Darahsatriadotcom

Saturday, 31 August 2013

Guan Eng Takut Dijatuhkan!

Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membelakangkan perlembagaan parti apabila tergesa-gesa menjalankan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) menunjukkan beliau takut musuh-musuh politiknya mengumpulkan tenaga untuk menjatuhkannya.

Aktivis MIC, Datuk R. Ramanan berkata, ini kerana sebagai pemimpin, Guan Eng bukanlah seorang pemimpin yang berpengaruh dalam parti tersebut dan perkara berkenaan terbukti apabila beliau pernah kalah teruk dalam pemilihan peringkat cawangan di Melaka sebelum ini.

Menurut Ramanan, kekalahan Guan Eng dengan hanya meraih tempat ke-17 daripada 19 calon yang bertanding itu memaksa bapanya, Lim Kit Siang ‘memapah’ beliau ke Pulau Pinang bagi menyelamatkan karier politik Ahli Parlimen Bagan berkenaan.

“Namun begitu, dalam keadaan Guan Eng tidak berpengaruh dalam kalangan ahli DAP kini, dia boleh juga meneruskan lakonannya di hadapan rakyat negara ini. Mungkin selepas ini jika Guan Eng kalah, dia boleh bekerja dengan pelakon Hollywood, Tom Cruise di Amerika Syarikat.

Tuesday, 27 August 2013

Sikap Ulama PAS Mendukacitakan!

Sikap pemimpin Pas khususnya golongan ulama yang sehingga kini tidak mahu bertegas dalam isu penyalahgunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini amat mendukacitakan.

Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, sikap tersebut sekali gus akan mengelirukan banyak pihak dan bakal menjerumuskan umat Islam ke lembah syirik serta murtad.

''Biarlah pemimpin Pas bersikap seperti 'anai-anai' menyokong pihak gereja tetapi pemimpin dalam kalangan ulama mesti membuat penjelasan.

''Mereka hendaklah membuat satu kenyataan yang tegas, dalam masa sama memanggil semua ketua dewan ulama negeri-negeri untuk diberikan penjelasan agar mereka boleh bertindak menerangkannya kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi,'' katanya.

Monday, 26 August 2013

Politik Sosialis Ditolak Rakyat Malaysia!

Punca utama Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak Syed Husin Ali sebagai calon kerusi Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum, 10 tahun lalu ialah kerana Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berfahaman sosialis. Walaupun pencalonan Syed Husin dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan ketika itu tetap menolak kerana menganggap sosialis ‘adik komunis’. 

Padanya, orang berideologi sosialis ‘tidak ada agama’. Apabila keputusan PRU-10 diumumkan, PAS mengalami keputusan paling buruk sejak memerintah Kelantan pada 1990. Kerajaan PAS hampir tumbang. Menurut Syed Husin, ketika melawat Nik Aziz yang terpaksa masuk hospital selepas keputusan pilihan raya 2004, Mursyidul Am PAS itu menunjukkan reaksi beliau menyesal dengan keputusan tidak membenarkannya bertanding. 


Nik Aziz bukan satu-satunya pemimpin pembangkang yang tidak percayakan calon sosialis. Beberapa pemimpin lain menolak kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam PRU-13 lalu. Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, PAS meletakkan calon walaupun Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim bertanding di situ. Akibatnya, kedua-dua mereka kalah dan kerusi itu dimenangi calon Barisan Nasional (BN). PSM gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRU-13 kerana semua calonnya kalah dalam pertandingan tiga atau empat penjuru. 

Sehingga hari ini, pakatan pembangkang tidak mampu membuat keputusan sama ada untuk menerima permohonan PSM menjadi anggotanya. Anwar berkata PSM boleh menjadi parti sekutu jika ia menerima dasar bersama pakatan pembangkang tapi Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menolak. 

Pengajaran Dari Bumi Mesir!

Tarikh 3 Julai lalu mencatat satu lagi peristiwa hitam buat Mesir apabila Presidennya, Mohammed Mursi yang dipilih rakyat disingkirkan oleh tentera dalam satu rampasan kuasa, selepas sempat memerintah selama setahun.

Kemelut terbaharu politik Mesir itu mencetuskan tanda tanya besar, apakah sebenarnya kemahuan rakyat Mesir selepas diktator Hosni Mubarak ditumbangkan pada Februari 2012? Detik bersejarah ini disaksikan sendiri Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, nama yang tidak asing lagi dalam dunia penyiaran.

Farrah bersama anaknya, Muhammad Razique Rafique, 3, berada di Mesir sejak Jun dan baru sahaja kembali ke tanah air, Isnin lalu.

"Saya dan anak ke sana untuk mengikuti pengajian al-Quran dan tinggal bersama adik saya di pangsapuri yang terletak bersebelahan Masjid Ibrahim, Iskandariah, Mesir.

''Pada awal Jun, krisis dan pergolakan politik tidaklah 'parah' seperti sekarang, bagaimanapun selepas tiga minggu berada di sana, keadaan mula berubah. Saya menyaksikan perhimpunan dua kumpulan berbeza," katanya yang mengakui agak takut melalui kawasan perkhemahan protentera ketika sebahagian rakyat Mesir mahu menjatuhkan kerajaan demokratik Mursi.

Sunday, 25 August 2013

PAS Menyokong Gereja Roman Katolik?

Pucuk pimpinan Pas diminta menyatakan pendirian berhubung keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik membatalkan rayuan kerajaan Malaysia berhubung isu melibatkan pengunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald.

Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, rakyat mahu melihat pendirian Pas dalam memperjuangkan isu kritikal seperti kalimah Allah atau pemimpin parti itu hanya sekadar bersuara demi kepentingan politik masing-masing.

Menurut beliau, desakan itu bagi memastikan parti tersebut masih lagi relevan dalam perjuangan Islam serta tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Tambahnya, sebagai sebuah parti berteraskan Islam, pucuk pimpinan Pas sepatutnya hadir menyatakan sokongan semasa perbicaraan berhubung kes penggunaan kalimah Allah di Putrajaya semalam.

