Perkauman sudah menjadi satu perkataan yang biasa dalam kalangan masyarakat Malaysia kini. Orang perseorangan, media, dan pihak tertentu dituduh dan dikatakan bersikap perkauman. Namun, sebelum kita menuding jari pada orang lain, marilah kita tanya pada diri kita sendiri, - "Adakah saya bersifat perkauman?''
Di bulan yang sangat mulia pada rakan-rakan Melayu, adakah kita bersalaman dengan mereka dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Adakah kita memanggil atau menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertanyakan khabar. Kita harus tanya pada diri sendiri, adakah saya sayang pada manusia sejagat, apakah pendirian saya terhadap pada perpaduan antara kaum ataupun, saya hanya pentingkan diri sendiri, dan keluarga sahaja?
Memang lumrah kehidupan, semua orang sibuk mencari nafkah untuk hidup. Ayah dan ibu bekerja siang dan malam untuk memberi yang terbaik untuk keluarga. Anak-anak ditinggalkan di rumah asuhan kerana mahu menambahkan pendapatan untuk keluarga.
Namun kita lupa satu perkara asas dalam hidup untuk menghormati dan menunjukkan kasih sayang kepada orang lain tanpa menghiraukan warna kulit, agama dan bangsa. Bila azan kedengaran, ada yang merungut bising, tapi bila perayaan Tahun Baru Cina, kita tidak kisah pula dengan bunyi mercun dan bunyi gong yang mengiringi tarian singa. Tatkala Thaipusam pula, dengan bunyi-bunyian alat muzik tradisional, kita berarak di jalan raya, trafik menjadi perlahan kerana memberi laluan untuk perarakan, ramai merungut bila kaum lain menjalankan ibadah atau adat resam mereka.