Darahsatriadotcom

Saturday, 24 August 2013

Usah Layan 'Wira Songsang'!

Sememangnya adalah sesuatu yang memualkan apabila ada pihak cuba menjadi 'wira songsang' kepada penjenayah-penjenayah yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Kelompok ini sama sekali tidak pernah mahu mengkaji kenapakah polis terpaksa melakukan tindakan berkenaan dan kenapakah penjenayah tersebut perlu dihapuskan.

Apa yang mereka tahu ialah mempersoalkan prosedur yang digunakan oleh PDRM dalam melakukan serbuan dan bercakap berdegar-degar soal hak asasi manusia. Berikutan itu, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mempertahankan tindakan polis dalam usaha membanteras jenayah khususnya jenayah berat tidak ada salahnya.

Penulis pasti ramai yang menyokong kenyataan beliau kerana soal keselamatan dan ketenteraman awam terletak di tangan polis. Justeru tak kanlah dalam berhadapan dengan puak-puak yang 'sah-sah' penjenayah polis hendak berlembut lagi? Kenapa perlu bercakap soal prosedur? Apakah penjenayah yang terlibat memahami prosedur berkenaan?

Tak kanlah bila berhadapan dengan kumpulan yang sudah dipastikan penjenayah berbahaya polis hendak menyanyi lagu P.Ramlee 'Aci-aci buka' pintu untuk penjenayah kaum India, kalau penjenayah Cina kena cakap 'hello siapa di dalam' atau penjenayah Melayu harus memberi salam?

Mungkin hujah ini nampak 'melucukan' tetapi apakah ini yang dimahukan oleh kelompok-kelompok yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.

Atau apakah mereka mahu polis betul- betul ikut prosedur sedangkan pasukan itu berhadapan dengan kumpulan penjenayah yang sama sekali tidak ada belah ihsannya?

Tidakkah mereka tahu, jika benarlah polis mengamalkan polisi menembak untuk membunuh sudah pasti tidak ada penjenayah yang akan menghuni lokap-lokap atau penjara.

Tetapi serbuan yang menyaksikan penjenayah ditembak mati bukan dilakukan secara sebarangan tetapi mengikut prosedur dan kaedah yang ditetapkan.

Pihak polis pasti sudah membuat tinjauan dan risikan sebelum serbuan dilakukan, polis bukannya melancarkan serangan membuta tuli. 

Oleh itu adalah lebih baik tidak kira siapa pun janganlah terlalu ghairah hendak mencari kesalahan polis, sebaliknya berfikir dengan waras dan terbuka apakah wajar polis harus berlembut dengan penjenayah bersenjata api?

Kita harus ingat mereka yang memiliki senjata api atau terlibat dalam kumpulan gangster atau kongsi gelap sudah memahami bahawa mereka sengaja mencabul undang-undang.

Justeru polis mempunyai tanggungjawab membanteras kelompok ini demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Kalaulah pihak polis mahu melayan hujah-hujah berunsur politik dan melihat tindakan polis dari segi perkauman, sampai ke bila pun perbuatan jenayah tidak dapat dibanteras.

Sebab itulah penulis dan mungkin jutaan rakyat Malaysia lain bersetuju dengan kenyataan Khalid bahawa polis tidak akan mempedulikan apa juga 'wayang yang mereka mainkan', apa yang penting bagi polis ialah memastikan ketenteraman dan keselamatan awam terjamin.

Ini memandangkan yang akan disalahkan jika jenayah meningkat ialah PDRM. Oleh itu apabila polis bertindak tegas janganlah pula mempertikaikan kewibawaan dan kemampuan pasukan berkenaan.

Sememangnya kita tidak faham kenapakah setiap kali berlaku kes menembak mati penjenayah daripada kaum tertentu, maka akan muncul 'wira-wira songsang' untuk mempertahankan mereka.

