Darahsatriadotcom

Monday, 30 September 2013

Gelanggang Orang Lama, Orang Muda, Muka Baharu...

Memang meriah suasana pada ‘hari penamaan calon’ pemilihan UMNO yang berlangsung Sabtu lalu. Setakat ini sudah nampak tanda-tanda saingan sengit dijangka berlaku termasuk di peringkat bahagian berikutan ramai yang menawarkan diri. Jelaslah berlaku penawaran diri beramai-ramai untuk bertanding yang memperlihatkan proses demokrasi dalam UMNO yang cuba disegarkan mendapat perhatian anggota UMNO. Mereka berani mencuba untuk melakukan perubahan walaupun kemungkinan ada sesetengahnya sekadar mahu ‘memperkenalkan diri’ sebelum berada pada arus perdana perjuangan parti. 

Begitu juga dengan Majlis Tertinggi (MT) yang menampilkan enam calon untuk jawatan naib presiden yang menggabungkan tiga menteri Kabinet (penyandang), menteri besar, bekas ketua menteri dan bekas menteri besar. Sebanyak 64 calon MT yang menawarkan diri turut menarik perhatian ramai. Calon-calon ini menampilkan orang lama, orang muda dan muka baharu, barisan Kabinet dan di luar Kabinet. Mereka ini mempunyai pelbagai latar belakang atau profesion termasuk pengamal undang-undang, ahli akademik dan tokoh agama. Adunan pelbagai latar belakang pemimpin serta gandingan orang lama, orang muda dan muka baharu ini amat penting.

Jika dilihat jumlah calon di peringkat MT, mungkin ia boleh dianggap tidak begitu ramai kerana berdasarkan sistem yang diperkenalkan tahun ini, sesiapa juga anggota UMNO yang pernah menganggotai jawatankuasa bahagian selama sepenggal layak menawarkan diri untuk jawatan MT. Jumlah 64 orang bolehlah dianggap kecil kerana pada kali ini, pencalonan tidak memerlukan kuota seperti amalan pemilihan pada masa lalu. Kenapa? Adakah ramai yang tidak berminat? Kurangkah mereka yang mempunyai semangat untuk memimpin? Mungkinkah mereka menjangka hanya yang ‘ada nama dan kedudukan’ sahaja bakal dipilih? Sebelum ini, ada yang mahu bertanding tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana gagal memperoleh pencalonan yang mencukupi. 

Friday, 27 September 2013

Bila PM Hebat Bertweeter!

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Twitter hari ini bagi mengetahui lebih dekat bagaimana media sosial itu boleh dimanfaatkan untuk berhubung dengan rakyat, sempat menghantar dua tweet kepada pengikutnya yang kini berjumlah 1.7 juta orang.

"Hebat", kata Najib sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter, Dick Costolo selepas beliau menghantar dua tweet melalui akaun Twitternya @NajibRazak semasa sesi santai di lobi ibu pejabat Twitter di Market Street.

Mesej itu yang disertakan gambar beliau berjabat tangan dengan Costolo diambil daripada telefon bimbitnya kemudian mendapat reaksi segera daripada para pengikutnya.

Dua tweet itu ialah "Berjumpa CEO Twitter@dickc di Ibu pejabat Twitter dan "Sesi hebat di Ibu pejabat Twitter. Platform menarik untuk berhubung dengan rakyat Malaysia dan komuniti global".

Thursday, 26 September 2013

Panas : Agenda Ubah Sejarah Secara Senyap!

Pada 15 September lalu, akhbar Nanyang Siangpau memaparkan pendapat tulisan individu bernama Phang Sin Cai yang mahu 'selarikan' sejarah orang Cina di Tanah Melayu.

Hujahnya tentang sejarah dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan rakyat tentunya sesuatu yang baik untuk negara tetapi terdapat beberapa ayat membawa maksud tersirat yang diselitkan penulis dan boleh mengundang persoalan tujuan sebenar artikel itu dikongsi kepada umum.

Sin Cai membuat hujah persatuan Cina perlu 'menyelaraskan rekod sejarah' untuk tatapan generasi muda Cina khususnya di sekolah-sekolah vernakular, umpama rekod sejarah yang diajar di semua sekolah kini salah dan perlu 'diubah suai'.

Antara perkara yang menimbulkan persoalan termasuk cubaan penulis ini mengetengahkan 'pejuang daerah Setiawan' ketika isu Chin Peng mahu 'pulang' ke kampung halamannya itu menjadi perdebatan ramai.