Karpal Buat Najib Tertekan!

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorty dicabar melepaskan jawatannya dalam Kabinet sekiranya mahu mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang mempertikaikan kejadian lima penjenayah ditembak mati oleh polis di sebuah rumah di Sungai Nibong dekat sini, Isnin lalu.

Pengerusi DAP, Karpal Singh yang membuat cabaran tersebut berkata, tindakan sedemikian perlu sebagai bukti beliau memang mahu memperjuangkan nasib masyarakat India.

"Sekiranya Waythamoorty tetap berpegang dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, beliau patut melepaskan jawatan dalam Kabinet yang disandangnya," katanya.

UMNO Perlu Diremajakan Semula!

Sudah 67 tahun UMNO menjadi parti politik utama di negara ini. Bukan itu sahaja, UMNO telah menjadi parti tonggak kepada kemerdekaan dan pentadbiran negara. 

UMNO sebagai parti tertua di negara ini sudah melalui pelbagai kemelut dalaman dari zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj hingga ke kepemimpinan era ini. 

Maka, sudah sampai masa UMNO diremajakan semula, dengan mengangkat muka baru yang bukan sahaja berpelajaran, berketerampilan malahan mampu berpidato dengan begitu hebat sekali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih ramai bakat baharu dalam UMNO harus diberi peluang mengisi jawatan penting dalam pemilihan parti Oktober ini. 

Saturday, 24 August 2013

Usah Layan 'Wira Songsang'!

Sememangnya adalah sesuatu yang memualkan apabila ada pihak cuba menjadi 'wira songsang' kepada penjenayah-penjenayah yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Kelompok ini sama sekali tidak pernah mahu mengkaji kenapakah polis terpaksa melakukan tindakan berkenaan dan kenapakah penjenayah tersebut perlu dihapuskan.

Apa yang mereka tahu ialah mempersoalkan prosedur yang digunakan oleh PDRM dalam melakukan serbuan dan bercakap berdegar-degar soal hak asasi manusia. Berikutan itu, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mempertahankan tindakan polis dalam usaha membanteras jenayah khususnya jenayah berat tidak ada salahnya.

Waythamoorthy Dinasihat Berhenti!

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy dinasihatkan supaya berhenti daripada memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan sekiranya mahu memberi kenyataan berhubung perkara di luar bidang kuasanya.
 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga mengingatkan beliau supaya tidak mencampuri urusan polis tetapi menumpukan kepada bidang kuasa sendiri iaitu menguruskan hal-hal berkaitan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).

"Saya cadang dia berhenti jadi timbalan menteri kalau nak cakap mengenai perkara luar bidang kuasanya, beliau kena faham kasut mana dipakai dan rumah mana dia duduk.

"Jangan ingat yang beliau masih pemimpin badan bukan kerajaan (NGO). Jangan campur tangan dalam kerja polis, polis kita bukan jenis yang suka-suka menembak tanpa mengenal pasti sasarannya (trigger happy)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pembangkang Bela Penjenayah!

Pembangkang pembela penjenayah! Itulah kesimpulan yang dibuat beberapa penulis blog ekoran kenyataan terbuka beberapa pemimpin pembangkang khususnya DAP yang mempersoalkan tindakan pihak polis menembak mati lima penjenayah dalam kejadian tembak menembak di Pulau Pinang awal minggu ini.

Blog The Flying Kick (theflyingkick.blogspot.com) misalnya, menempelak Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang mempersoalkan bagaimanapun pihak polis tahu bahawa kelima-lima mereka yang ditembak itu adalah anggota Gang 04.

“Reaksi yang ditunjukkan oleh Lip Eng itu bukanlah sesuatu yang menghairankan, memandangkan pembelaan ke atas penjenayah merupakan inti pati utama perjuangan DAP dan pakatan pembangkang," katanya.
House PK (parpukari.blogspot.com) berkata, cara pemimpin pembangkang mempertahankan penjenayah berat amat mencurigakan.

“Sebab sudah lama diperhatikan, bila ada orang awam mati ditembak (penjenayah) mereka senyap dan kata polis tak buat kerja. Tapi bila penjenayah mati (ditembak polis) saja maka akan menggelupurlah seluruh pakatan (pembangkang). 

Friday, 23 August 2013

Anwar Sertai Semula UMNO?

Penulis blog Al-Azhari Siddiq (www.al- azharrisiddiq.com) mendakwa telah bertemu dengan beberapa ahli Parlimen UMNO dan terkejut kerana ada kalangan mereka melihat kemasukan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Barisan Nasional (BN) sebagai sesuatu yang positif.

Katanya, antara alasan yang ahli Parlimen berkenaan berikan ialah kemasukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kerajaan akan menambah kekuatan BN di dalam Parlimen. 

Ia bertolak daripada kenyataan Anwar kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempelawa beliau untuk bergabung dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan perpaduan. Bagaimanapun ia kemudian dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Situasi Cukup Menyayat Hati...

Pasukan bomba dan penyelamat yang terawal tiba di lokasi kejadian nahas bas ulang-alik di Genting Highlands semalam memberitahu mereka nampak sebahagian besar penumpang dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.
 
Malah, situasi itu cukup menyayat hati apabila kebanyakan daripada mangsa tidak sedar diri dan ada di antaranya sudah meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, M. Mahendran bersama sembilan anggotanya menjadi pasukan penyelamat pertama tiba di lokasi kejadian sejurus mendapat laporan kemalangan itu petang semalam.

Menurutnya, sebaik sahaja dia dan pasukannya turun ke gaung menggunakan tali, penglihatannya hanya tertumpu kepada mangsa yang berada di dalam bas serta mangsa yang terhumban keluar.

Kor Ming Cauvinis, Rasis!

Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir membidas Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming kerana bersikap amat cauvinis dan rasis apabila menuduhnya cuba membalas dendam terhadap kaum Cina di negeri itu.

Zambry berkata, kenyataan Kor Ming bahawa beliau mengutip semula cukai tanah ke atas sembilan sekolah sumbangan wang awam (Suwa) yang telah dikecualikan seperti disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini amat keterlaluan dan langsung tidak bertanggungjawab.

“Macam mana dia boleh menuduh saya anti dan mahu balas dendam kepada orang Cina kerana tidak sokong Barisan Nasional (BN). Dia telah tunjukkan dia seorang yang rasis. Saya tidak pernah terfikir begitu pun.

Thursday, 22 August 2013

DAP Utama Kepentingan Peribadi!

DAP yang mempunyai 'barisan peguam hebat' dalam kalangan pemimpinnya seharusnya lebih memahami peraturan dan bukan bertindak di luar bidang kuasa ketika menguruskan perjalanan parti.

Bekas Ketua DAP Cawangan Jalan Bagan Luar, G. Asoghan berkata, ekoran tindakan sesetengah pemimpinnya mempunyai kepentingan peribadi menyebabkan parti terjerumus ke dalam kancah memalukan apabila terpaksa mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

"Selama ini, pemimpin-pemimpin DAP seringkali melaungkan kononnya parti itu sebagai telus dan memperjuangkan kebenaran tetapi penyelewengan yang berlaku ketika pemilihan CEC tahun lalu membuktikan sebaliknya.

Jangan Bersikap Lembut Dan Layan Sangat Tuntutan!

Kerajaan digesa berhenti daripada berlembut termasuk melayan pelbagai tuntutan pihak-pihak tertentu yang tidak munasabah serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Gesaan itu disuarakan sekumpulan pakar perundangan ketika membincangkan sisi lemah kerajaan dalam sidang pleno Perlembagaan Persekutuan Lindungi Hak Pendidikan Saksama.

Sidang itu dipengerusikan bekas Penasihat Persekutuan dan Pegawai Undang-Undang Mageran (Majlis Gerakan Negara) semasa Darurat 1969, Tan Sri Dr. Abd. Aziz Abd. Rahman sempena pra-Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan.

Dalam sidang pleno yang diadakan di Ibu Pejabat Mara dekat sini itu, kumpulan berkenaan turut mendesak kerajaan supaya memperkasakan Perlembagaan Persekutuan terutama Akta Pendidikan 1966 yang diwujudkan bagi membina masyarakat yang bersatu padu dan dinamik.

Op Cantas Khas...

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiatkan Op Cantas Khas yang dilancarkan sejak Sabtu lalu khususnya di Lembah Klang untuk membendung aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara.

PDRM dalam laman Facebook hari ini memaklumkan, usaha meningkatkan operasi tersebut adalah selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, pelaksanaan Op Cantas Khas bagi membendung kegiatan jenayah khususnya yang berkaitan aktiviti kongsi gelap serta jenayah yang menggunakan elemen senjata api dan senjata tajam, dipergiatkan di sekitar Lembah Kelang oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan kerjasama semua ibu pejabat polis daerah berkaitan," jelas kenyataan tersebut.

Wednesday, 21 August 2013

Undang-Undang Jenayah Diteliti...

Kerajaan sedang meneliti sama ada undang-undang sedia ada memadai untuk membanteras jenayah atau ada keperluan menggubal undang-undang tambahan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan juga belum membuat keputusan sama ada mewujudkan kembali undang-undang pencegahan bagi menentang jenayah serius di negara ini. 


“Kita mahu meneliti sama ada undang-undang sedia ada memadai dan buat masa sekarang, kita sedang adakan perbincangan intensif,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Kewangan di sini, semalam. 

Ditanya sama ada wujud keperluan menghidupkan semula undang-undang pencegahan, Najib berkata, masalah dengan undang-undang itu ialah ia dilaksana sebelum kesalahan dilakukan. 

Seksualiti Merdeka... Adoyai!

Penganjur program Seksualiti Merdeka 2011 gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mendapatkan kebenaran bagi membatalkan keputusan polis yang mengharamkan semua program dan acara Seksualiti Merdeka pada tahun itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Clement Allan Skinner yang bersidang bersama Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dan Datuk David Wong Dak Wah memutuskan demikian selepas menolak rayuan lima ahli jawatankuasa program tersebut.

Perayu-perayu ialah Pang Khee Teik, 39; K.T. Angela Marianne, 49; S. Thilaga, 26; Siti Zabedah Kasim, 50, dan Md. Nor Ismat Selamat, 30.

Kuorum berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 1 Mac tahun lalu yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka selepas membenarkan bantahan Peguam Negara.

Tuesday, 20 August 2013

Bahaya Abaikan Isu Agihan Kekayaan!

Lepas kita berpuasa, belanja puasa dan belanja raya Kunta Kinte rasa banyak yang sesak duit. Ada yang sesak teruk dan ada yang tak berapa teruk. Ada yang putus langsung sampai tak boleh bayar hutang atau kena tambah hutang. 

Tok nenek kita ingatkan kita belanja ikut yang mampu. Mereka kias kata ukur baju pada badan dan jangan lebih besar kerak daripada periuk. Agama kita pula sangat tak galakkan kita berhutang. 


Kunta Kinte selalu ingatkan iaitu orang yang berhutang adalah hamba. Tak kiralah dia hutang siapa – hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hutang MARA, hutang bank, hutang ceti, hutang along, hutang kawan – wajib bayar. Bagi orang Islam, mati dalam hutang  sangatlah buruk. 

Banyak juga orang Melayu berhutang pasal miskin. Tapi ada juga yang berhutang pasal tak ukur baju dengan badan. Yang Kunta Kinte sangat sedih dan sangat bimbang adalah banyak orang Melayu tak tahu pun yang mereka miskin. 

Guan Eng Perlu Sedar Diri!


