Tindakan segelintir individu rakyat kita yang mengibarkan bendera
Sang Saka Malaya" ketika negara meraikan kemerdekaan merupakan bentuk
kezaliman terhadap dirinya dan kepada negara. Zalim kepada dirinya
kerana perbuatan itu merosakkan pandangan orang lain terhadap dirinya.
Dengan perbuatan yang melampau itu, tiada lagi kredibiliti yang
dimilikinya sehingga dengan sendirinya dia meranapkan masa depannya
sendiri.
Dianggap sebagai zalim kepada negara kerana dengan perbuatan itu, dia
telah menggugat Perlembagaan negara yang menjadi teras kepada keagungan
dan kewibawaan negara. Tindakan melampau itu juga boleh diiktiraf
sebagai mencabul undang-undang negara yang sudah menetapkan Jalur
Gemilang sebagai bendera rasmi negara yang mesti dihormati dan dijunjung
tinggi.
Bendera adalah lambang kepada kedaulatan dan maruah sesebuah negara.
Mereka sepatutnya merenung dan bertafakur secara mendalam terhadap makna
di sebalik kehebatan sebuah bendera. Demi sang bendera, para pejuang
dan pahlawan kita dahulu mempertaruhkan dan menggadaikan nyawa mereka
menentang penjajahan.