Ekoran kehabisan modal untuk menarik minat orang ramai, Naib Presiden
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar terpaksa menjaja isu-isu
lapok dan basi ketika mengadakan ceramah politik di Projek Perumahan
Rakyat (PPR) Pantai Ria, di sini malam tadi.
Selain membangkitkan semula isu National Feedlot Corporation (NFC)
yang telah menjadi kes mahkamah, anak Ketua Pembangkang itu juga terus
menabur janji untuk menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) jika pembangkang dapat merampas Putrajaya.
Beliau turut menggunakan modal manifesto Barisan Nasional (BN)
sebagai meniru manifesto pembangkang walaupun kenyataannya aku janji
yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu jauh
lebih realistik.
"Mereka (pemimpin BN) yang mendakwa banyak tenaga dan kepakaran
tetapi meniru kita. Idea kita mereka guna," katanya dalam ceramahnya
sempena pelancaran bilik gerakan mengundi pakatan pembangkang, yang
dihadiri kira-kira 100 orang itu.
Bagaimanapun Nurul Izzah tidak menjelaskan dengan mendalam
perkara-perkara terkandung di dalam manifesto BN yang dikatakan
menciplak idea pembangkang.
Sementara itu, pengarah filem dan drama, Adam Hamid yang kini
berceramah di pentas pembangkang turut menggunakan peluang bagi
menghentam membuta tuli terhadap kerajaan BN, termasuk menuduh mengundi
parti itu sebagai satu dosa.
Malah beliau mendakwa 80 peratus golongan artis di negara ini
menyokong pembangkang tetapi tidak berani untuk tampil ke hadapan kerana
bimbang sukar mencari makan.
Sebelum ini Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi
mengaku ramai kalangan artis menjadi penyokong pembangkang keran
dipengaruhi oleh rakan-rakan artis yang menjadi ejen kepada parti-parti
berkaitan.
Bagaimanapun, pelakon itu berkata, bilangan artis yang menyokong
pembangkang kini sudah berkurangan sejak kerajaan memperkenalkan skim
insurans kepada golongan itu serta membawa pelbagai pendekatan lain
untuk mereka.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...