Sebaliknya, kata Perdana Menteri, tindakan tersebut perlu disusuli dengan penghayatan atau erti sebuah perjuangan dan pengorbanan untuk mendapatkan kemerdekaan yang dihasratkan.
Malah katanya, usaha itu perlu menekankan semangat cintakan negara, patriotik dan penghayatan sepenuhnya kepada lambang kedaulatan serta jati diri.
"Apabila mengibarkan bendera, kita tidak mahu ia dilakukan secara simbolik tanpa membawa apa-apa pengertian di sebaliknya," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan memilih tema Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpah Darahku yang membawa pengertian mendalam terutamanya dalam mengajak rakyat menghargai kesukaran dan pengorbanan golongan perwira mempertahankan kedaulatan negara.
Katanya, kerajaan juga mahukan rakyat sentiasa mengingati pentingnya kekuatan dan kesanggupan mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara.
"Segala perubahan pada negara, masa depan yang kita yakini ini adalah hasil dari jerit payah dan pengorbanan. Jiwa raga yang dilakukan oleh pejuang-pejuang kita, wira-wira negara kita sanggup menyabung nyawa supaya negara kita ini terus merdeka dan bebas selamanya.
"Sebab itulah kita pilih tema ini, kerana kita tahu kemerdekaan kedaulatan akan terlepas kalau rakyat Malaysia tidak sanggup pertahankan," jelasnya.
Tegas beliau, peristiwa di Lahad Datu, Sabah turut menjadi iktibar terbaik kerana walaupun berjaya menumpaskan anasir-anasir luar, negara perlu membayar harga tinggi berikutan ada anggota pasukan keselamatan yang terkorban.
"Kita hari ini sangatlah terhutang budi terhadap pasukan keselamatan, tentera dan polis yang sanggup mengorbankan nyawa mereka. Kita haruslah menyedari perkara ini dan bukannya jadi macam sesetengah pihak yang dakwa ia sandiwara.
Najib turut mengajak rakyat segenap lapisan masyarakat sentiasa mengingati kata-kata yang pernah dilontarkan pengasas kemerdekaan negara iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tentang kepentingan pengorbanan mengekalkan kedaulatan negara.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...