Bekas Exco yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk
Husam Musa hari ini mencetuskan persoalan apabila memohon tidak
menghadiri majlis angkat sumpah yang berlangsung di Dewan Undangan
Negeri (DUN) di sini hari ini.
Lebih mengejutkan apabila Speaker DUN, Abdullah Yakub turut
memaklumkan bahawa Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan itu memohon
untuk tidak hadir sepanjang tempoh persidangan DUN kali ini yang
dijadual bermula Ahad ini.
Sedangkan Husam, pada malam tadi telah menghadiri perhimpunan pakatan
pembangkang di Padang Majlis Daerah Ketereh, kira-kira 20 kilometer
dari Kota Darulnaim yang turut disertai Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Selain Husam, dua lagi ADUN yang tidak hadir pada majlis angkat
sumpah itu ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ayer Lanas) dan Exco, Datuk
Che Abdullah Che Mat Nawi (Wakaf Bharu).
Sebelum majlis angkat sumpah ini dimulakan, sukacita saya maklumkan
bahawa pihak Dewan Undangan Negeri telah menerima tiga pucuk surat iaitu
daripada ADUN Wakaf Baru dan Ayer Lanas yang memohon untuk tidak hadir
pada persidangan hari ini (majlis angkat sumpah ADUN).
Dan daripada Dewan Undangan Salor, yang memohon untuk tidak hadir
sepanjang tempoh persidangan pada kali ini atas sebab-sebab yang tidak
dapat dielakkan. Dengan ini saya memberi kebenaran dan kelulusan kepada
ketiga-tiga Ahli Dewan Negeri tersebut," kata Abdullah.
Seramai 42 ADUN diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengangkat
sumpah di hadapan Abdullah hari ini. Bekas Menteri Besar, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat turut mengangkat sumpah tetapi kemudiannya
meninggalkan dewan sebelum majlis berakhir.
Yang turut mengangkat sumpah ialah wakil rakyat Barisan Nasional
didahului ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang dilantik sebagai Ketua
Pembangkang.
Pengguguran Husam daripada senarai Exco sebelum ini mencetuskan
polemik kerana dikatakan tidak mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan
Muhammad V. Husam walau bagaimanapun meminta penyingkiran tersebut tidak dikaitkan dengan Sultan Kelantan.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...