Darahsatriadotcom

Followers

Friday, 27 September 2013

Bila PM Hebat Bertweeter!

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Twitter hari ini bagi mengetahui lebih dekat bagaimana media sosial itu boleh dimanfaatkan untuk berhubung dengan rakyat, sempat menghantar dua tweet kepada pengikutnya yang kini berjumlah 1.7 juta orang.

"Hebat", kata Najib sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter, Dick Costolo selepas beliau menghantar dua tweet melalui akaun Twitternya @NajibRazak semasa sesi santai di lobi ibu pejabat Twitter di Market Street.

Mesej itu yang disertakan gambar beliau berjabat tangan dengan Costolo diambil daripada telefon bimbitnya kemudian mendapat reaksi segera daripada para pengikutnya.

Dua tweet itu ialah "Berjumpa CEO Twitter@dickc di Ibu pejabat Twitter dan "Sesi hebat di Ibu pejabat Twitter. Platform menarik untuk berhubung dengan rakyat Malaysia dan komuniti global".

Dalam sidang akhbarnya, Perdana Menteri berkata, beliau telah diberi taklimat bagaimana teknologi Twitter boleh digunakan untuk memperkasakan peranan kerajaan termasuk semasa berdepan dengan malapetaka.
"Kalau berlaku malapetaka Twitter boleh digunakan untuk memberikan amaran kepada rakyat selain mendekatkan hubungan rakyat dengan kerajaan," katanya.

Twitter dibangunkan oleh Jack Dorsey pada Mac 2006 dan dilancar empat bulan kemudian pada Julai. Sistem itu meraih populariti dengan pantas dan pada 2012 sahaja mempunyai 500 juta pengguna berdaftar yang memaparkan 340 juta 'tweet' (mesej) sehari dan sekarang merupakan antara 10 laman sosial paling dilayari di dunia.

Pendapatan Twitter terus berganda dari tahun ke tahun dengan tahun lepas sebanyak AS$350 juta manakala sasaran AS$582 juta pada tahun ini dan AS$1bilion tahun depan selepas disenaraikan.

Dalam pada itu, kenyataan media Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC), menyebut, Najib turut diberi taklimat tentang impak media sosial terhadap sistem penyampaian kerajaan, media sosial dan data beranalisis serta Twitter dan keusahawanan sosial.

Perdana Menteri juga menyatakan minat untuk menggunakan media sosial bagi berhubung dengan rakyat di Asia Tenggara apabila Malaysia menjadi pengerusi pertama Komuniti ASEAN pada 2015.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...