Darahsatriadotcom

Sunday, 23 June 2013

Perhimpunan Yang Memyusahkan Rakyat!

Perhimpunan haram tajaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sekitar ibu negara hari ini tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat.

Malah, Ketua Penerangan PPP, Datuk A. Chandrakumanan berkata, perhimpunan haram itu lebih mendatangkan keburukan terutama kepada kehidupan harian warga kota yang terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas selain risiko keselamatan lain.

Paling menyedihkan, tambah beliau, perhimpunan haram itu mungkin menyebabkan kehilangan nyawa dalam kalangan pesakit yang gagal mendapatkan rawatan di hospital kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

"Persoalannya, adakah pembangkang faham keadaan rakyat akibat kedegilan mereka menganjurkan perhimpunan haram ini?" katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas penganjuran perhimpunan haram oleh pembangkang di beberapa lokasi di ibu negara dengan lokasi utama di Padang Merbok dekat sini, bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut Chandrakumanan, pembangkang sepatutnya bersikap rasional dengan menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan hati terbuka dan turun padang melaksanakan tugas masing-masing seperti diamanahkan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan haram tersebut bagi memastikan budaya berdemonstrasi tidak menular dalam kalangan rakyat.

"Pembangkang boleh mengadakan perhimpunan aman tetapi bukanlah setiap minggu kerana tindakan itu langsung tidak baik untuk negara dan pertumbuhan ekonomi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...