Darahsatriadotcom

Followers

Friday, 25 October 2013

Kepimpinan Politik Harus Lalui Proses Transformasi!

UMNO baru saja selesai mengadakan pemilihan kepimpinannya di segenap peringkat. Mesej perubahan sangat jelas supaya pemimpin yang yang mempunyai trek-rekod yang baik dikekalkan dan kepimpinan muda diambil untuk menentukan kesinambungan berlaku.

Dalam masa sama, MCA mengadakan suatu Mesyuarat Agung Khas untuk mencela Timbalan Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana krisis yang dihadapi dengan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan akhirnya ditolak oleh perwakilan.

UMNO membuat pemilihan dengan mesej supaya perubahan terjadi. UMNO penting diperkukuhkan saf kepimpinannya supaya cabaran masa depan terutama Pilihan Raya Umum ke-14 dapat dihadapi dengan wibawa yang tinggi.

Malangnya, MCA mengalami krisis yang serius dalam kepimpinan utama tetapi ahli-ahlinya mempunyai kebijaksanaan membuat pilihan yang terbaik. Resolusi yang ditolak memberi isyarat supaya Presiden mengambil sikap yang lebih telus membuat pendirian kerana suara ahli adalah suara keramat.

UMNO sebagai sebuah parti induk dalam kerajaan hari ini harus berani melakukan transformasi dalam semua perkara. Perjuangan UMNO untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara harus dijadikan fokus, agenda dan strategi. Kerajaan sedang melakukan transformasi ekonomi dan pendidikan dan kepimpinan serta ahli UMNO di semua peringkat harus mengalami proses transformasi supaya ia seiring dengan cita-cita negara.

Kepimpinan Melayu harus jadi contoh yang baik kepada kepimpinan lain dalam menguruskan parti dan negara. Dengan dukungan Islam sebagai matlamat perjuangan kepimpinan harus dilihat sebagai suatu amanah. Masih banyak agenda memperkasa orang Melayu dan bumiputera yang masih belum selesai.

UMNO sering dilabel sebagai anti-Islam atau menolak Islam oleh pihak yang memusuhinya. Tetapi UMNO yang menjadi teras kepada kerajaan yang ada telah banyak membuat perubahan ke arah Islam dalam pendidikan, perundangan, ekonomi, menyantuni kelompok miskin dan bermasalah, memastikan bantuan terhadap pelajar-pelajar untuk mendapat biasiswa di dalam dan keluar negara berlaku.

UMNO atau kerajaan harus segera menghasilkan KPI sebagai bukti bahawa perubahan ke arah Islam telah terjadi dan akan terus terjadi. Komitmen ini penting kerana UMNO dan kerajaan tidak hanya membangun retorik terhadap Islam tetapi mempunyai perancangan yang baik ke arah membangun tamadun yang lebih bermakna.

UMNO jangan merasa rendah diri atau menghadapi masalah psiki bila diremeh dengan persepsi negatif kerana ia lahir dari rasa kebencian yang tinggi dan dendam kesumat politik yang mendalam. 

UMNO harus berjiwa besar untuk menerima kritik yang membina, pandangan para ulama’ dan intelektual dan harus bergerak serentak memperkasa agama dan bangsa kerana inilah jalan terbaik bagi UMNO kerana tanpa memartabatkan agama UMNO dibimbangkan hilang pedoman dan menyebabkan penolakan dalam kalangan generasi muda.

Pemilihan pucuk pimpinan UMNO disetiap peringkat menjadikan proses pemilihan lebih demokratik yang memungkinkan golongan profesional, teknokrat, akademik dan intelektual terlibat sama. Secara jangka panjangnya ia membolehkan kepimpinan berkualiti lahir.

UMNO harus mempunyai tekad tinggi untuk mendedahkan Pemuda dan Puterinya kepada latihan sistematik perkaderan supaya isu-isu transformasi, kenegaraan, agama, globalisasi, aliran pemikiran yang pelbagai, ekonomi, pendidikan dan bagaimana Malaysia boleh menjadi negara Islam contoh dapat difahami secara ilmu dan analisis yang baik.

Pembinaan ke arah lapisan kepimpinan yang berkualiti ini amat perlu kerana corak cabaran yang bakal dihadapi oleh UMNO di alaf 21 ini tidak sekadar sokongan akar umbi dan rakyat tetapi kefahaman generasi mudanya terhadap maksud perubahan dan transformasi mengikut acuan keMalaysiaan.

UMNO masih mempunyai daya dan potensi ke arah perubahan ini kerana dalam konteks umat Melayu inilah pilihan terbaik kerana jalur wasatiyyah yang dipilih oleh UMNO harus diperkukuh dengan keterampilan kepimpinan di setiap peringkat yang menganggap kepimpinan adalah suatu taklif atau amanah untuk menyempurnakan tugas besar iaitu memperkasa bangsa, memartabat agama untuk kesejahteraan negara.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...