Pasukan bomba dan penyelamat yang terawal tiba di
lokasi kejadian nahas bas ulang-alik di Genting Highlands semalam
memberitahu mereka nampak sebahagian besar penumpang dalam keadaan
bertindih antara satu sama lain.
Malah, situasi itu cukup menyayat hati apabila kebanyakan daripada
mangsa tidak sedar diri dan ada di antaranya sudah meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, M. Mahendran
bersama sembilan anggotanya menjadi pasukan penyelamat pertama tiba di
lokasi kejadian sejurus mendapat laporan kemalangan itu petang semalam.
Menurutnya, sebaik sahaja dia dan pasukannya turun ke gaung
menggunakan tali, penglihatannya hanya tertumpu kepada mangsa yang
berada di dalam bas serta mangsa yang terhumban keluar.
"Kami tiba ke lokasi kejadian 10 minit selepas mendapat laporan
kemalangan dan apabila memeriksa bas itu, saya dapat lihat kebanyakan
mangsa dalam keadaan terbaring dan telah bertindih satu sama lain dengan
kerusi juga menghimpit mereka.
"Apabila dipanggil tidak banyak yang menyahut kecuali seorang
penumpang wanita yang menjerit meminta tolong akibat tersepit dan
bertindih dengan penumpang serta kerusi bas berkenaan.
"Kami juga mencari mereka yang masih memberi maklum balas dengan
menepuk badan mereka. Tetapi kebanyakannya sudah tidak sedarkan diri dan
gambaran yang dapat diberikan ketika itu adalah cukup menyedihkan
apabila melihat keadaan mangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mahendran yang baru lapan bulan berkhidmat di Balai Genting Highlands
memberitahu, terdapat beberapa kelompok mangsa yang terhumban berada di
luar bas berkenaan.
"Mereka yang terhumban saya lihat terselamat dan sedarkan diri. Ada
di antara mereka turut menyelamatkan penumpang lain yang terhumban sama
dan menunggu untuk diselamatkan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hanya 16 penumpang yang selamat berjaya dikeluarkan dari bas berkenaan.
"Tetapi hanya tiga orang yang mampu mendaki cerun yang curam itu
sebelum dibawa oleh kren ke atas, selebihnya dibawa oleh anggota
penyelamat kerana mengalami kecederaan serius di seluruh badan,"
katanya.
Beliau berkata, pihak pasukan penyelamat berdepan dengan pelbagai
cabaran sepanjang kerja-kerja menyelamat terutama sekali keadaan muka
bumi di lokasi kejadian ditambah dengan cuaca sejuk di situ.
"Saya akui ini bukan kejadian kemalangan paling ngeri yang pernah
saya terlibat dalam kerja-kerja menyelamat tetapi setiap insiden tidak
sama dan mempunyai cerita yang berbeza.
"Walau bagaimanapun, kejadian ini adalah antara yang menyayat hati
apabila melibat ramai mangsa yang terkorban selain keadaan mereka di
dalam bas," katanya yang pernah terlibat dalam tragedi Highlands Tower
di Hulu Klang pada 1993.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...