Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, penyebaran fitnah terhadap kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menerusi laman sosial sedikit sebanyak menjadi punca kekalahan ramai calon BN.
"Pihak pembangkang telah menggunakan laman sosial pada PRU yang lepas untuk berkempen dan mereka telah mengeluarkan dakwaan yang tidak berasas terhadap kerajaan.
"Rakyat pula lebih gemar menerima apa yang dibaca secara bulat-bulat tanpa menganalisis dahulu sama ada dakwaan yang dikeluarkan itu benar atau tidak," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) di sini hari ini.
Beliau berkata, rakyat tidak harus mempercayai dakwaan yang dikeluarkan 100 peratus kerana mereka sepatutnya memeriksa dahulu sama ada dakwaan itu benar atau tidak sebelum membuat persepsi sendiri.
"Cuba lihat negara Singapura, mereka telah menyekat kebebasan untuk bersuara di laman sosial kerana banyak perkara yang tidak benar didedahkan dengan senang.
"Malaysia masih bersifat terbuka kerana kita tak mahu sekat sesiapa untuk nyatakan pendapat mereka tapi pastikan apa yang mereka tulis itu betul," katanya.
Chee Heung, yang merupakan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, rakyat perlu dididik agar tidak menerima segala informasi yang disiar di laman sosial secara bulat-bulat.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...