Pengerusi Barisan
Bertindak Hak- Hak Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy dibidas berikutan
tindakannya menuding jari kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak kononnya gagal melakukan perubahan terhadap
masyarakat India di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Waythamoorthy
sebaliknya perlu menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal bekerja
sebagai satu pasukan dan tidak efektif dalam membawa perjuangannya
ketika diberi peluang menganggotai Kabinet.
Khairy mendedahkan, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
itu bertindak menuntut kesemua bajet kerajaan melibatkan masyarakat
India untuk diletakkan di bawah kawalannya.
"Waythamoorthy ingin mengawal semua transaksi kewangan dan
membelakangi kementerian-kementerian dan agensi kerajaan. Kerajaan tidak
beroperasi sebegini. Apabila beliau tidak mendapat perkara tersebut,
beliau berhenti dan menyalahkan Perdana Menteri," katanya dalam akaun
Twitternya hari ini.