Darahsatriadotcom

Thursday, 30 May 2013

Semangat Ala Mahathir?

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan pembangkang bahawa semangat ala Mahathir mula wujud selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak menangkap beberapa pemimpin dan aktivis propembangkang baru-baru ini.
 
Menurut Khalid, PDRM hanya menjalankan tugas menangkap mereka yang menimbulkan kekecohan di dalam negara.

"Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan 'Mahathirisme'. Sesiapa sahaja yang mengganggu gugat keamanan tidak kira mereka di pihak mana, maka polis akan mengambil tindakan dan jika perlu kami akan tangkap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Khalid diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang menyifatkan PDRM sebuah badan prokerajaan yang cuba menghidupkan kembali cara menguatkuasakan undang-undang mengikut acuan ketika zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dakwaan pembangkang itu berikutan tindakan polis yang menangkap beberapa pemimpin dan aktivis propembangkang seperti Tian Chua, Adam Adli Abdul Halim dan Hishamuddin Rais baru-baru ini atas kesalahan menghasut.

Menurut Khalid, PDRM adalah sebuah badan yang menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keamanan negara tanpa memilih bulu.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang sering melabel polis sebagai prokerajaan supaya menghentikan segera tohmahan yang sama sekali tidak berasas.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...