Darahsatriadotcom

Friday, 18 October 2013

Perjuangan Islam, Keazaman Politik...

Keputusan tertinggi dalam barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Pusat (Exco) Pergerakan Pemuda UMNO minggu lalu yang diterima oleh Dr. Fathul Bari Jahaya menarik perhatian umum sama ada sebagai hasil transformasi politik yang berlaku atau menjadi titik permulaan dalam perubahan yang bakal berlaku dalam kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi yang berlangsung esok.

Jika mengambil petunjuk tersebut dan berlaku trend yang sama, bermakna Ahli Majlis Tertinggi UMNO sekurang-kurangnya memberikan peluang kepada golongan berpendidikan agama untuk mengisi sebahagian daripada 25 orang yang akan dipilih oleh seluruh perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara.

Ada pemerhati politik membuat kesimpulan awal bahawa pemilihan UMNO pada kali ini akan memberi peluang lebih luas kepada yang berpendidikan agama berasaskan situasi yang berlaku dalam negara, termasuk sokongan kepada keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan penggunaan kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam, tidak kepada penganut agama lain kerana ia boleh mengelirukan.

Mereka yang berpendidikan agama amat diperlukan dalam kepimpinan UMNO sebagai check and balance, mengimbangi beberapa keputusan yang bakal dilaksanakan oleh parti yang dianggotai hampir seluruhnya orang Melayu dan penganut Islam. UMNO masih merupakan sebuah parti yang dominan dan pengaruhnya turut menjadi keputusan pengurusan negara.

UMNO diharapkan akan muncul sebagai parti yang lantang memperjuangkan Islam dalam tempoh pemerintahannya, kerana berpeluang memerintah sejak 1957 di samping mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Dari segenap penjuru, Islam bukan sahaja diancam daripada penganut agama lain menerusi penerobosan budaya dan cara berfikir malah dalam kalangan masyarakat Islam yang semakin terdedah dengan pelbagai bentuk ideologi politik penguasaan atas nama kebebasan asasi. Perkembangan fahaman Syiah misalnya, jika kepimpinan UMNO tidak berhati-hati dan mengambil tindakan tegas bakal meruntuhkan benteng Islam kerana ancamannya sudah dikenal pasti mempunyai kaitan dengan usaha intelektualisme Yahudi bagi menghanyutkan penganut Islam daripada mempertahankan kesucian Islam.

Kemunculan intelektual Islam yang dapat mengadunkan perjuangan Islam dengan keazaman politik merupakan harapan besar masyarakat dan UMNO menjadi platform terbaik berdasarkan kedudukan dan kuasa yang dimilikinya. Hasrat itulah yang sepatutnya dapat diterjemahkan dengan berkesan dalam proses pemilihan esok sekiranya ahli UMNO benar-benar mahu meletakkan persoalan agama sebagai asas perjuangan politik, kerana kesepaduan antara golongan profesional dan berpendidikan agama bakal mencorakkan asas transformasi sosial yang bakal berlaku.

Seperti yang dijangka, rantau Asia merupakan kawasan pertumbuhan sosioekonomi yang penting dalam abad ke-21. Rantau Asia dilihat sebagai impuls ekonomi yang penting bagi menggantikan pergantungan dunia kepada Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, di mana Asia dilihat mampu menjadi faktor kestabilan antarabangsa berasaskan sumber dan asas budaya yang terus mempertahankan faham agama dalam setiap bidang kehidupan.

AS walaupun masih dilihat sebagai sebuah kuasa besar, ia bakal berhadapan dengan banyak masalah yang berpunca daripada pola pemikiran masyarakatnya yang mengabaikan unsur-unsur agama dalam kehidupan. Masyarakat AS yang menganggap agama sebagai faktor peribadi kini semakin dilanda krisis, dari krisis ekonomi hinggalah kepada krisis peradaban dan kemanusiaan.

Dengan mengambil iktibar daripada sejarah peradaban Islam, kekentalan fahaman agama dan kesungguhan menterjemahkan fahaman Islam telah membawa kepada kelangsungan peradaban yang begitu lama sebelum dirosakkan menerusi desakan intelektualisme ilmiah yang dipasakkan oleh fahaman sekular dari Barat yang berusaha menyingkirkan agama. 

Fahaman sekular semakin melebar masuk ke dalam pola pemikiran Islam sehingga lebih ramai yang percayakan persoalan agama merupakan persoalan individu sedangkan dalam Islam, pola kehidupan bermasyarakat adalah suatu kewajipan setiap orang, kerana Islam itu adalah agama yang berasaskan persaudaraan dan kesepaduan, bukannya agama yang bersifat individualistik.