Wednesday, 25 September 2013

Terkini : Pelarasan Gaji Baru Buat Penjawat Awam!

Pelarasan kenaikan gaji baru 2013/2014 kakitangan awam. Jikalau sebelum ini iaitu sekitar bulan Julai 2013 tempoh hari, kalangan kakitangan kerajaan telah pun menikmati dan menerima Kenaikan Gaji Tahunan yang baru. 

Dan berita gembira buat 1.4 juta kakitangan awam tidak akan berhenti setakat ini sahaja. Ini kerana pelarasan gaji baru naik berkuatkuasa seawal Disember 2013?
 

Berdasarkan maklumat yang diterima melalui salah seorang panel, yang menjadi wakil bagi pihak kementerian yang telah terlibat secara langsung dalam pelarasan gaji baru kakitangan awam kali ini, memaklumkan akan ada berita gembira  sekitar 3 bulan daripada sekarang.

Pengiraan untuk pelarasan gaji baru telah pun dijalankan dan dijangka akan mula dikuatkuasakan sekitar bulan 12 (Disember 2013) ataupun awal tahun 2014. Sama-sama kita nantikan.

Kerajaan Tegas Tidak Kompromi Hal Chin Peng!

Kerajaan bertegas tidak akan berkompromi membenarkan mayat atau abu pemimpin pengganas komunis, Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengulangi penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Chin Peng bukannya rakyat Malaysia.

Malah, beliau menempelak pihak-pihak tertentu yang tidak sensitif dengan perasaan majoriti rakyat terhadap kekejaman komunis semasa zaman darurat, khususnya ahli keluarga bekas-bekas perajurit negara apabila menggunakan isu undang-undang bagi 'menghalalkan' kepulangan Chin Peng.

"Kita (kerajaan) tetap dengan pendirian, seperti kata Perdana Menteri, Chin Peng tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia. Sebabnya, dia bukan warganegara Malaysia berdasarkan maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Sudah tentu kita tahu, kalau mayat atau abunya dibawa balik, akan ada pihak yang mendewa-dewakan dia sebagai pejuang atau membuat tugu peringatan. Ini akan menyakitkan hati veteran-veteran anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka atas kekejaman Chin Peng dan komunis,'' katanya.

Monday, 23 September 2013

Jangan Muda Belaka Sahaja!

Setiap kali UMNO hendak ‘asah keris’ dalam memilih pemimpin baharu akan timbullah isu ini - ‘kita amat perlukan gabungan tenaga tua dan muda’.

Sebenarnya sejak 1946 lagi, UMNO telah mengamalkan gabungan tenaga yang sihat. Mana-mana pihak khasnya yang muda seandainya berasakan dengan program meremajakan UMNO hanya orang muda yang kebal - maka ini tanggapan yang cukup besar silapnya.

Ungkapan istilah meremajakan UMNO disebut oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak hasil dari terjemahan semua pihak tetapi dengan cara mengguna pendekatan idea-idea baharu. Dan bukan fizikalnya semata-mata, yakni harus muda-muda belaka.

Pengajaran Sepanjang 50 Tahun Usia Malaysia!

Jika diibaratkan sebagai seorang manusia, usia lebih separuh abad lazimnya membentuk kedewasaan, kematangan, dan kebijaksanaan. Hal ini disebabkan pengalaman yang ditempuh sepanjang kehidupan banyak menimbulkan keinsafan dan pengajaran.

Demikianlah juga dengan Malaysia. Kemerdekaan yang dicapai lebih 50 tahun seharusnya menjadikan negara dan rakyatnya dewasa, matang, dan berwibawa. Telah sedemikian banyak liku yang dilalui. Sudah banyak pula onak dan duri yang ditempuh. Dengan kata-kata lain, kita telah mengenal dunia dan mengetahui permainannya. Ibarat kata pepatah, lebih lama kenal dunia, lebih lama tahu ranjau dan jurang hidup.

Resam kehidupan, ujian yang datang tidak mungkin ada noktahnya. Seperti diungkap al-Imam al-Syafi’‘ r.h.,: Ujian zaman datang begitu banyak, silih berganti tidak berhenti. Maka tidak hairanlah jika kita melihat semakin berusia negara ini semakin banyak dan hebat ujian yang melanda.

