Pemilihan UMNO sudah berlalu, tidak ada sebarang
kejutan besar sebenarnya berlaku. Tidak banyak perubahan kelihatan dan
tidak ada kumpulan baharu maju ke hadapan bagi mewujudkan gelombang
besar-besaran. Semua yang berlaku menepati ramalan dalaman tetapi
mungkin tidak pula memenuhi hasrat masyarakat majoriti senyap yang
berada di luar UMNO yang telah memberikan undi dalam Pilihan Raya Umum
(PRU) Ke-13 sebelum ini.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa sebanyak 57 bahagian sudah
bertukar kepimpinan dan ia sudah cukup besar impaknya. Bagaimanapun,
kita perlu juga lihat bakinya daripada 191 bahagian atau hampir 70
peratus lagi masih berada di takuk lama. Ia menghantar dengan jelas
isyarat bahawa walaupun 100 peratus percaya perlu melaksanakan perubahan
tetapi ia hanya mampu diterjemahkan kepada 30 peratus sahaja yang
menyambutnya.
Kita bukan mahu menidakkan sumbangan orang lama atau mahu menukar
semua mereka tetapi hasil daripada prestasi pilihan raya yang baru lalu
sudah jelas menunjukkan bahawa perlu berlaku gelombang perubahan secara
besar-besaran. Yang dikatakan besar mestilah melebihi daripada angka 50
peratus baharulah benar-benar mendatangkan impak kepada struktur yang
ada sekarang.
Para cerdik pandai dan pengundi di luar banyak yang berharap orang
muda seperti Mukhriz Mahathir diberikan peranan lebih penting sesuai
dengan ketokohan yang sudah beliau buktikan. Nampaknya, masih wujud
amalan berpuak dan berpasukan dalam kepimpinan tertinggi parti. Kalau
sudah duduk dalam pasukan, meskipun tidak menyumbang masih lagi boleh
terselamat sehingga ketaksuban begini kelak nescaya akan membawa padah.
Tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh media selama ini bahawa
pemilihan kali ini akan membawa satu transformasi besar daripada akar
umbi. Nampaknya akar umbi jenis bagaimana masih tinggal lagi yang masih
memilih kumpulan-kumpulan yang gagal menepati aspirasi rakyat terkini?
Hasrat melihat kumpulan cendekiawan dan profesional diberikan peluang
yang lebih besar nampaknya masih jauh sekali daripada tercapai. Orang
politik termasuk yang sudah habis tempoh dan kitar semula masih
memonopoli dengan pelbagai strategi demi kepentingan peribadi dan bukan
sebenarnya berhasrat menyumbang untuk masa depan parti dan negara yang
sudah pun diketahui secara nyata sedang di ambang kejatuhan.
Memanglah orang lama pandai bermain politik sehingga mencapai hasrat
mengepalai cawangan, bahagian, negeri dan seterusnya di pusat. Tetapi,
pernahkah mereka terfikir bahawa dengan strategi yang mereka atur untuk
menang dalam pemilihan itu sebenarnya akan menjerat agama, bangsa dan
tanah air mereka sendiri ke dalam jurang kemusnahan.
Pernahkah mereka terfikir bahawa diri sendiri perlu berkorban, bukan
selamanya cuma sekali ini dalam seumur hidup membawa perubahan dan
memberikan peluang kepada orang lain memimpin parti. Malah kalau boleh
carilah pengganti yang benar-benar boleh membawa sokongan dan keyakinan
masyarakat untuk kembali menyokong UMNO.
Mungkin kita popular dalam parti tetapi popularkah kita kepada
masyarakat setempat terutama di kawasan yang sudah dikuasai pembangkang
atau di kawasan yang menang tipis sekadar terselamat atas rasa simpati.
Ini yang paling penting diberikan perhatian, kerana UMNO tidak akan ke
mana sekiranya rakyat yang di luar parti tidak lagi mahu menyokong
mereka.
Jangan tidak percaya bahawa sekadar jumlah ahli 3.4 juta orang itu
tidak akan membawa ke mana kalau dibandingkan undi sebenar yang
diperolehi oleh UMNO dalam PRU-13. Fakta menunjukkan bahawa sebanyak 5.3
juta pengundi telah mengundi BN dengan ini ternyata bahawa hampir
separuh daripada orang yang menyokong kerajaan sekarang berada di luar
parti UMNO.
Tidak ada sebarang kepastian, bancian ataupun sebarang kajian
siapakah mereka ini dan apakah yang mereka rasakan dan apakah pula yang
mereka hasratkan bagi meneruskan sokongan kepada UMNO dalam pilihan raya
akan datang. Apakah mereka ini tidak penting ataupun mereka ini bukan
akar umbi dan juga bukan penyokong setia?
