Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday, 22 May 2013

Guan Eng Dicabar Dan Tercabar!

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dicabar membaca surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 17 April lalu berhubung pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu secara terbuka dalam sidang akhbar dalam masa terdekat.
 
Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, rakyat berhak mengetahui sama ada dakwaan pemimpin-pemimpin DAP bahawa ROS akan membatalkan pendaftaran parti itu benar atau sebaliknya.

Menurut beliau, kegagalan Guan Eng menyahut cabaran itu akan menyebabkan orang ramai menganggap DAP mempunyai agenda yang cuba disembunyikan.

"Sekiranya Guan Eng tidak mahu membaca surat ROS itu, saya sendiri akan mendedahkan kandungannya kepada orang ramai.

"Jadi, jangan bohong dan tipu ahli-ahli DAP dengan menyalahkan ROS kerana kita tahu apa perancangan mereka yang lebih besar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak melihat pucuk pimpinan DAP cuba mengambil kesempatan daripada isu kesilapan pengiraan undi pemilihan CEC yang berlangsung pada Disember tahun lalu.

Para pemimpin tertinggi DAP menyalahkan ROS kononnya bertindak zalim sehingga tidak dapat bertanding menggunakan lambang parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun hakikatnya ROS tidak pernah menghalang DAP menggunakan lambang sendiri.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman pada 11 Mei lalu menegaskan, pihaknya tidak berhasrat membatalkan pendaftaran DAP selagi siasatan berhubung proses pemilihan CEC parti itu belum selesai.

Zahrain turut menyelar Guan Eng kerana gagal mengemukakan senarai nama sebanyak 2,576 perwakilan kepada ROS serta enggan menjelaskan tentang isu 753 perwakilan yang tidak dijemput menghadiri pemilihan CEC Disember lalu.

"Kita ingin tahu muslihat yang terkandung dalam perancangan Guan Eng dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bagi memastikan calon-calon seperti Teng Chang Khim, Chow Kon Yeow, Boo Cheng Hai, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming mendapat undi yang rendah," ujarnya. 

Dalam perkembangan lain, Zahrain menganggap pengakuan Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Dr. Ong Kian Ming tentang tindakan pembangkang menuduh pengundi bernama Chua Lai Fatt sebagai warga asing membuktikan kebiadapan mereka terhadap rakyat Malaysia yang layak mengundi.

"Mereka kata UMNO rasis tetapi bila mereka lihat seorang lelaki yang mempunyai nama Cina tetapi kulitnya tidak seperti Cina, mereka tuduh dia bukan rakyat Malaysia, kononnya warga Bangladesh," katanya.

Berhubung perhimpunan haram yang dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zahrain berkata, segala tohmahan Penasihat PKR itu terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanyalah pembohongan.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...