Antaranya termasuklah bentuk-bentuk ajaran dan pemikiran tertentu daripada Timur dan Barat yang tibanya bersilih ganti. Sekadar menyebut sebahagiannya cuma; sekularisme, pluralisme, liberalisme, dan yang sedang diberikan perhatian kini, iaitu ajaran atau doktrin Syiah. Pemikiran atau doktrin yang tersasar jauh daripada landasan sebenar dan menyesatkan itu hakikatnya tidak mudah disekat hanya dengan menutup punca kemasukannya atau juga dengan menamatkan hubungan siasah yang telah sedia terjalin.

Tuesday, 17 September 2013

Mayat Chin Peng Tidak Diterima di Bumi Malaysia!

Mayat bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng yang meninggal dunia di Thailand akibat sakit tua pada usia 90 tahun tidak akan diterima untuk dibawa pulang ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun sudah meninggal dunia, mendiang tetap ketua pengganas komunis yang bertanggungjawab membunuh ribuan anggota keselamatan negara.

Katanya, kematian Chin Peng itu juga tidak mungkin dapat memadam rasa kebencian terhadap mendiang terutama dalam kalangan balu-balu anggota polis dan tentera yang dibunuh kejam pengganas komunis.

Malas Berfikir Hilang Segalanya!

Masyarakat Malaysia hari ini amat gemar mempercayai mesej pesanan ringkas pendek dan padat berbanding kisah panjang berjela sebagaimana yang ditulis oleh wartawan dalam surat khabar seperti Utusan Malaysia yang merupakan akhbar paling berpengaruh semenjak 75 tahun lalu. 

Sebagai media tertua di negara ini, Utusan Malaysia ibarat kata Seniman Datuk Aziz Sattar dalam satu dialog adegan filem Seniman Bujang Lapok. Beliau berkata kepada peraih berbangsa Cina. 

"Macam-macam ada cerita di dalamnya..." (Beliau merujuk peranan akhbar yang membekalkan segala pengetahuan tetapi dijual dengan harga pukal apabila sudah basi bahan berita di dalamnya).

Begitulah analoginya kalau kita menganggap akhbar sebagai sekadar bahan perniagaan bukan menyuarakan perjuangan sesuatu bangsa dan negara itu sendiri. Akhbar dijadikan alat untuk menempah populariti semata-mata oleh pihak tertentu bukan satu wadah untuk memperolehi sebanyak ilmu dalam bidang politik, bisnes, hiburan dan paling dicari ialah iklan kerja kosong dalam sektor awam.

Sunday, 15 September 2013

Hina Bendera Boleh Dihukum!

Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan dan maruah bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga, hormat dan rasa kecintaan terhadap tanah air.

Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Jalur Gemilang pada pukul 11.58 malam, 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Ke-40, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Namun apa pula halnya dengan tindakan kurang bijak dan memalukan apabila beberapa individu tertentu berbangsa Melayu yang sengaja mengibarkan bendera diberi nama Sang Saka Malaya pada malam sambutan Hari Kemerdekaan, baru-baru ini.

Thursday, 12 September 2013

Marah Bukan Kepalang Apabila Harga Minyak Naik!

Minggu lalu saya ada menulis betapa perlunya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sentiasa turun padang memantau harga barangan kerana kemungkinan besar peniaga-peniaga akan menaikkan harga barangan dan makanan sesuka hati ekoran pengumuman kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen seliter.

Dan kita pun memang menjangkakan perkara itu pasti berlaku. Sehingga kini kementerian berkenaan telah menerima beberapa aduan berlakunya kenaikan harga di sana sini. 

Seorang teman bercerita kepada saya, berkuatkuasa saja kenaikan harga itu pada pukul 12 malam Isnin baru-baru ini, keesokkannya hari Selasa pada pukul 8 pagi di sebuah warung nasi lemak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, seorang mak cik yang biasanya menjual nasi lemak berharga RM2.50 sebungkus, mulai hari itu menaikkannya sebanyak 50 sen.

Apabila ditanya kenapa naik sehingga 50 sen, mak cik itu menjawab: ‘‘ Kan minyak petrol sudah naik malam tadi? Tak tengok berita kah? Barang-barang pun naiklah." 

Wednesday, 11 September 2013

Malaysia Perlu Undang-Undang!

Malaysia memerlukan undang-undang berbentuk pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat bagi menangani isu-isu berkaitan Syiah.
 
Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam), Dr. Zamihan Md. Zain berkata, ISA pada era pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad digunakan untuk menahan pendokong-pendokong Syiah tegar dan tindakan itu berjaya menyekat ajaran Syiah daripada terus berkembang.

Menurut beliau, perkara tersebut berdasarkan pengalamannya sendiri sebagai pegawai yang menguruskan tahanan-tahanan ISA ketika itu.

