Memang meriah suasana pada hari penamaan calon pemilihan UMNO yang
berlangsung Sabtu lalu. Setakat ini sudah nampak tanda-tanda saingan
sengit dijangka berlaku termasuk di peringkat bahagian berikutan ramai
yang menawarkan diri. Jelaslah berlaku penawaran diri beramai-ramai
untuk bertanding yang memperlihatkan proses demokrasi dalam UMNO yang
cuba disegarkan mendapat perhatian anggota UMNO. Mereka berani mencuba
untuk melakukan perubahan walaupun kemungkinan ada sesetengahnya sekadar
mahu memperkenalkan diri sebelum berada pada arus perdana perjuangan
parti.
Begitu juga dengan Majlis Tertinggi (MT) yang menampilkan enam
calon untuk jawatan naib presiden yang menggabungkan tiga menteri
Kabinet (penyandang), menteri besar, bekas ketua menteri dan bekas
menteri besar. Sebanyak 64 calon MT yang menawarkan diri turut menarik
perhatian ramai. Calon-calon ini menampilkan orang lama, orang muda dan
muka baharu, barisan Kabinet dan di luar Kabinet. Mereka ini mempunyai
pelbagai latar belakang atau profesion termasuk pengamal undang-undang,
ahli akademik dan tokoh agama. Adunan pelbagai latar belakang pemimpin
serta gandingan orang lama, orang muda dan muka baharu ini amat penting.
Jika dilihat jumlah calon di peringkat MT, mungkin ia boleh dianggap
tidak begitu ramai kerana berdasarkan sistem yang diperkenalkan tahun
ini, sesiapa juga anggota UMNO yang pernah menganggotai jawatankuasa
bahagian selama sepenggal layak menawarkan diri untuk jawatan MT. Jumlah
64 orang bolehlah dianggap kecil kerana pada kali ini, pencalonan tidak
memerlukan kuota seperti amalan pemilihan pada masa lalu. Kenapa?
Adakah ramai yang tidak berminat? Kurangkah mereka yang mempunyai
semangat untuk memimpin? Mungkinkah mereka menjangka hanya yang ada
nama dan kedudukan sahaja bakal dipilih? Sebelum ini, ada yang mahu
bertanding tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana gagal memperoleh
pencalonan yang mencukupi.
Bertungkus lumus calon terutama yang tidak berjawatan dalam kerajaan
pusat dan kerajaan negeri mencari pencalonan di bahagian untuk
mencukupkan kuota. Mungkin ini juga menyebabkan ada pihak yang
terjerumus dalam kancah politik wang hanya kerana untuk mendapatkan
kuota. Ada pula yang mendapat kuota yang banyak tetapi jumlah undi yang
diperoleh pada hari pemilihan amat mengecewakan.
Begitu juga apabila
tiba pemilihan untuk menjadi perwakilan ke peringkat pusat lebih-lebih
lagi semasa tahun pemilihan MT, berebut-rebut mahu menjadi perwakilan.
Kenapa? Kini keadaan sudah berubah. Tidak perlu kuota, cuma perlu
pencadang. Mereka yang berhak memilih pula bukan lagi sekitar 3,000
orang tetapi 148,000. Bukan mudah untuk mana-mana calon MT cuba
mempengaruhi jumlah pemilih yang besar ini.
Persoalannya adakah 64 calon MT serta berpuluh ribu lagi calon di
bahagian benar-benar serius untuk bertanding atau sekadar suka-suka
mencuba nasib?
Menjelang esok, masih ada ruang untuk mereka yang menawarkan diri
menarik diri daripada bertanding. Kita tunggu sama ada jumlah yang
bertanding akan berkurangan. Mungkin dalam tempoh beberapa jam daripada
sekarang, akan ada usaha untuk memujuk mana-mana calon untuk menarik
diri atau ada juga calon yang sudah memikirkan kesan baik dan buruk jika
meneruskan hasrat mereka. Mungkin ada yang mahu menarik diri selepas
mengukur baju di badan sendiri atau mengukur baju di badan lawan. Jika
ada yang sekadar suka-suka, elok tarik diri. Biarkan mereka yang
benar-benar mahu memimpin parti mendapat peluang secukupnya di
gelanggang. Menarik diri bukan bermakna takut atau pengecut.