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu sedar bahawa tiada individu atau parti politik yang lebih tinggi mengatasi undang-undang di negara ini.

Pengerusi Kelab Setia 1Malaysia Pulau Pinang, Lim Boo Chang berkata, semua parti politik termasuk UMNO tertakluk kepada arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang telah diberikan kuasa untuk memantau pergerakan mereka.

Menurutnya, jika Guan Eng tidak memahami konsep mudah tersebut, beliau boleh merujuk kepada pemimpin-pemimpin DAP lain yang kebanyakannya adalah peguam.

Haram Ikhwan, Tamat Darurat...


Haram Ikhwan, tamat darurat

Anggota kabinet kerajaan Mesir akan membincangkan langkah menamatkan krisis politik negara itu termasuk mengharamkan pergerakan Ikhwanul Muslimin dan menamatkan perintah darurat.

Timbalan Perdana Menteri, Ziad Bahaa el-Din, menggesa perintah darurat segera ditamatkan, semua parti politik kembali dibenarkan bergerak dan jaminan diberi kepada hak asasi manusia termasuk hak berhimpun. 

Ikhwanul Muslimin, bagaimanapun, berikrar meneruskan bantahan besar-besaran sehingga bekas Presiden Mohamed Morsi yang digulingkan 3 Julai lalu.

Tidak diketahui sejauh mana cadangan Ziad akan mendapat sokongan.

Ketika menyalahkan Ikhwan atas petumpahan darat itu, Perdana Menteri Hazem el-Beblawi menyarankan supaya pergerakan berusia 85 tahun ini diharamkan sekali gus akan menyebabkannya bergerak secara rahsia.

Monday, 19 August 2013

Guan Eng Terus Ditempelak!

Keengganan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui kesilapan berhubung kontroversi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) terus dikecam pelbagai pihak yang menyifatkan beliau sebagai 'pemimpin ego dan hipokrit'.

Kalangan mereka juga menempelak dan mempersoalkan tindakan Guan Eng kerana mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam isu dakwaan penyelewengan pemilihan jawatankuasa parti tersebut.

Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong mendakwa, sikap Guan Eng yang tidak mengaku kesilapan, sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada pihak lain adalah perkara biasa bagi pemimpin sebuah parti yang kononnya 'memperjuangkan' ketelusan dan demokrasi itu.

Taktik Jahat Anwar Dikenalpasti!

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak membuat tawaran untuk membentuk kerajaan perpaduan dilihat sebagai satu lagi taktik jahat Ketua Pembangkang itu untuk menjatuhkan imej Perdana Menteri menjelang pemilihan UMNO akan datang.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd. Noor mendakwa, Anwar sengaja ingin mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan ahli UMNO bahawa kononnya Najib sanggup berkompromi dengan musuh politiknya.

"Anwar ingin mewujudkan kesangsian dalam kepimpinan UMNO seolah-olah Perdana Menteri yang mahu berkompromi dengannya. Ini manipulasi dan permainan jahat Anwar.

"Saya tahu daripada rakan-rakan di Indonesia bahawa beliau (Anwar) yang sebenarnya mengusulkan perkara tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hayati Erti Kemerdekaan!

Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak sekadar mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik atau satu keperluan untuk menyambut sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, tindakan tersebut perlu disusuli dengan penghayatan atau erti sebuah perjuangan dan pengorbanan untuk mendapatkan kemerdekaan yang dihasratkan.

Malah katanya, usaha itu perlu menekankan semangat cintakan negara, patriotik dan penghayatan sepenuhnya kepada lambang kedaulatan serta jati diri.

"Apabila mengibarkan bendera, kita tidak mahu ia dilakukan secara simbolik tanpa membawa apa-apa pengertian di sebaliknya," katanya.

Sunday, 18 August 2013

Malaysia Mampu Bantu Tangani Krisis Mesir!

Malaysia mampu dan mempunyai peranan besar dalam menggerakkan negara-negara untuk bertindak bagi menghentikan keganasan tentera terhadap para penunjuk perasaan antirampasan kuasa di Mesir.

Dalam hal ini, sebagai pemimpin dunia Islam, Malaysia perlu menggerakkan negara-negara Islam lain yang kelihatan masih belum bergerak, walaupun untuk mengecam keganasan kerajaan tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah Assisi itu.

Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman, suara Malaysia sebagai negara pemimpin negara Islam akan diikuti oleh negara-negara Islam yang lain.

DAP Tiada Kredibiliti!

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, DAP adalah parti yang tiada kredibiliti kerana kononnya mengamalkan prinsip demokrasi, namun pemimpin mereka tidak berani mengamalkan prinsip tersebut di dalam parti sendiri.

Perdana Menteri berkata, ini kerana seramai 753 perwakilan DAP yang berhak hadir pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak dimaklumkan untuk hadir dan jumlah itu bukan suatu angka yang kecil.

"Apa yang jadi tanda tanya adalah kenapa sebuah parti seperti DAP yang selalu menguar-uarkan mereka menjadi juara demokrasi dan prinsip tidak menyalahguna kuasa, tetapi bila sampai pemilihan dalam parti mereka tak sanggup melakukan perkara mengikut peraturan yang bersih," katanya.

Saturday, 17 August 2013

Kenyataan Politik Yang Berniat Nakal...

Kebelakangan ini beberapa portal berita online telah menyiarkan laporan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sedang berusaha mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan portal berita tersebut yang memetik “sumber yang boleh dipercayai dan rapat dengan kem" Datuk Seri Mohd. Najib adalah merupakan “daya imaginasi" penulis tersebut kerana tidak ada sebarang usaha ke arah mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.

Perbincangan mengenai sebuah kerajaan perpaduan tidak mungkin berlaku selagi pihak pembangkang terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepemimpinan pakatan pembangkang sehingga kini masih tidak dapat menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 dan mempertikai keputusan tersebut.

Berpolitik Untuk Apa?

