Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P.
Waythamoorthy dinasihatkan supaya berhenti daripada memegang jawatan
dalam pentadbiran kerajaan sekiranya mahu memberi kenyataan berhubung
perkara di luar bidang kuasanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga
mengingatkan beliau supaya tidak mencampuri urusan polis tetapi
menumpukan kepada bidang kuasa sendiri iaitu menguruskan hal-hal
berkaitan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).
"Saya cadang dia berhenti jadi timbalan menteri kalau nak cakap
mengenai perkara luar bidang kuasanya, beliau kena faham kasut mana
dipakai dan rumah mana dia duduk.
"Jangan ingat yang beliau masih pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).
Jangan campur tangan dalam kerja polis, polis kita bukan jenis yang
suka-suka menembak tanpa mengenal pasti sasarannya (trigger happy)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Menteri
Kebajikan Ekspatriat dan Penggajian Luar Negara Bangladesh, Khandaker
Mosharraf Hossain di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Waythamoorthy yang
mempertikaikan tindakan polis menembak mati lima penjenayah di Pulau
Pinang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu antaranya
mempersoalkan kenapa polis tidak memberi amaran sebelum menyerbu
pangsapuri di tempat kejadian.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, dakwaan Waythamoorthy bahawa
polis perlu memberi amaran sebelum menyerbu masuk ke tempat kejadian
sebagai sesuatu yang tidak berasas.
"Manalah ada amaran, kalau polis beri amaran, penjenayah akan menembak polis terlebih dahulu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...