Pernikahan dan perkahwinan adalah antara kemuncak dan sisi manis dalam kehidupan setiap insan. Secara fitrahnya, tidak ada individu yang tidak mahu mempunyai pasangan hidup untuk berkongsi kegembiraan hidup berkeluarga dan mengembangkan zuriat.
Malah, Islam sendiri amat menggalakkan umatnya berkahwin sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kahwinilah wanita penyayang lagi subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad) berbanding umat-umat lain". (riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Dalam zaman moden dan canggih sekarang, kebanyakan pasangan yang mendirikan rumah tangga adalah hasil pilihan sendiri. Bukan seperti zaman dahulu di mana ibu bapa menentukan jodoh anak-anak.
Malangnya statistik yang dilaporkan oleh Bernama, Sabtu lalu bahawa terdapat purata tiga kes penceraian bagi setiap jam dalam kalangan pasangan Muslim di negara ini, ternyata menggusarkan.