Menjelang tarikh kemerdekaan 31 Ogos, tertanya-tanya kita sejauh manakah 'merdekanya pemikiran berpolitik' rakyat Malaysia. Jika sekadar berpolitik untuk melepas geram, dendam, benci tentu tidak ke mana. Ia akan merugi masa, tenaga, belanja. Bimbang pula ia akan mencetus huru-hara, persengketaan dan menjejas keharmonian yang sedia ada.

Yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini ialah apa yang boleh dianggap sebagai 'kecelaruan berpolitik'. Berpolitik tanpa objektif yang jelas. Berpolitik secara terikut-ikut, taksub, politik asal saja dinamakan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) semua dianggap 'tidak betul'. Tegasnya berpolitik tanpa memahami matlamat.

Dikaitkan pula kononnya politik di Malaysia perlu berubah seperti yang berlaku di beberapa negara lain khususnya sekitar Asia Barat. Untuk apa? Teruk sangatkah kehidupan kita di Malaysia? Buruk sangatkah corak pemerintahan di Malaysia? Apa buktinya? 

Friday, 16 August 2013

Apa Sudah Jadi? Op Selamat Gagal!

Meskipun kelonggaran dan advokasi diberikan dalam kempen keselamatan jalan raya sekarang, namun jumlah kematian yang terus meningkat direkodkan menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiada pilihan kecuali melaksanakan undang-undang dan peraturan jalan raya secara total pada masa hadapan. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, memang ada penurunan daripada segi jumlah kemalangan dicatatkan dalam Op Selamat sempena Aidilfitri kali ini tetapi sikap pengguna jalan raya yang masih di takuk lama dan tidak berubah menyebabkan kemalangan jalan raya tidak dapat dielakkan.

"Saya tidak berpuas hati dengan Op Selamat kali ini. Walau bagaimanapun saya akan tunggu laporan penuh yang dijangkakan diterima dalam tempoh terdekat.

"Melihat kepada situasi ini, saya berpendapat pendekatan penguatkuasaan sepenuhnya perlu dilakukan kerana cara paling berkesan untuk mengubah sikap pemandu ialah dengan 'mengoyakkan' poket mereka," katanya kepada pemberit.

Revolusi Syiah Pengaruhi PAS!

Revolusi Iran kira-kira 34 tahun lalu menggoncang dunia. Kuasa besar Barat terpinga-pinga dengan pengaruh pemimpin Syiah, Ayatollah Khomeini dan bagaimana beliau menjatuhkan kerajaan Reza Shah Pahlevi, yang disokong Amerika Syarikat. Gerakan Islam sedunia bagaikan mendapat semangat baru. Di Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berjumpa Khomeini. 

Pulang ke Malaysia, Anwar isytiharkan sambutan ‘Hari Pembebasan dan Perpaduan Iran’ pada 16 Mac 1979. PAS tidak ketinggalan. Pemimpinnya, Mohamed Sabu menggunakan retorik tokoh Syiah itu dalam ucapan dan ceramahnya. Mereka juga mempengaruhi gerakan pelajar Islam, terutama di sekolah agama dan pondok, untuk menentang kerajaan menggunakan revolusi di Iran sebagai contoh. 


Rencana Harakah (31 Disember 1999) memuji Khome ini sebagai wira dan ‘role model’ untuk PAS. Malah, ada dakwaan seorang ulama PAS dilantik duta khas Khomeini untuk Asia Tenggara dan risalah ucapan pemimpin Syiah itu diedar di masjid sekitar Kuala Lumpur (Baca Shanti Nair, Islam in Malaysian Foreign Policy, ISEAS 1997). 

Thursday, 15 August 2013

Perlembagaan Dalam Pembinaan Peradaban!

Malaysia adalah sebuah negara yang menghampiri status negara maju. Sama ada kita sedar atau tidak, status negara maju itu membawa erti, pembinaan satu peradaban. Mungkin perkataan 'maju' tidak sama dengan perkataan 'adab' yang menjadi kata dasar kepada 'peradaban'. Tetapi perkataan 'maju' yang kita maksudkan itu hendaklah juga diisi dengan 'adab'. Maka, kemajuan itu adalah juga satu peradaban. 

Peradaban yang juga disebut sebagai tamadun itu mempunyai asal perkataan Arab, iaitu adab. Perkataan adab dalam bahasa Arab itu digunakan dalam maksud yang lebih kurang sama dengan apa yang difahami dalam bahasa Melayu. Ringkasnya ia bermaksud etika atau tatasusila, termasuk kesopanan dan kesusilaan. 

Begitu juga dengan perkataan tamadun. Ia bermaksud taraf kemajuan yang mempunyai adab. Keduanya bermaksud pencapaian fizikal yang seimbang dengan pencapaian rohani. Dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunakan ialah civilisation yang berasal daripada perkataan Latin yang merujuk kepada masyarakat bandar, hidup dalam keadaan teratur.

Bila Kesejahteraan Sosial Digugat!

Kesejahteraan sosial merujuk kepada jangkauan untuk memenuhi aspek kekurangan yang wujud dalam kebajikan masyarakat. Kehidupan seharian menuntut kita berinteraksi sama ada proses mengkod dan menyahkod informasi lisan mahupun bukan lisan adalah penting dalam memahami seseorang individu dari budaya yang berbeza.

Ahli teoris interaksionis iaitu George Herbert Mead (1936) menyatakan kehidupan sosial merangkumi aspek interaksi manusia. Ini bererti, tingkahlaku seseorang berkait dengan seorang yang lain, iaitu mengambil kira bagaimana seseorang berkelakuan di antara satu sama lain.

Maka, tidak rugi sekiranya kita lebih memahami agama lain maka tidak akan berlaku isu-isu mengguris hati agama lain seperti tindakan melampau Alvin Tan dan Vivian Lee (Alvivi) yang tidak memikirkan sensitiviti agama Islam dengan tiga tuduhan mempersendakan Islam dan Ramadan serta memuat naik video, dan gambar lucah.

