Darahsatriadotcom

Followers

Monday, 30 September 2013

Gelanggang Orang Lama, Orang Muda, Muka Baharu...

Memang meriah suasana pada ‘hari penamaan calon’ pemilihan UMNO yang berlangsung Sabtu lalu. Setakat ini sudah nampak tanda-tanda saingan sengit dijangka berlaku termasuk di peringkat bahagian berikutan ramai yang menawarkan diri. Jelaslah berlaku penawaran diri beramai-ramai untuk bertanding yang memperlihatkan proses demokrasi dalam UMNO yang cuba disegarkan mendapat perhatian anggota UMNO. Mereka berani mencuba untuk melakukan perubahan walaupun kemungkinan ada sesetengahnya sekadar mahu ‘memperkenalkan diri’ sebelum berada pada arus perdana perjuangan parti. 

Begitu juga dengan Majlis Tertinggi (MT) yang menampilkan enam calon untuk jawatan naib presiden yang menggabungkan tiga menteri Kabinet (penyandang), menteri besar, bekas ketua menteri dan bekas menteri besar. Sebanyak 64 calon MT yang menawarkan diri turut menarik perhatian ramai. Calon-calon ini menampilkan orang lama, orang muda dan muka baharu, barisan Kabinet dan di luar Kabinet. Mereka ini mempunyai pelbagai latar belakang atau profesion termasuk pengamal undang-undang, ahli akademik dan tokoh agama. Adunan pelbagai latar belakang pemimpin serta gandingan orang lama, orang muda dan muka baharu ini amat penting.

Jika dilihat jumlah calon di peringkat MT, mungkin ia boleh dianggap tidak begitu ramai kerana berdasarkan sistem yang diperkenalkan tahun ini, sesiapa juga anggota UMNO yang pernah menganggotai jawatankuasa bahagian selama sepenggal layak menawarkan diri untuk jawatan MT. Jumlah 64 orang bolehlah dianggap kecil kerana pada kali ini, pencalonan tidak memerlukan kuota seperti amalan pemilihan pada masa lalu. Kenapa? Adakah ramai yang tidak berminat? Kurangkah mereka yang mempunyai semangat untuk memimpin? Mungkinkah mereka menjangka hanya yang ‘ada nama dan kedudukan’ sahaja bakal dipilih? Sebelum ini, ada yang mahu bertanding tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana gagal memperoleh pencalonan yang mencukupi. 

Bertungkus lumus calon terutama yang tidak berjawatan dalam kerajaan pusat dan kerajaan negeri mencari pencalonan di bahagian untuk mencukupkan kuota. Mungkin ini juga menyebabkan ada pihak yang terjerumus dalam kancah politik wang hanya kerana untuk mendapatkan kuota. Ada pula yang mendapat kuota yang banyak tetapi jumlah undi yang diperoleh pada hari pemilihan amat mengecewakan. 

Begitu juga apabila tiba pemilihan untuk menjadi perwakilan ke peringkat pusat lebih-lebih lagi semasa tahun pemilihan MT, berebut-rebut mahu menjadi perwakilan. Kenapa? Kini keadaan sudah berubah. Tidak perlu kuota, cuma perlu pencadang. Mereka yang berhak memilih pula bukan lagi sekitar 3,000 orang tetapi 148,000. Bukan mudah untuk mana-mana calon MT cuba mempengaruhi jumlah pemilih yang besar ini.
Persoalannya adakah 64 calon MT serta berpuluh ribu lagi calon di bahagian benar-benar serius untuk bertanding atau sekadar ‘suka-suka’ mencuba nasib? 

Menjelang esok, masih ada ruang untuk mereka yang menawarkan diri menarik diri daripada bertanding. Kita tunggu sama ada jumlah yang bertanding akan berkurangan. Mungkin dalam tempoh beberapa jam daripada sekarang, akan ada usaha untuk memujuk mana-mana calon untuk menarik diri atau ada juga calon yang sudah memikirkan kesan baik dan buruk jika meneruskan hasrat mereka. Mungkin ada yang mahu menarik diri selepas mengukur baju di badan sendiri atau mengukur baju di badan lawan. Jika ada yang sekadar suka-suka, elok tarik diri. Biarkan mereka yang benar-benar mahu memimpin parti mendapat peluang secukupnya di gelanggang. Menarik diri bukan bermakna takut atau pengecut. 

