Sejarah era masyarakat jahiliah Arab misalnya mencatatkan iaitu kedudukan mereka sejajar dengan barangan kebendaan yang boleh diwarisi oleh sanak saudara terdekat. Layanan sama juga tergambar dalam kehidupan masyarakat Rom masa lalu.
Malah ada peraturan yang mengkehendaki wanita menikahi kaum keluarga daripada darah dagingnya sendiri demi memperoleh layanan dan kebaikan. Peranan wanita yang dianggap sebagai objek keseronokan masyarakat, terutama kaum lelaki, amat berleluasa dalam sejarah di peradaban Timur dan Barat. Malah, fenomena itu terus berleluasa sehingga ke hari ini.
Nasib wanita yang mendukacitakan ini mendorong kelahiran gerakan bagi membela kedudukan mereka dalam masyarakat dan peradaban dunia. Ia digerakkan oleh perkumpulan wanita yang sedar bagi memastikan wanita tidak lagi tertindas akibat pelbagai halangan sosial dan kebudayaan yang diwarisi dalam masyarakat.
Dalam sejarah ketamadunan Islam, agenda pengupayaan wanita dimulai seawal pembentukan masyarakatnya selepas al-Quran diturunkan lebih 1,400 tahun lalu. Berdepan dengan realiti masyarakat dunia waktu itu, terutama masyarakat Arab era jahiliah yang menanggapi wanita sebagai kelompok yang berada pada kedudukan taraf yang rendah, wahyu al-Quran dan sunnah Nabi SAW memberikan penegasan perspektif yang baru terhadap kemuliaan wanita.
Penegasan itu dapat dilihat dalam ajaran agama mengenai kesaksamaan hak lelaki dan wanita dalam aspek keimanan dan kepercayaan. Kedua-duanya adalah setara sebagai seorang hamba di sisi agama. Dalam erti kata lain, lelaki dan wanita mengikut neraca kerohanian adalah makhluk ciptaan Ilahi yang setaraf dari kedudukannya pada pandangan Allah SWT.
Atas asas itu, hak wanita sebagai penerima harta pusaka dipertegaskan oleh agama dan mencela perbuatan ‘mempusakakan’ wanita sebagai amalan golongan jahiliah.
Dalam al-Quran juga, seruan bagi golongan lelaki memberi layanan sebaiknya kepada wanita diulangi berterusan dan akhlak perhubungan suami dan isteri dijelaskan. Kedua-dua mereka harus saling bergandingan bagi tujuan kemajuan hidup dan kesejahteraan peradaban kemanusiaan.
Penegasan agama mengenai kemuliaan wanita juga ditunjukkan menerusi sunnah Nabi SAW. Wasiat terakhir Baginda SAW ketika menyampai khutbah perpisahan adalah agar wanita dijaga kesejahteraan mereka sebaiknya. Dalam erti kata lain, sebarang bentuk penganiayaan terhadap mereka sama ada secara emosi, budaya dan layanan hendaklah ditegah.
Perbincangan ini menunjukkan peranan agama dalam usaha mengangkat kedudukan wanita dalam masyarakat berlaku sejak sekian lama. Dorongan agama yang luhur ini diterjemahkan menerusi penerapan dalam sistem pendidikan dan aturan perundangan dalam masyarakat Muslim. Undang-undang syariah amat tegas dalam perkara ini dan ia boleh diteliti dalam pelbagai peraturan yang berkaitan hal ehwal kekeluargaan dan sosial membabitkan golongan wanita.
Namun, di sebalik seruan dan penegasan undang-undang ini, masyarakat harus berwaspada terhadap pelbagai cabaran sekeliling yang sentiasa mencari kesempatan bagi menganiayai wanita. Fahaman kapitalisme adalah antara cabaran besar terhadap wanita. Mereka mudah diperdaya oleh kelompok pedagang tanpa nilai yang menggunakan pelbagai bentuk kegiatan yang bersifat ‘glamor’ dan tawaran kebendaan yang lumayan.
Sesuatu yang menyedihkan ialah apabila wanita tidak menyedari hakikat mereka sedang diperdayakan dan maruah serta kemuliaan mereka sedang diperdagangkan. Kelicikan kalangan kapitalis untuk memperdagangkan kehormatan wanita boleh dilihat menerusi penganjuran acara yang dikenali sebagai pertandingan ‘Ratu Cantik’.
Ramai kalangan wanita teruja dengan penganjuran ini dan ada yang terkeliru dengan kelicikan ini pada hal mereka secara tersirat sedang diperdagangkan kapitalis untuk keuntungan kebendaan.
Golongan pejuang wanita harus tegas menolak segala bentuk penganjuran yang boleh membawa kepada penganiayaan wanita oleh mana-mana juga kelompok yang secara terbuka dan tersirat menjadikan wanita objek hiburan dan modal keuntungan. Ia tidak boleh didukung sama sekali walaupun atas nama hak asasi, kebebasan dan kesaksamaan.
Ketegasan menghayati prinsip agama dan kewaspadaan wanita mengenai pelbagai cabaran dunia hari ini akan memastikan kehormatan dan kemuliaan mereka terpelihara daripada penganiayaan di dunia kini yang serba terbuka dan bebas nilai.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...