Jangan Jadi Batu Api!

Polis negeri ini menasihatkan agar orang ramai terutamanya para penulis blog tidak menjadi 'batu api' dalam isu sebuah surau resort yang dijadikan tokong di Kampung Sedili Besar di Kota Tinggi, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci kes berkenaan dan pemilik resort terbabit pun sudah ditahan reman.

"Kes ini begitu sensitif sebab melibatkan isu keagamaan dan saya berharap tiada pihak yang cuba melaga-lagakan antara satu sama lain.

"Satu jawatankuasa khas yang diketuai timbalan saya, Datuk Ismail Yatim juga telah ditubuhkan bagi menyelesaikan kes ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Jadilah Insan Yang Mulia!

Perkauman sudah menjadi satu perkataan yang biasa dalam kalangan masyarakat Malaysia kini. Orang perseorangan, media, dan pihak tertentu dituduh dan dikatakan bersikap perkauman. Namun, sebelum kita menuding jari pada orang lain, marilah kita tanya pada diri kita sendiri, - "Adakah saya bersifat perkauman?''

Di bulan yang sangat mulia pada rakan-rakan Melayu, adakah kita bersalaman dengan mereka dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Adakah kita memanggil atau menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertanyakan khabar. Kita harus tanya pada diri sendiri, adakah saya sayang pada manusia sejagat, apakah pendirian saya terhadap pada perpaduan antara kaum ataupun, saya hanya pentingkan diri sendiri, dan keluarga sahaja?

Memang lumrah kehidupan, semua orang sibuk mencari nafkah untuk hidup. Ayah dan ibu bekerja siang dan malam untuk memberi yang terbaik untuk keluarga. Anak-anak ditinggalkan di rumah asuhan kerana mahu menambahkan pendapatan untuk keluarga.

Namun kita lupa satu perkara asas dalam hidup untuk menghormati dan menunjukkan kasih sayang kepada orang lain tanpa menghiraukan warna kulit, agama dan bangsa. Bila azan kedengaran, ada yang merungut bising, tapi bila perayaan Tahun Baru Cina, kita tidak kisah pula dengan bunyi mercun dan bunyi gong yang mengiringi tarian singa. Tatkala Thaipusam pula, dengan bunyi-bunyian alat muzik tradisional, kita berarak di jalan raya, trafik menjadi perlahan kerana memberi laluan untuk perarakan, ramai merungut bila kaum lain menjalankan ibadah atau adat resam mereka.

Wednesday, 14 August 2013

Perkahwinan Bukan Eksperimen!


Pernikahan dan perkahwinan adalah antara kemuncak dan sisi manis dalam kehidupan setiap insan. Secara fitrahnya, tidak ada individu yang tidak mahu mempunyai pasangan hidup untuk berkongsi kegembiraan hidup berkeluarga dan mengembangkan zuriat.

Malah, Islam sendiri amat menggalakkan umatnya berkahwin sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kahwinilah wanita penyayang lagi subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad) berbanding umat-umat lain". (riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dalam zaman moden dan canggih sekarang, kebanyakan pasangan yang mendirikan rumah tangga adalah hasil pilihan sendiri. Bukan seperti zaman dahulu di mana ibu bapa menentukan jodoh anak-anak.

Malangnya statistik yang dilaporkan oleh Bernama, Sabtu lalu bahawa terdapat purata tiga kes penceraian bagi setiap jam dalam kalangan pasangan Muslim di negara ini, ternyata menggusarkan.

Talam Dua Muka Pembangkang!


Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mendedahkan sikap talam dua muka pembangkang yang menuduh kononnya wakil rakyat mereka tidak diberi peluang secara demokratik untuk melontarkan soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, tindakan wakil-wakil rakyat pembangkang memuat naik soalan-soalan lisan di laman-laman sosial kerana kononnya tidak berpeluang berbuat demikian di sidang DUN adalah usaha terdesak untuk mengelirukan serta membangkitkan kemarahan rakyat.

Dalam hubungan itu, Zambry meminta wakil rakyat berkenaan bertanya kepada kepimpinan pakatan pembangkang di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan sama ada semua soalan yang dikemukakan wakil rakyat BN dijawab setiap kali sidang DUN berlangsung.

Bila Hilangnya Patriotisme!

Peristiwa demi peristiwa yang berlaku di sekeliling menjadikan kita keliru. Sebelum ini, kita cukup berbangga sebagai masyarakat yang bersifat majmuk dan boleh hidup dengan aman serta semangat setia kawan. Namun, satu demi satu kejadian telah membunuh rasa damai dan masyarakat menjadi gusar disebabkan peristiwa-peristiwa berkenaan.

Masyarakat Islam yang sedang melaksanakan ibadah puasa juga disinggung dengan provokasi-provokasi yang mencabar kesabaran. Sedangkan, puasa dalam bulan Ramadan merupakan sekolah tanpa binaan fizikal. Suatu persekolahan yang mendidik hati agar melindungi sifat-sifat mahmudah daripada sifat-sifat mazmumah. Tentulah sesuatu yang ironi apabila puasa tidak dapat menganjurkan rasa aman dan tenang. Ataupun, kesejahteraan hidup dicemarkan ketika umat Islam sedang menjalani ibadah berpuasa.

Keamanan dan kesejahteraan terbina kerana adanya perpaduan. Tetapi sukar untuk membentuk perpaduan jika tidak ada patriotisme. Keamanan adalah asas kepada pembinaan pembangunan. Juga asas kepada kemajuan yang menjadi proses pewujudan tamadun bangsa. Setiap tindakan yang bercanggah dengan nilai-nilai perpaduan adalah tidak patriotik. Begitu juga perbuatan yang menghalang kemajuan juga tidak mencerminkan kecintaan terhadap negara. Tindakan-tindakan yang berbentuk provokatif dan menyalahi undang-undang juga menggambarkan tiada patriotisme dalam jiwa. Maka, secara ringkasnya apa sahaja perkara yang tidak mesra perpaduan dan yang boleh meruntuhkan peradaban adalah tidak patriotik.

