Keputusan tertinggi dalam barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Pusat
(Exco) Pergerakan Pemuda UMNO minggu lalu yang diterima oleh Dr. Fathul
Bari Jahaya menarik perhatian umum sama ada sebagai hasil transformasi
politik yang berlaku atau menjadi titik permulaan dalam perubahan yang
bakal berlaku dalam kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi yang berlangsung
esok.
Jika mengambil petunjuk tersebut dan berlaku trend yang sama,
bermakna Ahli Majlis Tertinggi UMNO sekurang-kurangnya memberikan
peluang kepada golongan berpendidikan agama untuk mengisi sebahagian
daripada 25 orang yang akan dipilih oleh seluruh perwakilan daripada 191
bahagian di seluruh negara.
Ada pemerhati politik membuat kesimpulan awal bahawa pemilihan UMNO
pada kali ini akan memberi peluang lebih luas kepada yang berpendidikan
agama berasaskan situasi yang berlaku dalam negara, termasuk sokongan
kepada keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan
penggunaan kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam, tidak kepada
penganut agama lain kerana ia boleh mengelirukan.
Mereka yang berpendidikan agama amat diperlukan dalam kepimpinan UMNO
sebagai check and balance, mengimbangi beberapa keputusan yang bakal
dilaksanakan oleh parti yang dianggotai hampir seluruhnya orang Melayu
dan penganut Islam. UMNO masih merupakan sebuah parti yang dominan dan
pengaruhnya turut menjadi keputusan pengurusan negara.
UMNO diharapkan akan muncul sebagai parti yang lantang memperjuangkan
Islam dalam tempoh pemerintahannya, kerana berpeluang memerintah sejak
1957 di samping mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi
negara.
Dari segenap penjuru, Islam bukan sahaja diancam daripada penganut
agama lain menerusi penerobosan budaya dan cara berfikir malah dalam
kalangan masyarakat Islam yang semakin terdedah dengan pelbagai bentuk
ideologi politik penguasaan atas nama kebebasan asasi. Perkembangan
fahaman Syiah misalnya, jika kepimpinan UMNO tidak berhati-hati dan
mengambil tindakan tegas bakal meruntuhkan benteng Islam kerana
ancamannya sudah dikenal pasti mempunyai kaitan dengan usaha
intelektualisme Yahudi bagi menghanyutkan penganut Islam daripada
mempertahankan kesucian Islam.
Kemunculan intelektual Islam yang dapat mengadunkan perjuangan Islam
dengan keazaman politik merupakan harapan besar masyarakat dan UMNO
menjadi platform terbaik berdasarkan kedudukan dan kuasa yang
dimilikinya. Hasrat itulah yang sepatutnya dapat diterjemahkan dengan
berkesan dalam proses pemilihan esok sekiranya ahli UMNO benar-benar
mahu meletakkan persoalan agama sebagai asas perjuangan politik, kerana
kesepaduan antara golongan profesional dan berpendidikan agama bakal
mencorakkan asas transformasi sosial yang bakal berlaku.
Seperti yang dijangka, rantau Asia merupakan kawasan pertumbuhan
sosioekonomi yang penting dalam abad ke-21. Rantau Asia dilihat sebagai
impuls ekonomi yang penting bagi menggantikan pergantungan dunia kepada
Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, di mana Asia dilihat mampu menjadi
faktor kestabilan antarabangsa berasaskan sumber dan asas budaya yang
terus mempertahankan faham agama dalam setiap bidang kehidupan.
AS walaupun masih dilihat sebagai sebuah kuasa besar, ia bakal
berhadapan dengan banyak masalah yang berpunca daripada pola pemikiran
masyarakatnya yang mengabaikan unsur-unsur agama dalam kehidupan.
Masyarakat AS yang menganggap agama sebagai faktor peribadi kini semakin
dilanda krisis, dari krisis ekonomi hinggalah kepada krisis peradaban
dan kemanusiaan.
Dengan mengambil iktibar daripada sejarah peradaban Islam, kekentalan
fahaman agama dan kesungguhan menterjemahkan fahaman Islam telah
membawa kepada kelangsungan peradaban yang begitu lama sebelum
dirosakkan menerusi desakan intelektualisme ilmiah yang dipasakkan oleh
fahaman sekular dari Barat yang berusaha menyingkirkan agama.
Fahaman sekular semakin melebar masuk ke dalam pola pemikiran Islam
sehingga lebih ramai yang percayakan persoalan agama merupakan persoalan
individu sedangkan dalam Islam, pola kehidupan bermasyarakat adalah
suatu kewajipan setiap orang, kerana Islam itu adalah agama yang
berasaskan persaudaraan dan kesepaduan, bukannya agama yang bersifat
individualistik.
