilakukan oleh BN di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun hanya mempunyai tempoh singkat empat tahun, semua usaha itu berjaya dilakukan menerusi strategi bernas dan teratur. Ketika pembangkang terus ‘bersilat’ untuk menepis kegagalan menunaikan janji, BN agresif melunaskan janji kepada semua kaum.

Keadaan itu berjaya mewujudkan perasaan senang rakyat terhadap kerajaan BN. Dengan sentimen rakyat yang mula senang terhadap BN serta kesungguhan ahli parti komponen BN untuk memastikan nasib dalam PRU-12 tidak berulang, keyakinan BN untuk menang dengan majoriti besar semakin bertambah.

Malah sejak kebelakangan ini banyak analisis yang dilakukan badan-badan bebas memihak kepada BN. Justeru itu ketika kejayaan berada selangkah di depan mata, tidak seharusnya timbul sebarang usaha untuk menjahanamkannya.

Sehubungan itu, pengumuman nama calon-calon yang akan mewakili BN pada PRU-13 hari ini tidak seharusnya menjadi detik mengubah sentimen positif itu, yang juga sebenarnya merupakan harapan rakyat secara keseluruhannya.

Ahli BN dan UMNO khususnya perlu menerima segala keputusan dengan tenang, reda dan sentiasa mengutamakan perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara berbanding cita-cita peribadi. Rasa kecewa perlu segera diganti dengan semangat untuk memenangkan BN kerana pada saat itu kejayaan hampir berada di depan mata.

Warlords atau pemimpin berpengaruh dan telah lama berkuasa (khususnya mereka yang tidak dicalonkan) yang sebelum ini dikatakan akan mencetuskan situasi tidak baik itu perlu bertindak sebaliknya.

Untuk ke sekalian kalinya kita berharap mereka akan menunjukkan matlamat sebenar perjuangan sama ada untuk parti yang mendokong amanah agama, bangsa dan negara atau kepentingan diri sendiri.

Buktikan dakwaan pembangkang yang menyatakan warlords BN sentiasa berpegang kepada peribahasa "biar putih tulang, jangan putih mata" adalah silap dan provokasi semata-mata.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...