Inilah Yang Rakyat Malaysia Mahu!

Dalam ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Penasihat DAP Lim Kit Siang melontarkan soalan untuk difikirkan oleh rakyat negara ini 'Apa lagi Malaysia mahu.'

Penulis tidak menafikan rakyat Malaysia seperti mana kata Kit Siang mahukan tadbir urus yang baik, kejayaan dalam usaha membasmi korupsi, keamanan dalam negara dan kadar jenayah yang rendah, keadilan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran untuk semua warga serta sistem pendidikan bertaraf dunia dari peringkat rendah sampai ke universiti.

Kit Siang juga menyeru semua rakyat Malaysia yang cintakan negara dan tidak mempunyai hasrat untuk berhijrah ke negara lain merenung bagaimana hendak menjadikan Malaysia lebih bersatu, lebih harmoni, lebih kukuh, lebih membangun dan lebih makmur untuk semua rakyatnya tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

Sekali lagi penulis bersetuju dengan seruan Kit Siang itu kerana itulah juga hasrat seluruh rakyat Malaysia yang sudah berpuluh-puluh tahun hidup dalam harmoni dan bersama-sama membangunkan negara sejak merdeka pada 31 Ogos 1957.

Tuesday, 13 August 2013

MCA Dalam Dilema!

Di samping pemilihan UMNO pada Oktober ini , turut menarik perhatian kali ini sudah pasti dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC. Paling menarik sudah tentulah MCA yang kalah teruk pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Sejak masyarakat Cina menolak parti yang mendakwa mewakili kaum itu banyak cerita yang tidak pernah selesai berlegar di dalam MCA. Satu persatu isu ditimbulkan.

Selepas PRU lalu, MCA terus dilanda isu yang berkaitan resolusi bahawa parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan jika keputusan PRU menunjukkan MCA tidak menerima sokongan penuh masyarakat Cina.

Akhirnya resolusi ini ibarat 'memakan diri sendiri'. Ia umpama perangkap yang memerangkap parti itu dalam meneruskan agenda perjuangannya. Disebabkan 'menerima' jawatan atas kehendak istana, maka Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Tee Siew Kiong dikenakan tindakan kerana ingkar arahan menerima lantikan sebagai Exco kerajaan Negeri Johor.

Syiah Simbol Kepincangan Islam!

Keadaan yang wujud dalam negara ini masa kini merupakan simbol kepincangan umat Islam dalam menghadapi dilema yang berunsurkan akidah dan syariah Islam. Perkara ini berlaku disebabkan oleh sikap umat Islam yang terlalu lalai menghayati konteks ajaran Islam yang sebenarnya.

Sikap para pemimpin parti politik umat Islam dalam negara ini yang terlalu ghairah dengan kuasa adalah punca utama perpecahan umat di mana ukhuwah sesama umat Islam adalah berdasarkan kepada parti politik bukan kepada pemahaman akidah dan syariah seperti dituntut oleh Islam.

Sikap terlalu taksub kepada parti politik menyebabkan pemimpin parti politik dan penyokongnya mengetepikan prinsip perjuangan Islam yang dituntut Allah SWT. Kuasa dan kedudukan merupakan objektif perjuangan sehingga mereka kabur melihat realiti, konteks dan implikasi berpolitik tanpa berdasarkan kepada etika berpolitik dalam Islam. Keangkuhan yang dipertonjolkan oleh mereka digambarkan dalam pelbagai bentuk yang tersasar sama sekali dengan perjuangan politik dalam Islam.

Monday, 12 August 2013

Bila Mantan PM Jadi Sasaran!


Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan bahawa beliau menulis, menaja atau meminta supaya buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia diterbitkan.

Dalam kenyataan media hari ini, Abdullah atau lebih kerap dengan panggilan mesra “Pak Lah" berkata beliau sedia diwawancara oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh atas prinsip keterbukaan demi perdebatan seimbang dengan mengambil kira semua sudut pandangan.

Justeru, beliau meminta agar tiada pihak membuat andaian bahawa buku ini ditulis oleh "Pak Lah yang sudah bersubahat dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri".

Sistem Pilihanraya Diubah!

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membentangkan kepada parti-parti politik berhubung cadangan mengubah sistem pilihan raya negara yang diamalkan ketika ini bagi mendapatkan persetujuan semua sebelum dilaksanakan pada masa depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum melaksanakan perubahan yang turut melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan negara.

"Ada perkara yang sudah kita buat tetapi perkara yang serius kita sedang mengkaji lagi dengan teliti.

"Banyak perkara sedang diteliti seperti pendaftaran pemilih secara automatik, persempadanan semula, mewujudkan badan lain yang mengendalikan pendaftaran pemilih, penglibatan badan asing dalam sistem pilihan raya umum dan sebagainya," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sunday, 11 August 2013

Untunglah... BR1M Naik Oktober Ini!

Kerajaan akan menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan dan perkara itu akan diusulkan dalam pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kenaikan itu sejajar dengan janji kerajaan meningkatkan bantuan tersebut kepada kadar maksimum sehingga RM1,200 dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

"Kita sedang mempertimbang meningkatkan kadar bantuan BR1M kepada rakyat dan dalam masa sama melihat kemungkinan meletakkan bantuan tersebut dalam dasar Jaringan Keselamatan Sosial atau Social Safety Net.

"Untuk tahun depan kita naikkan sedikit," katanya ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya, di Sungai Rokam, di sini hari ini.

Dasar Berasaskan Kaum Nak Dihapuskan?

