Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan Abdul Hadi itu hanya perangkap yang bakal menyebabkan keadaan politik menjadi tidak menentu serta menyusahkan rakyat.
Beliau berkata, justeru sokongan pengundi di Kuala Besut kepada BN amat penting dalam memastikan kestabilan yang dinikmati sejak sekian lama dapat dikekalkan dan demi masa depan negeri ini.
"Dengan kempen 16-16, mereka tidak mahu apa-apa kononnya hanya mahu merasa satu lagi kerusi, saya mahu beritahu pengundi di Kuala Besut kalau teori 16-16 ini berjaya dimenangi Pas, akan berlaku kerajaan tergantung di Terengganu yang menyebabkan keadaan tidak stabil.
"Di samping itu saya ingin menjawab apa yang dikatakan oleh Abdul Hadi kononnya mereka hanya mahu satu kerusi lebih sahaja, mereka tidak mahu menuntut kerusi Menteri Besar.
"Ini satu lagi perangkap yang bakal memerangkap keadaan politik di Terengganu dan jangan terjebak kerana mustahil Pas tidak menuntut sebarang kerusi jika kedudukan di DUN (Dewan Undangan Negeri) berada pada keadaan 16-16," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melawat Markas Taktikal (Martek) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa.
Semalam, Abdul Hadi membayangkan beliau tidak berminat untuk kembali menjadi Menteri Besar Terengganu walaupun pakatan pembangkang berjaya menyamakan jumlah kerusi dengan BN di DUN.
Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, sasaran Pas untuk mewujudkan situasi 'DUN tergantung' 16:16 bukan demi mendapatkan kuasa atau untuk membentuk kerajaan.
Sementara itu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menempelak pemimpin Pas yang mendakwa semua projek yang diumumkan oleh kerajaan Pusat adalah atas desakan mereka.
"Semua projek di seluruh negara adalah kerana Pas, DAP dan PKR minta, maka kerajaan BN cukup baik hati atas permintaan parti pembangkang itulah semua projek di Malaysia di lakukan sebab di Malaysia ini tidak ada perancangan hanya mereka sahaja yang pintar kononnya.
"Sedangkan BN mempunyai keprihatinan yang tinggi ke atas keperluan rakyat tidak mengira sebarang perbezaan ia datang dari akar umbi atau dari kerajaan sendiri asalkan untuk rakyat maka ini akan dipenuhi oleh BN," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...