"Sebab itu kita mencadangkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 berperanan sebagai pencegahan ideologi ekstremis. Secara peribadi saya menyokong ISA kerana mampu menjadi undang-undang pencegahan paling berkesan terutama dalam menangani kes-kes seperti ini (Syiah)," katanya.

Tuesday, 10 September 2013

Pengikut Tegar Syiah Mohon Keluar Daripada Islam?

Pengikut-pengikut tegar Syiah di negara ini sanggup memohon untuk keluar daripada Islam semata-mata mahu mengamalkan ajaran tersebut secara terbuka.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Razali Shahabudin berkata, perkara itu diketahui selepas menerima ratusan salinan surat permohonan daripada pengikut fahaman terbabit.

Katanya, surat-surat yang turut disertakan bersama salinan kad pengenalan pengikut itu dengan jelas berniat untuk mendapatkan perkenan atau kelulusan Jakim bagi menukar agama.

Monday, 9 September 2013

Ideologi Melampau Kibaran Bendera!

Tindakan segelintir individu rakyat kita yang mengibarkan bendera “Sang Saka Malaya" ketika negara meraikan kemerdekaan merupakan bentuk kezaliman terhadap dirinya dan kepada negara. Zalim kepada dirinya kerana perbuatan itu merosakkan pandangan orang lain terhadap dirinya. Dengan perbuatan yang melampau itu, tiada lagi kredibiliti yang dimilikinya sehingga dengan sendirinya dia meranapkan masa depannya sendiri. 

Dianggap sebagai zalim kepada negara kerana dengan perbuatan itu, dia telah menggugat Perlembagaan negara yang menjadi teras kepada keagungan dan kewibawaan negara. Tindakan melampau itu juga boleh diiktiraf sebagai mencabul undang-undang negara yang sudah menetapkan Jalur Gemilang sebagai bendera rasmi negara yang mesti dihormati dan dijunjung tinggi. 

Bendera adalah lambang kepada kedaulatan dan maruah sesebuah negara. Mereka sepatutnya merenung dan bertafakur secara mendalam terhadap makna di sebalik kehebatan sebuah bendera. Demi sang bendera, para pejuang dan pahlawan kita dahulu mempertaruhkan dan menggadaikan nyawa mereka menentang penjajahan. 

Friday, 6 September 2013

Cukai Jalan Bakal Dimansuhkan?

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mencadangkan kerajaan memansuhkan cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans bagi kenderaan berkapasiti kurang daripada 2,000cc.
 
Presidennya, Datuk Hashim Othman berkata, kerajaan harus peka terhadap keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana supaya golongan berkenaan dapat mengharungi cabaran semasa ekonomi negara.

"Saya berharap daripada penjimatan yang diperoleh daripada pengurangan subsidi bahan api dapat digunakan untuk memansuhkan cukai jalan kenderaan dan pengurangan kadar insurans," katanya di sini.

Jom Fahami Kenaikan Harga Minyak!

Kenaikan harga minyak merupakan isu ekonomi paling sensitif buat rakyat Malaysia. Tindakan merasionalisasikan subsidi minyak adalah satu tindakan yang tidak popular. 

Bagi mana-mana pemimpin pun ia boleh mencetuskan dilema kerana perlu membuat pertimbangan sama ada ingin terus menjadi popular yang mana sentiasa kelihatan mementingkan kebajikan rakyat ataupun mengutamakan kedudukan kewangan negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Di sinilah, seorang pemimpin kena membuat pertimbangan terbaik. Jika mahukan populariti, nescaya, apa sahaja yang menyenangkan hati rakyat akan dipertahankan. 

Namun, dalam tempoh jangka masa panjang kedudukan kewangan negara akan terjejas teruk. Iktibar pemimpin-pemimpin negara Barat yang terlalu menjaga populariti mereka menyebabkan ekonomi negara mereka dilanda kemelesetan teruk.

Sana Sini Minyak... Jangan Ada Yang Naik Minyak!

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha menjadi kerajaan yang bertanggungjawab dan bukan popular semata-mata apabila mengurangkan subsidi minyak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan itu yang menyebabkan harga petrol RON 95 dan diesel naik sebanyak 20 sen bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya mahu memperkukuhkan ekonomi negara.

Beliau berkata, kerajaan pada masa ini menanggung sebanyak RM24 bilion subsidi setahun untuk bahan bakar dan keputusan mengurangkan kadar subsidi itu dapat menjimatkan sehingga RM3.3 bilion setahun.