Selepas berdiam diri selama beberapa minggu
kerana tidak lagi dipilih menjadi Exco kerajaan negeri, Naib Presiden
Pas, Datuk Husam Musa tampil pada perhimpunan pakatan pembangkang malam
tadi, dengan mendakwa pemimpin Pas yang tidak menyokong himpunan
tersebut sebagai pengkhianat parti.
Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan itu berkata, mereka adalah
pemimpin yang lupa asal-usul dan bukan sahaja menolak semangat anak muda
yang mahukan perubahan tetapi mengkhianati dakwah yang diasaskan oleh
pimpinan Pas terdahulu.
Dalam ucapannya, Husam turut menyindir pemimpin Pas yang menjadi Ahli
Parlimen supaya tidak hanya 'mengayuh basikal siang dan malam' di luar
Parlimen sebaliknya rakyat akan menilai mereka pada persidangan Dewan
Rakyat tidak lama lagi.
"Pada saya mana-mana pemimpin yang tidak menyokong perhimpunan ini
membawa suara UMNO dan Barisan Nasional (BN), saya kena berterus terang
di sini. Bayangkan kalau kita tidak kuat kita dianggap angkuh
membelakangkan saudara-saudara kita, kalau dalam perang saudara-saudara
kita berlumuran darah hasil penipuan tapi kita berdiam diri kerana
memang kita pengkhianat.
"Kita harus mencetuskan perubahan politik dalam negara, jangan kerana
kita baru menang kerusi Parlimen, mentadbir negeri, kita lupa kepada
asal-usul perjuangan kita.
"Kita ada wakil rakyat, dia kayuh basikal siang malam, Parlimen akan
bersidang kita nak tengok Ahli Parlimen kita daripada Pas dia kayuh
basikal dalam Parlimen nanti, kalau luar Parlimen dia boleh kayuh bukan
main hebat, dalam Parlimen kita nak tengok, anda semua akan disaksikan
oleh rakyat.
"Kalau pemimpin kita tidak hadir bersama dalam kebangkitan ini mereka
telah mengkhianati dakwah yang telah diasaskan oleh pemimpin kita
dahulu. Kalau kita berjaya menghimpun orang Cina sehingga berpuluh ribu
tetapi pemimpin kita pula tidak ada, ini adalah satu pengkhianatan,"
katanya ketika berucap pada perhimpunan itu.
Perhimpunan tersebut yang diadakan di Padang Majlis Daerah Ketereh di
sini, turut dihadiri Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri
Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Menteri Besar
Kelantan, Datuk Ahmad Yakob serta beberapa pemimpin Pas dan PKR yang
lain.
Himpunan itu yang ditunjangi Anwar bukan sahaja mendapat kritikan
daripada rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebaliknya tidak
dipersetujui oleh ramai pemimpin Pas terutama Ahli Parlimen Pasir Mas,
Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang lantang menentangnya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat melalui laman
facebook pada 20 Mei lalu menganggap himpunan itu sebagai perbuatan yang
'gopoh', justeru mengajak orang ramai memikirkan kemenangan melalui
kesabaran, bukannya melalui ledakan di jalan raya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya mengakui Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu dimenangi oleh BN dan kekalahan kepada
pakatan pembangkang telah ditakdirkan Allah.
Selain itu, dalam nada sinis, Nik Abduh turut menyifatkan janji-janji
Anwar sekadar janji manis sehingga mengakibatkan ramai penyokong
pakatan pembangkang menjadi mangsa 'kencing manis akibat janji manis
bergula' Anwar.
Selain Nik Abduh, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din
dalam kenyataannya turut meminta rakyat menolak sebarang perhimpunan
haram sekiranya didapati boleh membawa masalah, kemusnahan serta
mencetuskan huru-hara kepada negara.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...