Parti pembangkang khususnya Pas perlu berhenti daripada bersekongkol
dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kempen Anwar Spring yang
digerakkan Ketua Pembangkang itu sejak pilihan raya umum lalu
bermotifkan peribadi.
Bekas peguam bela Anwar, Datuk Zulkifli Noordin berkata, Pas akan
dihukum dengan lebih teruk oleh majoriti rakyat jika berterusan
membiarkan diri dijadikan alat tunggangan Ketua Pembangkang kerana
masyarakat mahukan keamanan bukan demonstrasi Anwar Spring.
Beliau yang bersetuju dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk
Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melabelkan perhimpunan haram anjuran
pembangkang sebagai Anwar Spring dan bukannya Malaysia Spring menambah,
Pas perlu berhenti daripada terus diperbodohkan.
"Pendedahan bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla adalah
pengajaran terbaik dalam isu Anwar Spring ini. Anwar memungkiri
perjanjian damai melibatkan Perdana Menteri apabila enggan menerima
keputusan pilihan raya sebaliknya memilih demonstrasi ke jalanan.
"Dalam konteks ini bukan hanya rakyat perlu membuka mata tetapi
paling penting Pas. Sampai bila Pas hendak menjadi kuda tunggangan Anwar
demi cita-cita peribadi, bukan kerana memperjuangkan nasib rakyat,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid berkata, kempen Anwar Spring melalui penganjuran
siri perhimpunan haram sengaja dicetuskan Ketua Pembangkang itu sebagai
provokasi terhadap pasukan keselamatan selain bertujuan menarik
perhatian media asing bagi memburukkan Malaysia.
Mengulas isu yang sama, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari
berkata, dakwaan pakatan kononnya perhimpunan haram anjuran mereka
adalah Malaysia Spring merupakan taktik lapuk untuk mengaburi mata
rakyat mengenai perjuangan peribadi Ketua Pembangkang itu.
Katanya, Anwar cuba berselindung di sebalik nama Malaysia Spring agar
motif politiknya tidak kelihatan peribadi di mata penyokong, sekali gus
mampu mengheret rakyat untuk turut serta menyokong gerakan tersebut
meskipun keselamatan negara menjadi taruhan.
"Sebab itu saya menyokong kenyataan Ahmad Zahid. Anwar Spring adalah
agenda peribadi Anwar yang mahu menjatuhkan kerajaan secara tidak
beretika bagi menjayakan nafsunya untuk menjadi Perdana Menteri dengan
memperalatkan rakyat. Ini memang taktik Anwar.
"Jadi pesan saya kepada rakyat, jangan tertipu dengan Anwar yang mahu
menghuru-harakan negara sekali gus menjemput kuasa asing untuk campur
tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia kerana selaku individu antara
paling rapat saya cukup kenal siapa Anwar," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...