Pelbagai hujah dan desakan mereka buat termasuklah mahu inkues diadakan. Kalaulah begitu, berapa banyak inkues hendak dilaksanakan bagi semua kes jenayah yang melibatkan kematian penjenayah?

Mungkin kerana wujudnya 'wira-wira yang tidak diundang' inilah, kumpulan samseng dan kongsi gelap semakin berani termasuk secara terbuka memaparkan lambang kumpulan mereka ketika pengkebumian ahli kumpulan berkenaan.

Tindakan mereka melanggar undang-undang tetapi mereka seolah-olah tidak takut kerana pasti ada 'wira-wira songsang' akan tampil membela mereka jika polis mengambil tindakan.

Berikutan keadaan itu, adalah wajar polis meneruskan ketegasan mereka membanteras kumpulan penjenayah tanpa mengira siapa pun mereka.

Biarlah hanya segelintir sahaja kelompok di negara ini yang dilihat mahu menjadi 'pembela' tidak bertempat kepada kumpulan penjenayah tersebut, tetapi kita yakin terdapat jutaan rakyat berdiri di belakang polis.

Oleh itu jangan ada sekelumit pun perasaan gentar untuk melaksanakan apa juga usaha bagi membanteras jenayah khususnya jenayah berat.

Kepada puak-puak yang cuba menjadi 'wira-wira songsang' kepada penjenayah- penjenayah tersebut, berfikiran terbukalah, kalau pun hendak mencari populariti atau kepentingan politik.

Perbuatan jenayah berat yang kini semakin meningkat bukan soal politik tetapi soal keselamatan dan ketenteraman awam. Hargailah pengorbanan dan kegigihan polis dalam membanteras jenayah, janganlah hanya pandai mencari salah pasukan itu sahaja.

Daripada membuang masa mempertikaikan prosedur yang digunakan oleh polis adalah lebih baik bekerjasama dengan pasukan itu untuk membanteras jenayah.

Hendak mengkritik, membidas dan mengecam pasukan polis dalam soal pembanterasan jenayah memang mudah tetapi tahukah kita betapa berat tanggungjawab pasukan itu dalam memastikan setiap malam rakyat Malaysia dapat tidur dengan lena tanpa rasa risau dan bimbang serta keesokkan kita boleh bangun menjalankan urusan harian dengan aman.

Tidakkah semua itu kita nikmati kerana jasa anggota-anggota polis yang bertugas 24 jam demi memastikan negara ini terus aman dan tenteram.

Janganlah kerana kematian individu yang sudah disahkan sebagai penjenayah, kita hendak meruntuhkan moral perjuangan anggota-anggota pasukan keselamatan.

Kalau pun tidak mahu berterima kasih atau memberi pujian, cukuplah sekadar mendiamkan diri dengan membiarkan pihak polis menjalankan tanggungjawab mereka.

Kita percaya dalam usaha membanteras jenayah, pihak polis mengamalkan pendekatan profesionalisme yang tinggi dan bukannya mengikut perasaan.

Dan mereka sudah pasti tidak akan tergugat dengan kecaman kelompok yang seolah-olah tidak tahu menghargai pasukan keselamatan tersebut.

Adalah diharapkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya akan terus berdiri teguh di belakang pihak polis kerana keselamatan dan ketenteraman kita berada di tangan mereka.

Dan kita juga mengharapkan ketegasan pihak polis akan berterusan seperti mana jaminan yang diberikan oleh Khalid.

Ia memandangkan misi polis seperti mana ditegaskan oleh Khalid ialah ''...kami akan teruskan dengan apa yang sedang dilakukan ketika ini asalkan negara kita selamat dan aman damai.''

Biarlah kelompok yang sengaja mahu mencari salah polis 'terjun dengan labu-labunya', pedulikan mereka dan bak kata orang, 'lantaklah apa pun mereka hendak kata,' apa yang penting kita tidak mahu keselamatan dan ketenteraman awam dipertaruhkan hanya semata-mata kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...