Peranan golongan agama bukan hanya terhad sebagai pemberi nasihat dan
fatwa, ia perlu diperluaskan dalam bidang-bidang perancangan strategik,
daripada peringkat perancangan dasar, pengurusan sumber, penentuan
keputusan dan budaya kerja yang baharu bagi mengelakkan budaya salah
laku, salah guna kuasa dan pengekalan kuasa secara berpanjangan.
Ini kerana proses kepimpinan bukanlah keperluan mutlak dan hak
seseorang, ia adalah proses tanggungjawab berdasarkan nilai dan amanah
yang diberikan Allah SWT untuk menguji sejauh manakah manusia mampu
memanfaatkannya untuk manusia sejagat.
Adalah amat dukacita sekiranya berlaku di mana ulama berada di satu
haluan dan umara pula berada pada satu haluan lain, tidak berlaku
sinergi dalam pengurusan negara. Situasi ini akan menggugat usaha
memakmurkan negara dan kehidupan rakyat. Kerjasama yang terjalin antara
umara dan ulama hendaklah berlaku secara berkesan bagi menghasilkan
lonjakan sinergi yang besar, kerana kelahiran peradaban yang besar itu
sebenarnya berlaku apabila setiap individu sanggup meningkatkan usaha
dan tenaga atas cita-cita besar untuk melihat agama dan negara berada di
tahap yang tertinggi.
Tidak sepatutnya berlaku di mana para umara hanya tahu menyenaraikan
kesalahan-kesalahan para ulama manakala pihak ulama hanya asyik mencari
kelemahan-kelemahan kerajaan. Sikap itu menjadikan arus bawah sedar
pemikiran lebih cenderung menilai secara negatif sehingga yang berfaedah
pun berubah menjadi bayangan kasar yang tidak betul sama sekali.
Psikologi salah menyalahkan itulah menjadi punca kepada perpecahan
dalam kalangan umat. Sedangkan dalam Islam, agama memainkan peranan yang
lebih besar dan membentuk etos kehidupan dengan meletakkan keseimbangan
antara keperluan hidup dan keperluan selepasnya.
Perkembangan agama Islam dan kegiatan dakwah hari ini diakui di
mana-mana sahaja adalah kerana peranan ulama dengan kemudahan-kemudahan
yang diberi oleh pihak pemerintah.
Ulamalah yang memainkan peranan penting sama ada ulama yang bertugas
dengan kerajaan ataupun tidak, sama ada di pusat-pusat pengajian tinggi
atau di pondok-pondok.
Benarkah bahawa dalam ilmu politik terdapat istilah power tends to
corrupt, yang bermaksud kekuasaan cenderung kepada penyelewengan?"
Maknanya, pengertian kepimpinan itu sendiri adalah kekuasaan di mana ia
boleh membawa seseorang itu lupa diri sehingga mengabaikan segala yang
dijanjikan dan dicita-citakannya yang akhirnya membawa kepada
kehancuran.
Justeru, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya kepimpinan itu akan menjadi kedudukan yang direbut di
antara kamu dan pada hari Kiamat kelak hal itu akan menjadikan kamu
penuh penyesalan." (Riwayat Bukhari)
Tuntutan mencintai segala-galanya itu harus berlandaskan ajaran
agama, bukan hawa berpandukan nafsu. Tidak sedikit pemimpin hari ini
melaksanakan dorongan fitrahnya melalui jalan yang salah kerana niat
awalnya telah salah dan bertujuan memenuhi kepentingan diri daripada
membantu orang yang di bawah pimpinannya.
Dalam memilih pemimpin yang baik, al-Quran telah memberi petunjuk
secara tersurat atau tersirat dalam pelbagai aspek kehidupan awal
manusia, termasuk persoalan menjawab "Siapakah yang layak kita pilih".
Contoh yang jelas adalah pelantikan Nabi Yusuf sebagai Ketua
Perbendaharaan Kerajaan Mesir oleh rajanya dan diabadikan pula di dalam
al-Quran menerusi firman-Nya, yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau
menurut penilaian Kami adalah seorang yang kuat lagi dipercayai."
(Yusuf: 54)
Kelalaian melaksanakan kewajipan ini bermakna pemimpin tersebut
telah mengkhianati amanah Allah dan mempersia-siakan rakyatnya. Bencana
yang paling mengerikan adalah bergelumangnya pemimpin-pemimpin yang
menyalahi syariat dan telinga-telinga mereka tertutup bagi setiap
pemberi nasihat dan pemberi petunjuk.
Seseorang pemimpin tidak perlu banyak bicara, cukup sekadar memberi
teladan dengan perbuatan yang mana ia lebih jelas daripada perkataan.
Keteladanan lebih dalam pengaruhnya dibanding dengan jutaan perintah
dan bicara tanpa realisasi. Terpenting lihatlah keteladanannya, barulah
kita membuat pilihan yang tepat.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...