PRU-13 yang dianggap ibu kepada PRU itu akhirnya memihak kepada Barisan Nasional (BN) yang diamanahkan rakyat sekali lagi untuk meneruskan pemerintahannya setelah lebih setengah abad, (sebelum ini dikenali dengan Kerajaan Perikatan) sekali gus mencatat sejarah sebagai antara kerajaan paling lama mengekalkan kuasanya di rantau ini.
Bagaimana sistem dan amalan demokrasi terbimbing" berkembang di negara ini. Dalam apa jua keadaan dari dahulu sehingga sekarang, media dalam bentuk akhbar cetak, elektronik iaitu televisyen, laman portal dan blog di samping laman sosial seperti twitter dan facebook telah memainkan peranan untuk mengubah corak pemikiran rakyat ke arah lebih bebas dan terbuka untuk menyuarakan sesuatu perkara.
Walaupun terdapat Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, namun sejak kebelakangan ini, sama ada ahli politik ataupun rakyat biasa sentiasa mahu menguji kekuatan dan pengertian sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.
Maka tidak hairanlah beberapa pengguna laman sosial baru-baru ini ditahan kerana menghina institusi raja-raja Melayu dan nabi Muhammad SAW. Mereka yang terlibat ini ialah golongan berpelajaran dan sudah pasti mengetahui akibatnya tetapi masih mahu mencuba nasib agar dapat mempengaruhi orang lain dengan pendapat mereka itu.