Ahli Parlimen pakatan pembangkang tidak
sependapat ketika memberikan reaksi berhubung titah Yang di-Pertuan
Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah dalam majlis pembukaan Mesyuarat
Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-13, di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Bagan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
seolah-olah memperlekehkan titah Seri Paduka dengan menyifatkannya
sebagai 'skrip' yang telah disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional
(BN).
Dakwa Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang, titah Seri
Paduka sebenarnya telah disediakan oleh BN, tidak melibatkan kepentingan
rakyat, malah, terdapat banyak kepincangan kerajaan yang cuba
disorokkan.
"Titah Seri Paduka telah disediakan oleh kerajaan BN. Mengapa hendak 'mengheret' Seri Paduka dalam perkara ini?.
"BN harus sedar mereka cuma kerajaan minoriti kerana kami adalah
kerajaan yang telah menang dengan undi popular sebanyak 51 peratus.
"Kamu (media arus perdana) terima hakikat ini dahulu, kemudian baharu
dapatkan komen kami," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.
Pada 6 Mei lalu, DAP khususnya Guan Eng terus mendakwa Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13) adalah 'yang paling kotor' dalam sejarah negara dan
mereka seharusnya layak membentuk kerajaan baharu berdasarkan undi
popular.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
bagaimanapun memberikan reaksi berbeza apabila menyifatkan titah Seri
Paduka itu perlu diterima semua Ahli Parlimen dan mereka harus
bekerjasama dalam membangunkan negara.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat itu turut berharap agar masing-masing
dapat menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13, sekali gus memainkan
peranan sebenar sebagai wakil rakyat.
"Semua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang perlu bertindak
sedemikian, kami di pihak Pas akan terus komited untuk memperkasakan
Islam dan negara, selari dengan agenda perjuangan.
"Kami menerima baik titah Seri Paduka dan semestinya Ahli Parlimen
bekerjasama untuk melaksanakan. Saya juga mengharapkan Malaysia
bertambah maju dan stabil,'' katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...