Darahsatriadotcom

Saturday, 15 June 2013

DUN Sabah Menidakkan Pihak Pembangkang!

Keperluan untuk melantik seorang ketua pembangkang semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak timbul kerana ia sememangnya tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said berkata, ia juga tidak terdapat dalam peraturan mesyuarat DUN yang menetapkan perlunya seorang ketua pembangkang.

''Seseorang ketua pembangkang dipilih hanya berdasarkan konvensyen, jadi jika parti pembangkang ingin berbuat demikian, kemukakan kepada pihak kita dan kita akan ambil tindakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Angkat Sumpah DUN Sabah di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Salleh bagaimanapun mengakui bahawa sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan daripada parti-parti pembangkang.

Ditanya mengenai cabaran mempengerusikan sidang DUN kali ini berikutan pertambahan jumlah kerusi pembangkang, beliau menjelaskan yang lebih penting mereka perlu mengikuti peraturan ditetapkan.

''Tiada beza sama ada berapa jumlah ahli-ahli DUN daripada parti pembangkang. Yang penting, siapa pun yang melibatkan diri dalam perbahasan mestilah mengikut peraturan sedia ada.

''Masing-masing ada pandangan dan pendapatnya. Namun, ini adalah perbahasan sihat dan kita kena patuh dengan peraturan dewan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...