Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan lawatan
kerja ke ibu pejabat Twitter hari ini bagi mengetahui lebih dekat
bagaimana media sosial itu boleh dimanfaatkan untuk berhubung dengan
rakyat, sempat menghantar dua tweet kepada pengikutnya yang kini
berjumlah 1.7 juta orang.
"Hebat", kata Najib sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif
(CEO) Twitter, Dick Costolo selepas beliau menghantar dua tweet melalui
akaun Twitternya @NajibRazak semasa sesi santai di lobi ibu pejabat
Twitter di Market Street.
Mesej itu yang disertakan gambar beliau berjabat tangan dengan
Costolo diambil daripada telefon bimbitnya kemudian mendapat reaksi
segera daripada para pengikutnya.
Dua tweet itu ialah "Berjumpa CEO Twitter@dickc di Ibu pejabat
Twitter dan "Sesi hebat di Ibu pejabat Twitter. Platform menarik untuk
berhubung dengan rakyat Malaysia dan komuniti global".
Dalam sidang akhbarnya, Perdana Menteri berkata, beliau telah diberi
taklimat bagaimana teknologi Twitter boleh digunakan untuk memperkasakan
peranan kerajaan termasuk semasa berdepan dengan malapetaka.
"Kalau berlaku malapetaka Twitter boleh digunakan untuk memberikan
amaran kepada rakyat selain mendekatkan hubungan rakyat dengan
kerajaan," katanya.
Twitter dibangunkan oleh Jack Dorsey pada Mac 2006 dan dilancar empat
bulan kemudian pada Julai. Sistem itu meraih populariti dengan pantas
dan pada 2012 sahaja mempunyai 500 juta pengguna berdaftar yang
memaparkan 340 juta 'tweet' (mesej) sehari dan sekarang merupakan antara
10 laman sosial paling dilayari di dunia.
Pendapatan Twitter terus berganda dari tahun ke tahun dengan tahun
lepas sebanyak AS$350 juta manakala sasaran AS$582 juta pada tahun ini
dan AS$1bilion tahun depan selepas disenaraikan.
Dalam pada itu, kenyataan media Perbadanan Pembangunan Multimedia
Malaysia (MDeC), menyebut, Najib turut diberi taklimat tentang impak
media sosial terhadap sistem penyampaian kerajaan, media sosial dan data
beranalisis serta Twitter dan keusahawanan sosial.
Perdana Menteri juga menyatakan minat untuk menggunakan media sosial
bagi berhubung dengan rakyat di Asia Tenggara apabila Malaysia menjadi
pengerusi pertama Komuniti ASEAN pada 2015.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...