Darahsatriadotcom

Saturday, 13 April 2013

Terkini : Pakatan Pembangkang Semakin Bergolak!

Memang benar, tidak adil jika mahu menyatakan Barisan Nasional (BN) tidak berdepan sebarang masalah dalam soal agihan kerusi. Itu lumrah yang biasa dihadapi mana-mana parti politik setiap kali tiba musim pilihan raya.

Namun, bagi pembangkang, agihan kerusi bukan sekadar satu masalah, tetapi hampir pasti menjadi 'malapetaka' paling besar menjelang PRU-13 pada 5 Mei ini - hari yang bakal menentukan untung nasib pakatan antara Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Jika percakaran sesama sendiri yang semakin heboh diperkatakan dijadikan kayu ukur, cita-cita pembangkang mahu menakluki Putrajaya tampak semakin jauh daripada jangkauan.

"Kalau sekarang pun sudah bergaduh sesama sendiri, macam mana mereka hendak jadi kerajaan," kata peniaga kedai runcit, R. Gopal yang ditemui penulis di Ipoh, Perak semalam.

Rakyat Perak sebenarnya sedang melihat penuh minat perkembangan politik negeri itu yang pernah kucar-kacir akibat percakaran sesama sendiri pemimpin pembangkang sehingga membawa kejatuhan kerajaan pembangkang pada 2009.

Hakikatnya, perpecahan sesama parti pembangkang di Perak kelihatan semakin ketara sehingga menampakkan kehodohan sikap pemimpinnya yang begitu ghairah mengejar kuasa.

Di Bagan Serai misalnya, Pengerusi PKR negeri, Muhammad Nur Manuty yang awal-awal lagi diumumkan sebagai calon kawasan Parlimen itu dibantah keras Pas bahagian yang mengaku lebih berhak ke atas kerusi tersebut.

Perebutan dua parti itu juga berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu sehingga memungkinkan berlakunya pertembungan sesama sendiri.

Parlimen Pasir Salak yang merupakan kawasan majoriti Melayu turut menyaksikan perebutan antara Pas dan PKR sehingga menyaksikan hampir 500 ahli PKR dan Pas bertindak keluar parti dan menyertai UMNO sejak sebulan lalu.

Keputusan meletakkan Yang Dipertua Pas Lenggong, Razman Zakaria sebagai calon Parlimen Lenggong pula membawa kepada peletakan jawatan 13 ahli jawatankuasa PKR kawasan itu, tindakan yang memberi satu lagi tamparan hebat pucuk pimpinan pembangkang Perak.

Krisis dalaman serta perebutan kerusi antara PKR dan Pas juga dikatakan berlaku di beberapa kawasan strategik termasuk di DUN Changkat Jering, Sungai Manik, Kota Tampan, Behrang dan Selinsing.

"Kami bukan mahu berbalah, kami hanya mahukan keadilan. Kami bekerja kuat sejak dahulu, tiba-tiba PKR datang umum hendak jadi calon, logikkah begitu?" tegas seorang pemimpin muda cawangan Pas DUN Sungai Manik kepada Utusan Malaysia.

Agak melucukan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam ceramah di Pasir Panjang kelmarin dengan sinis berkata pemimpin BN `sedang berebut kerusi macam budak-budak.

Ironinya, Nizar mungkin terlupa lumrah pertengkaran budak-budak biasanya berakhir dengan ada yang akan mengalah dan esok lusa mereka berkawan semula.

Keadaan berbeza bagi pemimpin pembangkang, mereka bukan sahaja bertelagah dan berperang secara terbuka, malah sedang berhempas-pulas 'membunuh' karier politik sesama sendiri, semuanya kerana dibuai angan-angan ke Putrajaya.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...