Peranan golongan agama bukan hanya terhad sebagai pemberi nasihat dan fatwa, ia perlu diperluaskan dalam bidang-bidang perancangan strategik, daripada peringkat perancangan dasar, pengurusan sumber, penentuan keputusan dan budaya kerja yang baharu bagi mengelakkan budaya salah laku, salah guna kuasa dan pengekalan kuasa secara berpanjangan. 

Ini kerana proses kepimpinan bukanlah keperluan mutlak dan hak seseorang, ia adalah proses tanggungjawab berdasarkan nilai dan amanah yang diberikan Allah SWT untuk menguji sejauh manakah manusia mampu memanfaatkannya untuk manusia sejagat.

Adalah amat dukacita sekiranya berlaku di mana ulama berada di satu haluan dan umara pula berada pada satu haluan lain, tidak berlaku sinergi dalam pengurusan negara. Situasi ini akan menggugat usaha memakmurkan negara dan kehidupan rakyat. Kerjasama yang terjalin antara umara dan ulama hendaklah berlaku secara berkesan bagi menghasilkan lonjakan sinergi yang besar, kerana kelahiran peradaban yang besar itu sebenarnya berlaku apabila setiap individu sanggup meningkatkan usaha dan tenaga atas cita-cita besar untuk melihat agama dan negara berada di tahap yang tertinggi.

Tidak sepatutnya berlaku di mana para umara hanya tahu menyenaraikan kesalahan-kesalahan para ulama manakala pihak ulama hanya asyik mencari kelemahan-kelemahan kerajaan. Sikap itu menjadikan arus bawah sedar pemikiran lebih cenderung menilai secara negatif sehingga yang berfaedah pun berubah menjadi bayangan kasar yang tidak betul sama sekali. 

Psikologi salah menyalahkan itulah menjadi punca kepada perpecahan dalam kalangan umat. Sedangkan dalam Islam, agama memainkan peranan yang lebih besar dan membentuk etos kehidupan dengan meletakkan keseimbangan antara keperluan hidup dan keperluan selepasnya.

Perkembangan agama Islam dan kegiatan dakwah hari ini diakui di mana-mana sahaja adalah kerana peranan ulama dengan kemudahan-kemudahan yang diberi oleh pihak pemerintah. 

Ulamalah yang memainkan peranan penting sama ada ulama yang bertugas dengan kerajaan ataupun tidak, sama ada di pusat-pusat pengajian tinggi atau di pondok-pondok. 

Benarkah bahawa dalam ilmu politik terdapat istilah power tends to corrupt, yang bermaksud “kekuasaan cenderung kepada penyelewengan?" Maknanya, pengertian kepimpinan itu sendiri adalah kekuasaan di mana ia boleh membawa seseorang itu lupa diri sehingga mengabaikan segala yang dijanjikan dan dicita-citakannya yang akhirnya membawa kepada kehancuran.

Justeru, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kepimpinan itu akan menjadi kedudukan yang direbut di antara kamu dan pada hari Kiamat kelak hal itu akan menjadikan kamu penuh penyesalan." (Riwayat Bukhari)

Tuntutan mencintai segala-galanya itu harus berlandaskan ajaran agama, bukan hawa berpandukan nafsu. Tidak sedikit pemimpin hari ini melaksanakan dorongan fitrahnya melalui jalan yang salah kerana niat awalnya telah salah dan bertujuan memenuhi kepentingan diri daripada membantu orang yang di bawah pimpinannya. 

Dalam memilih pemimpin yang baik, al-Quran telah memberi petunjuk secara tersurat atau tersirat dalam pelbagai aspek kehidupan awal manusia, termasuk persoalan menjawab "Siapakah yang layak kita pilih". 

Contoh yang jelas adalah pelantikan Nabi Yusuf sebagai Ketua Perbendaharaan Kerajaan Mesir oleh rajanya dan diabadikan pula di dalam al-Quran menerusi firman-Nya, yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau menurut penilaian Kami adalah seorang yang kuat lagi dipercayai." (Yusuf: 54)

Kelalaian melaksanakan kewajipan ini bermakna pemimpin tersebut telah mengkhianati amanah Allah dan mempersia-siakan rakyatnya. Bencana yang paling mengerikan adalah bergelumangnya pemimpin-pemimpin yang menyalahi syariat dan telinga-telinga mereka tertutup bagi setiap pemberi nasihat dan pemberi petunjuk.
Seseorang pemimpin tidak perlu banyak bicara, cukup sekadar memberi teladan dengan perbuatan yang mana ia lebih jelas daripada perkataan. 

Keteladanan lebih dalam pengaruhnya dibanding dengan jutaan perintah dan bicara tanpa realisasi. Terpenting lihatlah keteladanannya, barulah kita membuat pilihan yang tepat.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...