Diharapkan pemilihan kali ini benar-benar memenuhi hasrat untuk menyuburkan demokrasi dalam semua peringkat UMNO. Berdasarkan pencalonan yang diterima, UMNO sudah memberi peluang kepada seramai mungkin untuk bertanding dengan matlamat untuk memantapkan parti. Gandingan orang lama, orang muda dan muka baharu amat penting. Sejauh mana orang muda dan baharu sedia berkorban untuk agama, bangsa dan tanah air?

Menarik untuk diperhatikan juga adalah pertandingan di peringkat bahagian terutama melibatkan jawatan ketua. Tidak ramai yang menang tanpa bertanding. Jika sebelum ini begitu mudah menteri, timbalan menteri, menteri besar atau yang berjawatan dalam kerajaan pusat, negeri dan agensi kerajaan menang mudah tetapi suasana kali ini agak berbeza. Calon-calon yang berani mencabar ‘redah’ begitu mudah walaupun di atas kertas sudah boleh dijangka keputusannya. Mungkin mereka berani mencuba kerana merujuk keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu di mana ada nama-nama besar yang dijangka menang mudah tetapi akhirnya kecundang. Persoalannya adakah penyertaan mereka mencabar ketua bahagian benar-benar ikhlas? 

Tidak kurang juga yang mahu melihat perubahan di peringkat bahagian lebih-lebih lagi selepas mencatatkan rekod tidak baik pada PRU lalu. Mungkin di bahagian-bahagian ini ada sesuatu yang tidak kena dan memerlukan perubahan segera bagi menghadapi PRU akan datang. Ubahlah jika bahagian anda benar-benar bermasalah sehingga pada PRU lalu, calon-calon yang diturunkan tewas teruk atau sekadar cukup makan. 

Beranilah membuat perubahan kepada kepemimpinan yang seperti ini. Jika anda rasakan diri layak dan lebih baik berbanding ketua sekarang, teruskan tawaran untuk bertanding. Jangan bertanding kerana penyakit hasad dengki, dendam, cemburu dengan kejayaan orang lain atau sekadar mahu memalukan lawan. Jangan disebabkan pelbagai ‘habuan’ yang sudah terlepas, anda memusuhi orang lain. Ya, memang demokrasi memberi peluang kepada semua orang yang layak untuk bertanding tetapi tindak tanduk yang dilakukan jangan sampai merosakkan demokrasi. Jangan menjadi seperti tikus membaiki labu atau marahkan nyamuk kelambu dibakar, marahkan ketua kampung tetapi satu kampung diamuk dan dimusnahkan. 

Turut menarik perhatian ialah keputusan beberapa ketua bahagian yang memberi laluan kepada orang lain. Contohnya Menteri Pendidikan II, Idris Jusoh yang menolak jawatan ketua bahagian yang disandang selama 13 tahun dan turun ke jawatan No. 3 sebagai naib. Begitu juga dengan Abu Hasan Sarif dan Othman Aziz yang turun ke jawatan No. 2 dan 3 di Jerlun untuk memberi laluan kepada Menteri Besar Kedah, Mukhriz Tun Dr. Mahathir sebagai ketua bahagian. Inilah salah satu bentuk peralihan yang baik bagi menjamin kesinambungan perjuangan seterusnya ke arah transformasi meremajakan UMNO. 

Kata orang, ular menyusur akar tiada hilang bisanya. Ingatlah PRU yang bakal ditempuh dalam tempoh empat tahun lagi. Selak dan renungi kembali keputusan PRU lalu akibat tsunami politik dan tsunami pengundi Cina. Jangan pula kecundang akibat ‘tsunami UMNO’.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...