Dasar berasaskan kaum termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti dilaksanakan di negara ini adalah yang terbaik dalam memberikan keadilan kepada rakyat.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pahang, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap berkata, dengan kira-kira 29 juta penduduk, Malaysia pastinya mempunyai acuan tersendiri dalam menentukan hala tuju negara dan rakyatnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak termasuk bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew supaya tidak mencampuri urusan berkaitan dasar Malaysia.

Guan Eng Samseng Politik!

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didakwa cuba berlagak sebagai 'samseng' politik apabila sanggup melakukan apa sahaja termasuk 'mengugut' Pendaftar Pertubuhan (ROS) demi menutup segala penyelewengan parti itu daripada terbongkar.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa, Guan Eng ketika ini begitu tertekan dengan desakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) oleh ROS dan akar umbi DAP sehingga terpaksa menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi mata umum.

Sehubungan itu, Tunku Abdul Aziz mengingatkan ROS supaya tidak tunduk dengan mana-mana kehendak serta syarat dikenakan Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Guan Eng memang ingat beliau kebal daripada undang-undang. Siapa dia untuk memberi kata dua kepada ROS? Penubuhan DAP adalah di bawah bidang kuasa ROS, bukan sebaliknya. Anak beranak, Lim Kit Siang dan Guan Eng sering menganggap mereka kebal undang-undang.

Kurang Ajarnya Kuan Yew!

Pandangan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew mengenai dasar-dasar berasaskan kaum di negara ini yang didakwa tidak menguntungkan Malaysia disifatkan sebagai satu pandangan lapuk dan sempit.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, Kuan Yew harus sedar bahawa beliau hanya mentadbir sebuah negara yang kecil iaitu tiga juta penduduk berbanding Malaysia yang mempunyai kira-kira 29 juta penduduk.
‘‘
Mana boleh hendak bandingkan Singapura dengan Malaysia, beliau tadbir Singapura yang hanya memiliki tiga juta penduduk dengan sistem meritokrasi.

‘‘Selain itu, kita faham pandangan tersebut berdasarkan pengalaman di Singapura iaitu satu kaum mendominasi negara terbabit, tidak sama seperti Malaysia yang mempunyai keseimbangan antara Melayu dengan bukan Melayu,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Saturday, 10 August 2013

Taktik DAP!

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu lebih berani tampil untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP bagi menafikan 'kesilapan besar' dilakukan semasa pemilihan pada Disember, tahun lalu.


Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, Guan Eng perlu yakin dan tidak perlu takut kepada diri sendiri jika benar tiada berlaku penyelewengan seperti yang didakwa ketika pemilihan tersebut.

Jelasnya, keengganan Guan Eng serta sikapnya yang sentiasa berdolak-dalik melalui pelbagai cara bukan sahaja mencetuskan keraguan dalam kalangan rakyat malah kredibilitinya sebagai pemimpin juga dipersoalkan oleh ahli akar umbi DAP.

Soi Lek Sedia Dihukum!

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bersedia dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti berhubung jawatan Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang yang masih dipegangnya.

Walau bagaimanapun, kata beliau, ahli MCA lain yang turut memegang jawatan kerajaan juga harus dikenakan tindakan serupa.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk dirujuk ke jawatankuasa disiplin tetapi pemimpin lain seperti Tan Sri Ong Ka Ting (Duta Khas ke China), Datuk Teh Kim Poo (Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang), Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen (Pengerusi Tourism Malaysia), Datuk Wong Nai Chee (Setiausaha Politik Perdana Menteri), pegawai penerangan serta pegawai peringkat kampung daripada MCA juga harus dipanggil.

Anwar Dicabar!

Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh membuat laporan polis dalam isu surat misteri disifatkan sebagai sandiwara lapuk bagi menutup pekung peribadi mereka.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd. Noor berkata, jika benar Anwar dan Karpal difitnah dalam isu surat tersebut, mengapa mereka tidak menyaman pihak terlibat.

Katanya, langkah membuat laporan polis cuma taktik Anwar sebelum Ketua Pembangkang itu menjayakan hobi jijiknya selepas ini, iaitu dengan menuduh konspirasi UMNO dan pihak berkuasa seolah-olah beliau tidak bersalah.

Friday, 9 August 2013

Syiah, Bani Tamim, Ayah Pin - Melayu Boleh!

Orang Melayu di Tanah Melayu ini semakin canggih. Pencarian mereka mengenai ketuhanan cukup hebat. Mereka mahu mencapai tahap syurga yang paling tinggi. Bagi golongan ini, mereka lebih hebat daripada orang lain, daripada orang Melayu yang lain, orang Kristian, Buddha mahupun Hindu.



Orang Melayu jenis ini merasakan keislaman mereka yang diamalkan selama ini sudah tidak Islam lagi. Islam yang kita semua percaya sudah kurang keislamannya. Mereka mahu mencari lebih daripada itu. Mereka mahu mendapatkan kebenaran yang abadi.

Pendedahan bahawa 250,000 orang menyertai ajaran Syiah juga tidak memeranjatkan. Rata-rata sudah tentulah orang Melayu. Mereka ini mahu mencari syurga yang paling tinggi. Adakah Islam cara Melayu yang mengamalkan Ahli Sunnah Wal Jamaah sudah hilang ketakwaannya?

Pakatan Pembangkang Dimalukan!

Penolakan mahkamah terhadap satu persatu petisyen pilihan raya oleh pihak pembangkang membuktikan dakwaan berlakunya penyelewengan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah tidak benar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun membuat pelbagai dakwaan, pihak pembangkang dalam permohonannya gagal mengemukakan sebarang bukti hingga membuatkan permohonan mereka tidak diterima oleh mahkamah.

"Apabila disuruh membawa bukti, tiada bukti dikemukakan hingga setiap satu kes yang dibawa telah ditolak oleh mahkamah.

"Ini menunjukkan dakwaan mereka itu tidak benar,'' katanya ketika berucap melancarkan penubuhan Pusat Percetakan al-Quran Mushaf Malaysia di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB).