Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dicabar membaca surat daripada
Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 17 April lalu berhubung pemilihan
Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu secara terbuka dalam sidang
akhbar dalam masa terdekat.
Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Seri
Zahrain Mohamed Hashim berkata, rakyat berhak mengetahui sama ada
dakwaan pemimpin-pemimpin DAP bahawa ROS akan membatalkan pendaftaran
parti itu benar atau sebaliknya.
Menurut beliau, kegagalan Guan Eng menyahut cabaran itu akan
menyebabkan orang ramai menganggap DAP mempunyai agenda yang cuba
disembunyikan.
"Sekiranya Guan Eng tidak mahu membaca surat ROS itu, saya sendiri akan mendedahkan kandungannya kepada orang ramai.
"Jadi, jangan bohong dan tipu ahli-ahli DAP dengan menyalahkan ROS
kerana kita tahu apa perancangan mereka yang lebih besar," katanya dalam
sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak melihat pucuk pimpinan DAP cuba mengambil
kesempatan daripada isu kesilapan pengiraan undi pemilihan CEC yang
berlangsung pada Disember tahun lalu.
Para pemimpin tertinggi DAP menyalahkan ROS kononnya bertindak zalim
sehingga tidak dapat bertanding menggunakan lambang parti tersebut dalam
Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun hakikatnya ROS tidak pernah menghalang
DAP menggunakan lambang sendiri.
Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman pada 11 Mei lalu
menegaskan, pihaknya tidak berhasrat membatalkan pendaftaran DAP selagi
siasatan berhubung proses pemilihan CEC parti itu belum selesai.
Zahrain turut menyelar Guan Eng kerana gagal mengemukakan senarai
nama sebanyak 2,576 perwakilan kepada ROS serta enggan menjelaskan
tentang isu 753 perwakilan yang tidak dijemput menghadiri pemilihan CEC
Disember lalu.
"Kita ingin tahu muslihat yang terkandung dalam perancangan Guan Eng
dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bagi memastikan calon-calon seperti
Teng Chang Khim, Chow Kon Yeow, Boo Cheng Hai, Datuk Ngeh Koo Ham dan
Nga Kor Ming mendapat undi yang rendah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zahrain menganggap pengakuan Ahli Parlimen
Serdang dari DAP, Dr. Ong Kian Ming tentang tindakan pembangkang menuduh
pengundi bernama Chua Lai Fatt sebagai warga asing membuktikan
kebiadapan mereka terhadap rakyat Malaysia yang layak mengundi.
"Mereka kata UMNO rasis tetapi bila mereka lihat seorang lelaki yang
mempunyai nama Cina tetapi kulitnya tidak seperti Cina, mereka tuduh dia
bukan rakyat Malaysia, kononnya warga Bangladesh," katanya.
Berhubung perhimpunan haram yang dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Zahrain berkata, segala tohmahan Penasihat PKR itu terhadap Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) hanyalah pembohongan.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...