Diharapkan pemilihan kali ini benar-benar memenuhi hasrat untuk
menyuburkan demokrasi dalam semua peringkat UMNO. Berdasarkan pencalonan
yang diterima, UMNO sudah memberi peluang kepada seramai mungkin untuk
bertanding dengan matlamat untuk memantapkan parti. Gandingan orang
lama, orang muda dan muka baharu amat penting. Sejauh mana orang muda
dan baharu sedia berkorban untuk agama, bangsa dan tanah air?
Menarik untuk diperhatikan juga adalah pertandingan di peringkat
bahagian terutama melibatkan jawatan ketua. Tidak ramai yang menang
tanpa bertanding. Jika sebelum ini begitu mudah menteri, timbalan
menteri, menteri besar atau yang berjawatan dalam kerajaan pusat, negeri
dan agensi kerajaan menang mudah tetapi suasana kali ini agak berbeza.
Calon-calon yang berani mencabar redah begitu mudah walaupun di atas
kertas sudah boleh dijangka keputusannya. Mungkin mereka berani mencuba
kerana merujuk keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu di mana ada
nama-nama besar yang dijangka menang mudah tetapi akhirnya kecundang.
Persoalannya adakah penyertaan mereka mencabar ketua bahagian
benar-benar ikhlas?
Tidak kurang juga yang mahu melihat perubahan di peringkat bahagian
lebih-lebih lagi selepas mencatatkan rekod tidak baik pada PRU lalu.
Mungkin di bahagian-bahagian ini ada sesuatu yang tidak kena dan
memerlukan perubahan segera bagi menghadapi PRU akan datang. Ubahlah
jika bahagian anda benar-benar bermasalah sehingga pada PRU lalu,
calon-calon yang diturunkan tewas teruk atau sekadar cukup makan.
Beranilah membuat perubahan kepada kepemimpinan yang seperti ini. Jika
anda rasakan diri layak dan lebih baik berbanding ketua sekarang,
teruskan tawaran untuk bertanding. Jangan bertanding kerana penyakit
hasad dengki, dendam, cemburu dengan kejayaan orang lain atau sekadar
mahu memalukan lawan. Jangan disebabkan pelbagai habuan yang sudah
terlepas, anda memusuhi orang lain. Ya, memang demokrasi memberi peluang
kepada semua orang yang layak untuk bertanding tetapi tindak tanduk
yang dilakukan jangan sampai merosakkan demokrasi. Jangan menjadi
seperti tikus membaiki labu atau marahkan nyamuk kelambu dibakar,
marahkan ketua kampung tetapi satu kampung diamuk dan dimusnahkan.
Turut menarik perhatian ialah keputusan beberapa ketua bahagian yang
memberi laluan kepada orang lain. Contohnya Menteri Pendidikan II, Idris
Jusoh yang menolak jawatan ketua bahagian yang disandang selama 13
tahun dan turun ke jawatan No. 3 sebagai naib. Begitu juga dengan Abu
Hasan Sarif dan Othman Aziz yang turun ke jawatan No. 2 dan 3 di Jerlun
untuk memberi laluan kepada Menteri Besar Kedah, Mukhriz Tun Dr.
Mahathir sebagai ketua bahagian. Inilah salah satu bentuk peralihan yang
baik bagi menjamin kesinambungan perjuangan seterusnya ke arah
transformasi meremajakan UMNO.
Kata orang, ular menyusur akar tiada
hilang bisanya. Ingatlah PRU yang bakal ditempuh dalam tempoh empat
tahun lagi. Selak dan renungi kembali keputusan PRU lalu akibat tsunami
politik dan tsunami pengundi Cina. Jangan pula kecundang akibat tsunami
UMNO.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...