Malahan dalam kehebohan memilih, calon yang dipilih juga banyak yang
tidak popular dalam kalangan masyarakat setempat. Ramai juga daripada
mereka yang tinggal di bandar jauh daripada akar umbi yang diwakili dan
tidak berpeluang mendekati masyarakat dan mengenali hati budi mereka.
Dalam keriuhan meraikan kejayaan, adakah pihak yang mahu bermuhasabah
memikirkan sebenarnya kejayaan para perwakilan dan ketua yang dilantik
ini apakah mampu mencorak senario politik baharu negara menjelang
PRU-14. Bolehkah para pemimpin yang dipilih dan dilantik ini menyelami
hati dan perasaan rakyat yang masih berduka malah ada pula yang terluka
akibat silap percaturan sewaktu kerajaan melaksanakan pelbagai
pembaharuan dan membuat lantikan yang tidak popular.
Pemilihan sudah selesai, tetapi parut luka dan dendam mungkin bukan
semakin sembuh malah ada potensi semakin mendalam antara sesama ahli.
Sudah terdengar ada yang merajuk, sudah ada pula yang mula mewujudkan
kelompok. Ia bukan semakin merapatkan barisan tetapi nampaknya semakin
merenggang dan meluaskan jurang. Di dalam dan di luar nampaknya musuh
sudah memukul gendang perang, terpulang sama ada iramanya sampai kepada
pemimpin terkanan atau hanya tersekat di telinga yang pura-pura tuli.
Slogan transformasi nampaknya bukanlah sesuatu yang benar-benar
dihayati. Para pemimpin yang sudah diberikan isyarat tidak dikehendaki
lagi masih bermati-matian mempertahankan diri dengan pelbagai cara
termasuk menggunakan media. Sebenarnya, bukan media yang akan menentukan
kedudukan anda di masa hadapan. Undi rakyatlah yang kelak mengekal atau
menjatuhkan kita. Jatuh kita seorang diri tidak mengapa tetapi
kejatuhan kita turut menarik ranap agama, bangsa dan negara tidak akan
dapat diampunkan sampai bila-bila.
Kita perlu faham bahawa diri sendiri tidak berhak memberi nilai dan
justifikasi kepada prestasi tetapi rakyat merupakan hakim terhadap
kemampuan hakiki. Orang memberi kita merasa orang berbudi kita
berbahasa. Malangnya, makin banyak rakyat memberi makin bongkak pula
tuan punya diri sehingga tenggelam dalam ketaksuban dan kehebatan diri
yang dicanang oleh pembodek di keliling tembok peribadi.
Sebagai pemimpin, kita patut tahu dan sedar bila masanya untuk
mengundur diri demi kepentingan umum dan demi kepentingan parti. Jangan
sampai dijatuhkan baharulah kita sedar diri dan ketika itu kita langsung
tidak lagi dihargai malah akan menjadi orang yang dibenci. Sebaik-baik
pemimpin adalah mereka yang sanggup melepaskan jawatan ketika masih
berada di puncak kerana sedar ada orang lain yang lebih layak meneruskan
perjuangan parti.
Pemilihan bukanlah agenda peribadi atau parti tetapi adalah sebuah
manifestasi jati diri dan semangat untuk mempertahankan pertiwi. Kali
inilah sebenarnya yang patut menjadi medan terbaik membuktikan kepada
pengundi dan rakyat jelata UMNO sudah berubah. Semuanya dinyatakan
dengan tepat secara total dan boleh dilihat dengan jelas dan tidak
sekadar retorik.
Tolonglah hentikan berbahasa basi dan saling menyedapkan hati dan
perasaan sendiri. Percayalah dengan penuh yakin kita boleh kecundang
sekiranya masih lagu lama yang di dendang. Pasukan simpanan, undi
simpanan atau apa sahaja yang bersifat simpanan termasuk sokongan
simpanan sebenarnya sudah habis digunakan pada pilihan raya yang lalu.
Apa yang tinggal kini adalah meraih kembali, menambah apa yang sudah
terlebih guna, memulih yang sudah rosak binasa. Kalau masih begini
caranya kita tidak akan ke mana. Yang rosak semakin rosak, yang terlebih
guna tidak dapat dikembalikan lagi.
Orang Islam dan Melayu sayang kepada UMNO maka orang UMNO sayangi dan
kasihilah orang Islam dan Melayu semua. Berikan perhatian sama rata dan
bukan hanya pada diri sendiri dan orang dalam parti semata-mata.
Cuba-cubalah keluar daripada kepompong politik untuk mendapatkan
pandangan luas yang lebih nyata dan terang serta bercahaya. Percayalah
ia sangat menyihatkan dan sungguh berguna buat agama, bangsa dan negara.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...