Malaysia mampu dan mempunyai peranan besar dalam menggerakkan
negara-negara untuk bertindak bagi menghentikan keganasan tentera
terhadap para penunjuk perasaan antirampasan kuasa di Mesir.
Dalam hal ini, sebagai pemimpin dunia Islam, Malaysia perlu menggerakkan negara-negara
Islam lain yang kelihatan masih belum bergerak, walaupun untuk
mengecam keganasan kerajaan tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah Assisi
itu.
Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd.
Rahman, suara Malaysia sebagai negara pemimpin negara Islam akan
diikuti oleh negara-negara Islam yang lain.
"Justeru, Malaysia perlu lebih responsif dalam hal ini agar kekejaman tentera dihentikan dan demokrasi dipulihkan di Mesir.
"Jika keadaan ini dibiarkan, Mesir akan menghadapi krisis yang lebih
besar jika rakyatnya memulakan penentangan bersenjata terhadap
tentera yang merampas kuasa," ujar beliau selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Mesir di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharuddin Mat Isa
mencadangkan, antara tindakan awal yang boleh dilakukan oleh negara ini
ialah memanggil Duta Mesir untuk memberikan penjelasan mengenai
senario yang sedang dihadapi negara Asia Barat itu.
"Langkah ini (memanggil duta) telah diambil oleh negara-negara Barat yang lain dan seharusnya turut dilakukan oleh Malaysia.
"Negara ini juga wajar memanggil satu sidang tergempar Persidangan
Negara-negara Islam (OIC) bagi membincangkan dan mencari penyelesaian
kepada krisis Mesir," jelas beliau.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia, Syed Hassan Syed Ali menyarankan agar Malaysia turut memberi
tekanan kepada Assisi agar keganasan tentera dihentikan.
"Tekanan dalam bentuk politik dan ekonomi dari dunia Islam adalah
salah satu cara berkesan bagi memaksa keganasan yang kini semakin
keterlaluan di Mesir dihentikan," kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...