Darahsatriadotcom

Followers

Thursday, 23 May 2013

Anwar, Jui Meng Bakal Kuburkan DAP!

DAP digesa supaya tidak berat sebelah dan hipokrit dengan mengarahkan bekas naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim supaya berhenti mendedahkan rahsia parti kepada umum.
 
Sebaliknya, DAP hendaklah terlebih dahulu menasihatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chua Jui Meng supaya berhenti memburukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang pernah diterajui mereka sebelum menyertai pembangkang. 

Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan berkata, DAP tidak layak bercakap tentang demokrasi tetapi pada masa yang sama bertindak mengongkong kebebasan bersuara Tunku Abdul Aziz yang mempertahankan prinsipnya. 

"DAP jangan jadi hipokrit. Nasihat dulu 'konco-konco' kamu yang sering menyebar 'fitnah' sebelum berani menuduh Tunku Abdul Aziz tidak gentleman

"Mengapa DAP takut sangat dengan Tunku Abdul Aziz? Berani kerana benar, hadapi kenyataan jika sebaliknya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang memberikan amaran kedua kepada Tunku Abdul Aziz supaya menghentikan perbuatan mendedahkan kepincangan parti berkenaan.

Ramanan juga melahirkan rasa hairan dengan sikap 'kalut' ditunjukkan DAP terhadap pendedahan demi pendedahan oleh Tunku Abdul Aziz. 

Beliau berkata, selaku parti yang mendakwa menjunjung tinggi demokrasi serta kebebasan bersuara, pendedahan Tunku Abdul Aziz sepatutnya dijawab melalui hujah bernas serta jawapan yang menunjukkan mereka berada di landasan benar. 

"Namun, DAP mengambil langkah sebaliknya dengan mengugut Tunku Abdul Aziz dua kali dalam tempoh dua hari. Rahsia apa yang besar sangat sampai perlu dipertahankan bersungguh-sungguh?

"Jika mereka benar-benar bersih, DAP perlu belajar mendepani pendedahan itu dan bukannya mengugut seperti ini. Mereka harus belajar menerima kritikan dan bukan menjalankan ugutan setiap kali ditekan," tambahnya. 

Ramanan mendakwa, kelantangan Tunku Abdul Aziz sebenarnya menimbulkan kebimbangan berikutan pendedahan beliau 'menyusahkan' segelintir pucuk kepimpinan DAP. 

"DAP sudah tentu tidak menyangka Tunku Abdul Aziz akan keluar parti dan membuat pendedahan kepada umum. Beliau adalah manusia berprinsip, bukan semua pemimpin boleh dibeli. 

"Segelintir pemimpin dalam parti itu bimbang pendedahan tersebut akan memberikan imej buruk kepada DAP yang sejak akhir-akhir ini sering dilanda kontroversi, di samping dilihat hanya memperjuangkan kepentingan kaum tertentu," tegasnya. 

Dalam pada itu, Ramanan turut menggesa Karpal dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya tidak cuba mengalihkan perhatian umum dengan bermain isu ini sehingga lupa dengan isu utama, pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC). 

"Guan Eng perlu berhenti main 'tarik tali'. Sila beri penjelasan bila agaknya DAP akan membuat pemilihan semula CEC? Masyarakat sudah bosan dengan permainan ini," ujarnya. 

Isu pemilihan CEC DAP menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 perwakilan untuk mengundi dalam pemilihan tahun lalu, selain timbul kemusykilan insiden memalukan iaitu salah kira undi.

Berdasarkan Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966, Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak memberikan pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan DAP yang dibentuk semasa pemilihan CEC parti itu dan mengarahkan pemilihan semula diadakan.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...