Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan dan maruah
bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri
untuk mewujudkan perasaan bangga, hormat dan rasa kecintaan terhadap
tanah air.
Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Jalur Gemilang pada pukul 11.58 malam, 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Ke-40, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Namun apa pula halnya dengan tindakan kurang bijak dan memalukan
apabila beberapa individu tertentu berbangsa Melayu yang sengaja
mengibarkan bendera diberi nama Sang Saka Malaya pada malam sambutan Hari Kemerdekaan, baru-baru ini.
Tindakan tersebut amat memalukan dan mencabar maruah anak Malaysia
yang berjiwa patriotik selain mengguris hati saki-baki pejuang
kemerdekaan yang masih hidup. Mereka ini terdiri daripada golongan yang
sama dan sering kali terlibat dalam demonstrasi-demonstrasi jalanan dan
perhimpunan haram.
Selain Akta Hasutan 1948, Pengamal undang-undang Leftenan Komander
(B) Zalil Mohd. Mess menyatakan, mereka yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya
di tempat awam boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta
193, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
Matlamat akta tersebut bertujuan mengawal penggunaan "Lambang-lambang
Kebangsaan" di dalam negara ini. Namun akta itu tidak menyekat
penggunaan bendera dan lain-lain lambang Malaysia yang boleh dipamerkan
dan diletakkan di mana-mana di dalam negara.
Lambang-lambang Kebangsaan mengikut Seksyen 2 Akta 193 antara lainnya
bermaksud bendera-bendera negara atau parti-parti politik yang mendakwa
sebagai suatu pergerakan kebangsaan atau apa- apa kesamaan dalam bentuk
apa sekalipun.
Menurut Seksyen 3(2) akta tersebut, lambang akan dianggap telah
dipamerkan secara umum jika ia dipamerkan di jalan-jalan raya, lorong-
lorong, jambatan, laluan, tempat pejalan kaki atau mana- mana tempat
orang ramai atau satu kumpulan orang ramai mempunyai hak laluan atau
jika dipamerkan dengan cara supaya kelihatan dari tempat- tempat yang
disebutkan tadi.
Undang-undang memperuntukkan, individu yang melakukan kesalahan di
bawah Akta 193 boleh ditangkap oleh seorang pegawai polis tanpa waran
dan dengan kebenaran pendakwaan daripada Pendakwaraya, boleh didakwa di
mahkamah.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan
atau denda tidak lebih dari RM500 atau kedua-duanya sekali.
"Sebelum pemansuhan undang-undang keselamatan, perilaku begini akan
diletakkan dalam tahanan pemulihan secara kuasa eksekutif dan selepas
ada kesedaran, baharulah mereka dilepaskan.
"Jenis kesalahan oleh pelaku yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya
ini adalah golongan subversif. Oleh itu hukuman denda dan penjara
selama enam bulan tidak memadai atau mencapai matlamat hukuman sebenar
untuk memulihkan fahaman atau kepercayaan mereka yang tersasar atau
disasarkan.
''Bagaimanapun untuk undang- undang itu menjadi berkesan, hukuman
yang dijatuhkan itu perlu memenuhi kriteria sama ada, boleh menjadi
penghalang (deterent) punitif atau memulihkan pesalah tersebut daripada kelakuan menyalahi undang-undang.
''Dalam keadaan ini, hukuman sedia ada dan jenis kesalahan yang
dilakukan adalah tidak setimpal kerana bukanlah bersifat individu tetapi
lebih menjurus kepada satu perilaku yang mensabotaj kepimpinan dan
kerajaan yang berdaulat,'' kata Zalil.
Bagi peguam berpengalaman itu, pelaku-pelaku sedang cuba menghasut
sentimen untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia sedia ada yang telah
dipilih secara demokratik dan berdaulat.
Perbuatan mereka bukan sahaja menyerang institusi kerajaan Malaysia,
ia juga adalah suatu serangan dan penghinaan kepada Institusi Raja
Berperlembagaan (Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong) itu sendiri
dengan tidak mengiktiraf dan mempertikaikan bendera yang menjadi simbol
kewujudan Persekutuan Malaysia ini.
''Pada hemah saya, kelakuan mereka ini bertujuan untuk menghina
institusi kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong dan wajar dianggap
derhaka,'' katanya.
Selain akta tersebut, pelaku yang mempamerkan bendera Sang Saka Malaya ini
juga boleh didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan, iaitu suatu
kesalahan mengganggu ketenteraman awam dan boleh dihukum di bawah
Seksyen 290 kanun sama dengan denda tidak melebihi RM400.
Perbuatan mempertikaikan bendera Jalur Gemilang ini adalah
ibarat 'menepuk air ke dulang, terpercik di muka sendiri'. Bendera kita
telah menjadi lambang negara selama berdekad lamanya. Sebelum ini
golongan itu tidak mempertikaikan bendera kita sebaliknya
menyanjunginya.
Sekarang, apabila pergerakan mereka menjadi kian gersang, mereka mula
lantang dan dengan satu nafas menolak kerakyatan negara dan pemerintah
yang telah berdekad memberikan mereka kenikmatan hidup di bumi bertuah
ini.
Kelakuan ini bagi Zalil, adalah kelakuan golongan yang tidak tahu
erti perjuangan sebenar dan hanya merupakan anarkis- anarkis yang mahu
menghuru-harakan negara.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...